25. May 2011 · Write a comment · Categories: Jiwa

Pada hari yang aku berasa amat letih untuk berfikir. Haruskah aku menutup lubang-lubang deria ini daripada terus mencerap informasi? Mampukah aku memberhentikan seketika enjin mindaku ini daripada berfungsi? Adakah keletihan ini berpunca daripada kurangnya rehat? Atau jiwakah sebenarnya yang tidak cukup kuat? Apabila cabaran hari demi hari menjadi semakin hebat, batinku pula seakan-akan menjerit melaungkan penat. Penatkah sebenarnya aku? Atau ia sekadar manipulasi lara yang aku tahu sungguh cekal dalam melaksanakan kerja-kerja kelaraannya. Ketika aku gagah untuk merempuh badai, lara mengulikku dengan indahnya pantai lalu aku berundur, tersadai. Bilamana seluruh azamku terkumpul untuk menongkah, lara menunjukkan pula kepadaku bahtera yang pecah, lalu aku berpatah, kalah. Apa yang tidak kena padaku sebenarnya hingga aku begitu lemah untuk menjauhi lara? Dia menjadi raja di dalam diriku, dia mengatur tindak-tandukku, dia membolak-balikkan hatiku. Pada hari yang aku berasa amat letih untuk berfikir, dia berpesta kegembiraan, dia berparti keseronokkan. Lara, adakah kau rasa bahawa engkau telah menang? Jika engkau seperti mana yang engkau dakwa adalah pejuang kepada kerabatmu, maka jangan pula engkau lupa  bahawa aku juga mampu menjadi seorang pejuang yang terbilang. Bila aku menunjukkan isyarat untuk berundur, itu bukan beerti aku kecundang lara, itu bukan bermakna aku kalah, mengundur setapak dua itu adalah untuk kembali menyusun langkah, adalah untuk mengambil lajak, adalah untuk terus mengorak dan melonjak. Jangan kau lupa lara bahawa aku masih lagi berada di dalam gelanggang yang bermakna aku masih lagi sedang berperang. Wahai lara, jika Tuhan mengutusmu untuk menentangku, maka itu bermakna Tuhan menyayangiku, kerana Tuhan mahu membukakan kepadaku seluas-luasnya pintu pahala seorang pejuang.  Ketahuilah lara, keterbilangan seorang pejuang itu adalah pada hebatnya tentangan, adalah pada kuatnya rintangan, bukan pada pedangnya yang tidak pernah jatuh dan lucut di gelanggang. Kau akan ku takluk. ALLAH AKBAR!!

 

Inikah lara?

PKS (Pakcik Kedai Sepanyol) adalah seorang pekedai runcit berusia 65 tahun. Aku adalah antara pengunjung setia kedainya kerana ia terletak berhampiran rumahku.

 

Aku: Hola, selamat petang pakcik. (senyum)

PKS: Hola, selamat petang. (senyum)

Aku: Saya nak reloard kad telefon.

PKS: Ok, berapa?

Aku: 10 euro.

PKS: Nombor?

Aku: 678905453

PKS: Kejap. Ok, dah.

Aku: Ini duitnya pakcik.

PKS: Terima kasih.

Aku: Sama-sama. Ok, pakcik, adiós, hasta luego (see you).

PKS: Eh, nanti!

Aku: Aarr? Ya, pakcik? Ada apa?

PKS: Bukaklah.

Aku: Aarr? Bukak apa pakcik? (suspen dan panik)

PKS: Bukaklah tudung tu.

Aku: Apa? Bukak tudung? (terkejut)

PKS: Ya! Bukaklah tudung tu.

Aku: Eh, nape lak? (buang tabiat ke apa pakcik ni)

PKS: Bukaklah tudung tu. Pakcik tengok anak ni tak cantiklah, tak comel pakai tudung. Lagipun, dah 2 tahun lebih anak kat sini, dah sampai masanya bukak tudung. Bukak, cantik. (tunjuk simbol best)

Aku: Nape? Menyusahkan pakcik ke?

PKS: Takdelah. Tapi, tak cantik anak pakai tudung. Bukak, bukaklah, comel tau nanti (beria).

Aku: Weii pokcik, dengor sining molek. Saya paka tudung ni bukang suka-suka, bukang saja-saja. Hok suruh saya paka tudung bukang menteri kesihatang, tapi Tuhan. Kalu perdana menteri suruh sekalipun tapi agama dok suruh, saya dok paka. Tapi tadok arohlah hok suruh tu, Tuhan. Pangkat Tuhan ngang saya, bukang kawang-kawang. Bakpe, saya paka tudung selama kening, nyusoh ke pokcik ke? Tudung duduk atah pale saya, bukang duduk atah pale pokcik. Saya beli tudung pong dok mitok pitih ngang pokcik seseng. Bende kaitang ngang pokciknyer? Gini pokcik, pokcik doksoh caralah ke saya, pokcik duduk jaga anok bini pokcik molek-molek sudoh, biar selamat, biar sempurna. Saya ning, bukang di bawoh tanggungjawak pokcik. Maka pokcik dok perlu ambik kisoh. Kang saya dok mari beli lasung keda pokcik kang. Dohlah keda pokcik duduk cerok, dok wape laku. Okey pokcik?

PKS: (kelu, tecengang, terpinga, garu-garu kepala)

Aku: Adiós pakcik.

Nak tahu kenapa PKS kelu dan terpinga-pinga? Kerana aku menghemburnya di dalam bahasa Terengganu pekat lagi ori.

 

Nota:-

Bertudung adalah antara perkara yang dipandang aneh di Valladolid. Kebanyakan orang Sepanyol faham, tudung dipakai wanita Islam kerana arahan suami, bukan Tuhan. Acap kali juga aku dipujuk agar menanggalkan tudung setiap kali keluar dengan kawan-kawan Sepanyol; “Eh, bukaklah tudung tu, suami awak kan takde.”

Antara faktor yang menjadikan mereka berfikiran begitu ialah jawapan yang diberi oleh wanita Islam sendiri yang tidak bertudung apabila dipersoalkan oleh orang Sepanyol; “Mengapa awak tak pakai tudung manakala dia pula pakai, sedangkan dua-dua Islam?” Yang tidak bertudung cepat-cepat menjawab; “Oh, sebab suami saya tak kisah, suami izinkan, dalam Islam kita kena ikut suami. Dia pakai sebab suami dia suruh!”

Aku sendiri telah mengalami pengalaman tersebut ketika menemani seorang rakan muslim yang tidak bertudung membeli belah di kota Valladolid. Perasaan sedih dan keciwa menyelubungi diri kerana apabila umat Islam sendiri naif dan menjawab dengan cara yang salah, maka gambaran yang diterima oleh orang bukan Islam terhadap Islam adalah buruk dan negatif.

23. May 2011 · Write a comment · Categories: Jiwa

 

Sakit melahirkan hanya sekali, sakit membesarkan hingga ke mati. Dari merah tapak kaki hingga besar tegap berdiri, mereka ku tatang petang dan pagi. Ke mana pun aku pergi, mereka mengekori, ke mana pun mereka lari, aku mencari. Jasad mungkin terpisah, namun kasih tak mungkin berubah. Merekalah pelengkap segala kekurangan, merekalah penghibur kala kedukaan. Tika berjauhan hati kerinduan, kala bersampingan jiwa keriangan. Walau apa pun mereka, walau bagaimana pun mereka, merekalah harta, merekalah nyawa, merekalah ilham dan sumber kekuatan. Mereka adalah amanah dan anugerah Tuhan.

Mereka adalah takdirku!

22. May 2011 · 2 comments · Categories: Dialog

KS: Awak ni kan, ke hulu ke hilir dengan suami.

Aku: Eh biarlah, suami kita. Kalau berkepit dengan suami orang? Atau lelaki lain? Boleh?

KS: Maksud saya, tak boleh ke kalau awak ke mana-mana seorang?

Aku: Boleh!

KS: Dahtu?

Aku: Saya suka suami ikut, rasa lebih selamat dan selesa.

KS: Tapi sebab sebenarnya bukan kerana awak suka, tapi awak terpaksa, kan?

Aku: Yalah. Kerana nak keselamatan terjamin, terpaksalah bawa suami. Lebih terjamin daripada jalan sorang-sorang.

KS: Tapi, sebenarnya dia yang paksa awak, kan?

Aku: Aarr? Maksud awak?

KS: Dia yang nak ikut, kan? Dia yang paksa awak ajak dia, kan?

Aku: Eh, mana ada. Saya yang paksa dia. Saya tak selesa jalan sorang-sorang dan takut.

KS: Bohong!

Aku: Betul! Tapi kalau dia paksa pun, apa masalah? Dia berhak.

KS: Haa, kan dah kata. Dia yang tetapkan peraturan, kan?

Aku: Peraturan?

KS: Dia yang tentukan bahawa awak mesti ke mana-mana dengan dia, kan?

Aku: Ya, dan tidak!

KS: Kenapa ya dan tidak lak?

Aku: Ya, dalam konteks; sebagai suami dia ada hak ke atas saya. Tidak, dengan maksud; walaupun dia ada hak, tapi dia bukan jenis mengongkong.

KS: Betul ke tak mengongkong?

Aku: Laa, suami saya, saya tau la.

KS: Habis, yang ke hulu ke hilir dengan dia tu, apa?

Aku: Sebenarnya, saya yang nak dia temankan saya. Saya takut nak pi mana-mana sorang.

KS: Alasan! Apa nak takut?

Aku: Laa, Spain ni bukan kampung saya, bukan tanah tumpah darah tok nenek moyang saya, dah tentu saya takut.

KS: Takut apa?

Aku: Laa, saya kan orang asing kat sini, jalan sorang-sorang apa-apa hal kan susah?

KS: (cebik bibir)

Aku: Dah suami ada, baiklah jalan dengan suami. Lagipun suami tak kerja. Duduk rumah sorang-sorang pun bosan gak. Baik dia ikut saya.

KS: Tapi saya penuh yakin sebab sebenarnya ialah kerana dia mengongkong awak. Dominan ke atas awak. Dia tak nak lepaskan awak bebas buat apa yang awak suka. Dia tak bagi awak keluar dengan kawan-kawan awak, kan?

Aku: Tidak benar! Dia tidak pernah mengongkong saya, sebaliknya di sini, sayalah yang lebih banyak mengongkong dia. Maksud saya, kerana risaukan saya dan anak-anak, dia sanggup tidak keluar berpeleseran, malah setiap masa bersama saya.

KS: Ahh! Keadaan sebenar tidak begitu. Saya tahu sangatlah orang Islam ni. Saya dah berkawan lama dengan ramai orang Islam dan dah lama saya perhatikan kehidupan mereka. Lelaki Islam suka menindas wanita, suka mendominasi wanita dan memandang rendah pada wanita.

Aku: Oh, itu tidak benar, tidak benar sama sekali!

KS: Awak pun macam tu. Tengok, ke hulu ke hilir diikutnya awak. Hingga awak mai jumpa saya pun dia ikut. Tak boleh ke dia biarkan awak bebas melakukan aktiviti yang awak suka dan bebas keluar dengan siapa sahaja yang awak suka?

Aku: Aarr? Kalau dah seorang isteri boleh buat apa sahaja yang dia suka dan bebas pula keluar dengan siapa sahaja yang dia suka tanpa perlu merujuk suami, apa gunanya lagi suami dalam hidupnya? Apa maknanya lagi suami kepada dia? Apalah sangat fungsi suami? Untuk apa dia bersuami?

KS: Jika suami berhak ke sana ke mari sesuka hati, mengapa isteri tidak? Mengapa isteri perlu mendapat keizinan suami sedangkan tidak sebaliknya?

Aku: Siapa kata suami boleh keluar sesuka hati? Siapa cakap suami boleh buat sesuka hati? Agama mana mengajar begitu? Islam tidak begitu!

KS: Tapi itulah yang sering saya perhatikan dalam kehidupan keluarga Islam, dalam kehidupan rumahtangga Islam.

Aku: Awak perhatikan siapa? Keluarga mana? Bilangan mereka yang awak perhatikan itu cukup ke tidak untuk mewakili seluruh umat Islam? Peratusnya valid atau tidak untuk dibuat kesimpulan yang semua orang Islam begitu?

KS: Sudah berpuluh-puluh tahun, sejak dari muda lagi saya bergaul dengan orang-orang arab Morocco yang berhijrah ke sini. Saya sudah masak dengan perangai mereka.

Aku: Yang awak perhatikan itu adalah mereka yang berhijrah ke Sepanyol sahaja. Adakah awak turut memerhati atau mengkaji mereka yang tidak berhijrah, yakni, orang-orang Morocco yang duduk menetap di tanah air mereka sendiri? Seperti yang kita maklum, orang-orang Morocco yang berhijrah ke sini adalah daripada golongan berpendidikan rendah, atau dengan lain perkataan, mereka yang berstatus rendah. So, bolehkah dibuat kesimpulan atau digeneralisasikan apa yang awak nampak atau perhati itu ke atas seluruh umat Islam di dunia ini? Awak tak pernah tengok atau perhati kehidupan orang-orang Islam lain di negara-negara lain. Malah pemerhatian awak ke atas orang-orang Islam Morocco itu sendiri pun terhad kepada mereka yang berhijrah ke mari sahaja. Kehidupan mereka yang di Morocco sana terlepas daripada pemerhatian awak.

KS: Tapi, dari dahulu hingga sekarang saya perhatikan sama sahaja. Lelaki atau suami Islam tetap dominan dan menindas kaum wanita atau isteri. Malah ada yang mengurung isterinya di rumah, tidak membenarkan isteri keluar walau untuk bergaul dengan jiran-jiran berdekatan.

Aku: Mungkin itu adalah kes-kes terpencil, yang sebab musabab mereka berbuat begitu hanya mereka sahaja yang tahu. Mungkin itu dilakukan atas sebab-sebab tertentu. Jika kita tidak tahu keadaan sebenar kita tidak boleh serkap jarang. Melainkan kita bertanya dan mereka mengesahkan atau memberitahu begitu.

KS: Apapun secara keseluruhannya, saya tetap melihat lelaki Islam sebagai amat dominan, lebih berkuasa dan menindas wanita.

Aku: Itu pendapat peribadi awak yang awak simpulkan daripada sudut pandangan awak sendiri. Awak berhak untuk mempunyai apapun tanggapan berdasarkan apa yang awak lihat dan perhati. Namun, adalah salah untuk membuat kesimpulan sedangkal itu kerana sebagai orang Islam yang memang dilahirkan Islam saya tidak pernah melihat itu berlaku dalam kehidupan sebenar kebanyakkan keluarga Islam. Hal seperti yang awak perkatakan itu bukanlah hal yang dianjur atau dituntut Islam. Tanggungjawab seorang lelaki atau suami dalam Islam itu jelas. Ia amat besar dan berat. Kesilapan yang dilakukan oleh segelintir suami Islam yang penghayatannya ke atas agama tidak begitu mendalam telah disalah tafsir sebagai kehidupan usulan Islam, walhal Islam yang sebenar tidak begitu. Sudah fitrah dunia, kerana seekor kerbau membawa lumpur, habis semua terpalit. Kerana setitik nila, habis rosak susu sebelanga.

KS: Hurm, awak sendiri yakin yang awak tidak dikongkong?

Aku: Yakin 100%! Awak tak boleh buat kesimpulan dengan melihat keadaan hidup saya dan suami di sini. Di sini, kami orang asing. Jika ada pilihan untuk ke mana-mana berteman mengapa memilih untuk jalan sorang-sorang? Dan teman yang paling selesa, yang paling saya percaya, yang paling saya berasa selamat, sudah tentulah suami saya sendiri. Kebetulan pula di sini suami tidak bekerja, jadi 24 jam dia boleh menemani saya ke mana pun saya pergi. Jika di sini awak nampak 24 jam saya berkepit dengan dia, keadaan di Malaysia tidak serupa, berbeda. Di sana, kami terikat dengan jadual kerja masing-masing. Setiap hari selain daripada hari minggu, kami hanya boleh bertemu pada sebelah malam sahaja, itupun dalam keadaan masing-masing penat setelah seharian bekerja. Nak berjalan ke sana sini, hatta nak makan bersama pun hanya boleh direalisasikan di hujung minggu. Sebab itu saya kata, adalah tidak adil sama sekali untuk menilai kehidupan orang Islam secara keseluruhan dengan hanya memerhati segelintir sahaja yang berhijrah ke sini.

KS: Tapi saya tak suka awak bawa suami awak ke sini tau.

Aku: Kenapa?

KS: Ni kan pejabat persatuan wanita, macam tak sesuai je lelaki datang.

Aku: Itu ke sebabnya atau awak jeles?

KS: Iskkk!! Nak jeles apa?

Aku: Saya rasa awak perlukan seorang lelaki.

KS: Untuk apa?

Aku: Agar ada orang yang memeluk dan membelai. Agar tidur malam ditemani, agar hidup terisi dan tidaklah terlalu sunyi.

KS: Untuk apa semua itu? Huh, saya tak perlukan semua itu. Saya boleh hidup tanpa lelaki! (angkuh).

Aku: Tapi kan, cuba awak fikir, andai ibu awak dahulu berfikiran sama seperti awak, maka tidak akan lahirlah awak ke dunia ini, tidak berpeluanglah awak melihat dunia ini dan tidak berpeluanglah awak mengenali saya ini? Nasib baik mak awak tak anti lelaki dan berkahwin dengan ayah awak dahulu.

KS: (sepi).

Aku: Saya pulang dulu, besok kita jumpa lagi ya kakak! (aku memeluknya erat dan mencium kedua pipinya).

 

Nota:-

KS adalah singkatan kepada Kakak Sepanyol. Individu yang terlibat dalam perbualan di atas adalah Presiden Persatuan Wanita Rondilla (kawasan di mana aku tinggal) yang telah sudi mengambil aku dan keluargaku menjadi keluarga angkat beliau. Beliau bernama Elena, berusia 57 tahun, seorang pesara guru dan tidak pernah berkahwin di sepanjang hidupnya. Agak banyak juga jasa beliau kepada aku dan keluarga di sini. Terlalu banyak sebenarnya pertolongan yang telah dihulurnya kepada aku dan keluarga dalam menambah-ringankan lagi beban serta kesusahan yang terpaksa ditempuh di sini. Cuma satu sahaja, beliau agak prejudis dan anti lelaki. Tahap keantiannya kepada lelaki amat extrim hingga beliau melihat kewujudan lelaki di atas muka bumi ini sebagai tidak lebih dari hanya untuk menyakitkan dan memusnahkan wanita. Mungkinkah tugasnya sebagai Presiden Persatuan Wanita yang antara fungsinya ialah menerima aduan dan membantu isteri-isteri yang di dera dan di aniaya suami, yang telah menjadikannya begitu? Atau mungkinkah pengalaman hidupnya sendiri yang telah membentuk beliau begitu? Wallahua´lam. Apapun aku menghormati dan menyayanginya.

Pening: Eh, kau dulu ke, aku dulu?

Buntu: Erm, pening dulu baru buntu? Camtu?

Pening: Kau rasa?

Buntu: Kalau aku dulu, bermakna; Buntu dulu baru pening?

Pening: Kau rasa?

Buntu: Isshkk! Kan ke aku buntu? Mana lerr aku tau?

Pening: Habis tu kau ingat aku tau? Aku dah lerr pening.

Buntu: Aku dulu ke, engkau aarr?

Pening: Eh cuba kau ingat balik, masa kau sampai, aku dah ada lum?

Buntu: Entah!

Pening: Kau ni main entah jerr!

Buntu: Eh, aku kan buntu, camne aku nak tau?

Pening: Entah, aku pun pening.

Buntu: Eh, ada kemungkinan tak kita datang sama-sama?

Pening: Pening arr, susah arr nak pikir benda ni.

Buntu: Tu aarr, aku pun buntu.

Pening: Eh, apa kata kita tanya tuan punya badan? Bijak dak idea aku?

Buntu: Kau nak tanya, tanya aarr. Aku buntu!

Pening: Ishhkk! Pening arr kau ni.

Buntu: Baik! Kau yang tanya, aku tak tau. Buntu!

Pening: Buntu! Buntu! Buntu! Itu jerr kau tau. Haih, pening, pening!

Buntu: Ok, jom, kita tanya.

Pening: Jom!

 

Pening: Ermm, kacau sikit, boleh?

Aku: Hurm, cuba arr kalau berani.

Buntu: Psss!! Kau tanya, tanya!

Pening: Ermm, antara pening dengan buntu, yang mana datang kat hangpa dulu?

Aku: Eh kau kalau tak kacau aku leh tak? Leave me alone, okey?

Buntu: Adeh, dia speak omputih, lagilah aku buntu!

Pening: Shhh! Kau diamlah. Tadi kata buntu. Aku dah makin pening ni.

Buntu: Hang cuba lagi, tanya jangan tak tanya.

Pening: Ermm, kacau sikit jerr lagi, boleh arr? Mm, pening ka, buntu ka dulu?

Aku: HEP!! Pi jauh-jauh boleh dak? Nak pecah kepala ni tau? Satgi kan, haaa..

Pening: Opss, okey, okey, gua surrenderrrr!!!

 

Buntu: Amacam?

Pening: Entah! Pening aku.

Buntu: Aku pun, buntu!

 

Persoalan:-

Aku pening dulukah maka baru aku buntu atau aku buntu dulu kemudian baru aku pening? Haih!

 

Suatu petang, di kedai menjual daging halal, Rondilla. Seorang lelaki Morocco yang juga pelanggan di kedai tersebut telah memerhati aku atas dan bawah sehingga aku rimas dan serba salah. Beberapa ketika kemudian, dia menghampiriku lalu berlakulah dialog di bawah:-

 

Lelaki Morocco: Awak orang Filifina?

Aku: Eh, tak. Saya orang Melayu.

Lelaki Morocco: Mm, Melayu negaranya di mana ya?

Aku: Malaysia.

Lelaki Morocco: Oo, Malaysia (angguk-angguk kepala).

Aku: Tahu Malaysia di mana?

Lelaki Morocco: Tak tahu, dekat dengan Filifina kut?

Aku: Ya lah. Dekat dengan Filifina.

Lelaki Morocco: (Angguk-angguk kepala)

Aku: Pernah pergi Filifina?

Lelaki Morocco: Tak. Tapi saya ada kawan dari Filifina yang juga bekerja di sini.

Aku: Oo (angguk-angguk kepala).

Lelaki Morocco: Awak muslim ke?

Aku: Yup! Nape? Nampak macam bukan muslim ke?

Lelaki Morocco: Saya konfius.

Aku: Konfius?

Lelaki Morocco: Sebab wajah awak iras orang Filifina.

Aku: Aarr? Nape? Orang Filifina tak boleh jadi muslim ke?

Lelaki Morocco: Eh tak. Cuma, sebelum ni saya tak pernah jumpa orang Filifina muslim.

Aku: Orang Melayu, pernah jumpa?

Lelaki Morocco: Tak. Dengar pun tak pernah.

Aku: Oo (adeh, kesian, tak pernah dengar Melayu).

Lelaki Morocco: Awak, solat ke?

Aku: Eh, tentulah solat! Kan ke saya muslim?

Lelaki Morocco: Yalah awak muslim, tapi awak orang Melayu.

Aku: Aarr? Nape? Melayu muslim tak solat ke?

Lelaki Morocco: Entah!

Aku: Mana boleh tak solat. Kalau dah muslim wajiblah solat, tak kiralah apa bangsa pun. Yang suruh solat tu agama, kan? Bukan bangsa.

Lelaki Morocco: Mm, awak solat lima waktu jugakah?

Aku: Eh, tentulah! Kalau dah Tuhan perintah solat lima waktu, lima waktulah kita solat. Yang suruh solat tu, Tuhan, kan? Bukan Perdana Menteri.

Lelaki Morocco: Habis tu, apa awak baca dalam solat?

Aku: Laa, baca al-fatihahlah dan semua bacaan yang difardhukan.

Lelaki Morocco: Awak baca al-fatihah dalam bahasa apa? Dalam bahasa awak?

Aku: Isskk! Ada pula baca fatihah dalam bahasa saya? Kan ke dalam solat, bahasa arab sahaja yang dibenarkan, so baca fatihah dalam bahasa arablah, macam yang semua orang Islam baca, macam yang awak baca.

Lelaki Morocco: Boleh ke awak baca dalam bahasa arab?

Aku: Boleh! Bukan setakat al-fatihah, bahkan satu Quran pun saya boleh baca dengan lancar dan baik.

Lelaki Morocco: Aarr? Betulkah? Tapi awak bukan orang arab, macam mana awak boleh baca Quran?

Aku: Memang saya bukan orang arab, tapi kan saya ni muslim, maka wajiblah saya mempelajari macam mana nak baca al-Quran. Bukan saya sahaja, bahkan hampir semua muslim di negara saya tahu membaca Quran dengan baik.

Lelaki Morocco: Ye ke? (ragu-ragu)

Aku: Dengar, bismillah… (baca fatihah hingga tamat).

Lelaki Morocco: (terbeliak biji mata)

Aku: Sekarang awak percaya?

Lelaki Morocco: Menakjubkan! Macam mana awak boleh baca Quran dengan baik sedangkan awak bukan orang arab dan bahasa arab bukan bahasa ibunda awak? (takjub)

Aku: Kan saya dah cakap tadi. Di negara saya hampir semua muslim boleh membaca Quran dengan baik walaupun bahasa arab bukan bahasa pertuturan kami.

Lelaki Morocco: Awak faham ke maksud ayat-ayat yang awak baca tu? Maksud saya awak faham ke bahasa arab?

Aku: Faham sikit-sikit sahaja. Dahulu, saya pernah belajar bahasa arab masa di sekolah menengah, so bolehlah faham sikit-sikit.

Lelaki Morocco: Awak boleh cakap arab?

Aku: Oh, tak. Setakat tanya nama dan tanya khabar bolehlah. Ayah saya guru bahasa arab. Ha, dia boleh cakap arab.

Lelaki Morocco: Pelik! Tak boleh cakap arab tapi boleh baca Quran dengan baik. Sedangkan kami orang arab pun ramai yang tak boleh baca Quran dengan baik walaupun bahasa arab adalah bahasa ibunda kami. Kami faham kandungan al-Quran, tapi kami tidak boleh membacanya dengan baik.

Aku: Bukan benda yang pelik di negara saya. Meskipun kami tidak memahami bahasa arab, tetapi kami belajar macam mana nak baca Quran dari kecil. Di Malaysia, ada banyak kelas dan guru membaca al-Quran. Lazimnya ibu bapa menghantar anak-anak ke kelas membaca al-Quran dari kecil lagi.

Lelaki Morocco: Oo (terlopong, takjub).

Aku: Eh, saya beransur dulu la ya. Nak balik masak. Dah lama suami dan anak-anak tunggu kat rumah.

Lelaki Morocco: Oh, dah kahwin rupanya, hehe (sengeh kerang busuk).

Aku: Yup! Adiós.

Lelaki Morocco: Adiós. Tataa …

 

Nota:-

Rata-rata orang arab yang ku temui di Valladolid takjub bila mengetahui yang aku adalah seorang muslim. Mereka semakin takjub apabila dimaklumkan bahawa aku juga solat 5 waktu seperti mereka dan boleh membaca al-Quran dengan baik, malah lebih baik daripada mereka. Ketakjuban itu berpunca daripada sangkaan mereka bahawa di atas muka bumi ini, hanya orang arab sahajalah yang beragama Islam dan kerana al-Quran ditulis dalam bahasa arab maka ia hanya boleh dibaca dan difahami oleh kaum mereka sahaja. Seperti yang pernah ku nukilkan sebelum ini bahawa orang-orang arab morocco yang berhijrah ke Valladolid adalah terdiri daripada golongan berpendidikan rendah yang mempunyai pengetahuan am yang juga rendah.

 

 

Juruteknik telah datang ke rumahku untuk membaiki sitem pemanas yang rosak.

Juruteknik: Ding dong! (tekan loceng rumah)

Aku: (Kelam kabut cari tudung, berlari buka pintu).

Juruteknik: Hola! Selamat pagi.

Aku: Selamat pagi.

Juruteknik: Ini rumah puan ris? (minta kepastian)

Aku: Ya. Saya puan ris.

Juruteknik: Saya Juan. Jurutkenik sistem pemanas.

Aku: Oh, encik Juan.

Juruteknik: Sistem pemanas rosak, kan?

Aku: Ya, ya. Sudah seminggu rosak.

Juruteknik: Erm, boleh saya masuk?

Aku: Oh, ya, ya. Sila, kalau tak masuk macam mana nak baiki, ya tak? (sengeh)

Juruteknik: Mm, tau takpe. (selamba)

Aku: Sila, encik Juan. (terpana dengan kehanseman)

Juruteknik: (Bersedia untuk melangkah masuk)

Aku: Eh, sori, sori. Maaf encik. Lupa nak cakap tadi, encik boleh tanggalkan kasut tak?

Juruteknik: Aarr?? Kenapa kena bukak kasut lak? (bengang)

Aku: Maaf andai menyusahkan. Budaya kami memang kena tanggalkan kasut sebelum masuk ke rumah (menerang dengan kelembutan).

Juruteknik: Apa? Puan ni orang mana? (tercengang)

Aku: Saya orang Melayu, orang Asia. Orang Asia memang tak pakai kasut dalam rumah. (kuliah budaya).

Juruteknik: Aarr? (dahi berkerut)

Aku: Sememangnya sudah menjadi adat kami encik. Ia telah diketahui umum dan saya rasa encik juga sudah sedia maklum tentangnya.

Juruteknik: No, no, no! (jari menunjukkan simbol “no”)

Aku: Encik tanggalkan kasut di situ (muka pintu), dan masuk.

Juruteknik: Oh, no! Saya orang Sepanyol, bukan orang Asia. Lagipun, saya tetamu, bukan penghuni rumah. (tak puas hati)

Aku: Maaf encik, tetamu yang datang juga perlu menanggalkan kasut mereka sebagai menghormati tuan rumah.

Juruteknik: Tidak! (dengan suara yang tinggi)

Aku: Aarr? (terkejut)

Juruteknik: Tidak! Tak mungkin saya tanggalkan kasut saya semata-mata untuk masuk ke rumah awak. (tegang)

Aku: Encik jangan risau, saya akan pastikan kasut encik selamat dan diletak di rak yang disediakan. Jika encik tidak biasa, encik boleh pakai kasut atau selipar yang khusus untuk kegunaan di dalam rumah (menghulur selipar di dalam rumah).

Juruteknik: No. Sori! (geleng kepala)

Aku: Aarr?

Juruteknik: Seumur hidup, saya tidak pernah masuk ke rumah tanpa kasut. Dan ini adalah kali pertama orang minta saya tanggalkan kasut untuk masuk ke rumahnya. (geleng kepala)

Aku: Maaf encik. Ia sudah menjadi adat dan tradisi kami (pohon simpati).

Juruteknik: No! Jika puan nak juga saya tanggalkan kasut, saya tidak akan masuk. Kalau puan nak saya baiki sistem pemanas yang rosak itu, puan mesti benarkan saya masuk dengan kasut-kasut sekali. (tegas)

Aku: Aarr?

Akhirnya, aku terpaksa jua membenarkan juruteknik tersebut masuk ke rumahku dengan kasutnya yang penuh debu dan selut (entah selut dari mana diangkutnya).  Itu yang aku nampak di bahagian sebelah atas kasut, di bahagian tapak yang aku tidak nampak? Oh, tidakkkkkkk!

 

Nota:-

Orang sepanyol sangat bengang bila disuruh menanggalkan kasut sebelum masuk ke rumah. Bagi mereka, amalan tersebut amatlah aneh dan lucu. Oleh yang demikian, setiap kali mereka datang, setiap kali itulah juga aku terpaksa mengelap seluruh rumah selepas mereka pulang. Adeh, penat dan sakit seluruh belakang.

18. May 2011 · Write a comment · Categories: Jiwa

 

Bahagia tidak perlu dicari

Ia ada di dalam diri.

Ia tidak perlu diburu

Ia hanya perlu diseru.

Ia tidak berada jauh

Ia cuma termendap di dalam roh.

 

Ia tertimbus

Oleh debu-debu dosa;

Oleh rakus

Oleh haloba.

Oleh riak

Oleh angkuh

Oleh tamak

Oleh bodoh.

 

Tidak perlu pergi jauh untuk mencari bahagia

Ia ada di dalam jiwa.

Gali

Gilap

Gilang

Gemerlap.

Budaya memberi hadiah adalah universal yakni ia wujud di semua negara dan diamalkan oleh semua bangsa. Hadiah boleh diberi oleh sesiapa jua kepada sesiapa jua, dalam apa jua bentuk dan rupa, pada bila-bila masa, atas apa jua sebab dan alasan atau boleh juga tanpa sebarang motif. Hadiah boleh diterima daripada seorang yang lebih dewasa atau sebaliknya, oleh lelaki atau sebaliknya, oleh mereka yang berstatus lebih tinggi atau sebaliknya, oleh mereka yang tidak dikenali atau sebaliknya, oleh mereka yang kaya atau sebaliknya, malah oleh sesiapa jua kepada sesiapa jua. Hadiah boleh bersifat konkrit atau abstrak, boleh berupa material atau moral, boleh dilihat dan disentuh atau sebaliknya, malah senyuman dan doa juga boleh menjadi hadiah. Hadiah boleh diberi atas apa jua alasan, kejayaan, kejuaraan, kemenangan, sokongan, motivasi, galakan, rangsangan, ikatan, kegembiraan, kebahagiaan, kepercayaan, malah hadiah juga boleh diberi tanpa sebarang alasan. Namun, hadiah lazimnya dikaitkan dengan kegembiraan atau sesuatu yang berunsur positif.

Apa yang hendak aku nukilkan di sini sebenarnya ialah perbezaan di antara dua budaya, Melayu dan Sepanyol dalam konteks menerima hadiah. Seperti yang telah aku nyatakan di atas, amalan memberi hadiah wujud dalam kedua-dua budaya, malah wujud dalam semua budaya yang ada di dunia ini. Namun, ada sedikit perbezaan dari sudut penerimaan hadiah atau lebih tepat lagi perbezaan dari segi cara penerima menunjukkan penghargaan atau rasa terima kasihnya kepada si pemberi atas hadiah yang telah diterima. Perbincangan ini adalah terhad kepada pemberian hadiah berupa material yang lazimnya dibungkus atau dibalut bertujuan menimbulkan kesan kejutan atau tertanya-tanya di pihak penerima, atau boleh jadi ia dibungkus untuk mengelakkan rasa malu atau rendah diri di pihak pemberi jika hadiah itu tidak seberapa dari segi rupa dan nilai kebendaannya.

Seperti yang diketahui, membuka bungkusan hadiah di hadapan si pemberi dalam budaya Melayu, adalah dianggap sebagai tidak sopan atau tidak beradab. Masyarakat Melayu mengaitkan hal tersebut dengan kegelojohan, kebendaan, ketamakkan, ketidak-sabaran dan seupamanya. Ia bukan sahaja memberi imej buruk kepada penerima hadiah, malah juga boleh mengaibkan pemberi hadiah. Bayangkan, jika si pemberi adalah seorang miskin yang hanya mampu membeli barang murah untuk dihadiahkan kepada si penerima dan hadiah tersebut dibuka di hadapan orang lain termasuk pemberi sendiri, maka keadaan itu boleh mengaibkan pemberi atau boleh membuatnya berasa rendah diri. Membuka hadiah secara terus sebaik berpindah tangan terutamanya dalam majlis yang dihadiri ramai orang adalah amat tidak sopan. Ia tidak lebih dari menunjukkan ketidak-pekaan penerima terhadap perasaan orang lain dan juga seolah-olah seperti hendak membanding-bandingkan hadiah yang diberi oleh seseorang dengan seseorang yang lain. Ia boleh menjatuhkan air muka pemberi. Berbeza halnya dengan amalan yang dilakukan oleh pengantin masa kini yang membuka hadiah-hadiah yang diterima selepas selesai upacara persandingan kerana ia dilakuan setelah kesemua jemputan pulang. Lazimnya ia dilakukan di hadapan ahli keluarga dan sanak saudara terdekat untuk menambah meriahkan lagi suasana.

Namun, keadaan adalah di sebaliknya dalam budaya Sepanyol. Hadiah yang tidak terus dibuka di hadapan pemberi akan melukakan hati pemberi. Masyarakat Sepanyol berpendapat bahawa hadiah perlu dibuka di hadapan pemberi kerana ia melambangkan kepercayaan, penghargaan, kegembiraan, kebahagian, kesyukuran dan seumpamanya di pihak penerima. Seseorang itu akan dianggap tidak sopan dan tidak beradab jika tidak terus membuka bungkusan hadiah sebaik menerimanya daripada pemberi. Jika hadiah tersebut tidak terus dibuka, pemberi akan berasa yang dirinya seolah-olah seperti tidak berharga dan hadiah yang diberi seolah-olah seperti tiada nilainya. Bagi mereka, tergesa-gesa membuka hadiah di hadapan pemberi adalah suatu kemuliaan kerana ia menunjukkan bahawa si penerima begitu gembira hingga tidak sabar-sabar hendak melihatnya. Semakin rakus si penerima membuka bungkusan, semakin si pemberi berasa bangga dan gembira kerana itu menunjukkan yang si penerima begitu menghargai hadiah tersebut dan amat bersyukur menerimanya. Sebaliknya pula, jika hadiah yang diberi itu diletak ketepi atau dibawa masuk ke bilik atau disorokkan dahulu, maka si pemberi akan berasa rendah diri dan keciwa kerana beranggapan ia tidak istimewa dan tidak dihargai oleh si penerima.

Maka, andai suatu hari anda menerima apa-apa hadiah daripada mana-mana orang Sepanyol, maka bukalah bungkusannya cepat-cepat di hadapan si pemberi itu sendiri kerana itulah sebesar-besar penghargaan dan terima kasih yang boleh anda tunjukkan atas kesudian dan susah payah mereka memberikan anda hadiah. Dan apabila tiba giliran anda pula memberi hadiah kepada mereka, janganlah pula terkejut atau berasa pelik jika hadiah itu dibuka dengan gelojohnya di hadapan anda atau orang lain kerana itulah caranya mereka menunjukkan rasa terima kasih dan penghargaan kepada anda yang telah memberikan mereka hadiah.

Staf A: Selamat pagi.

Aku: Selamat pagi.

Staf A: Sila duduk.

Aku: Terima kasih (tarik kerusi, satu untuk aku, satu untuk hubby).

Staf A: Ya, ada apa puan ke mari?

Aku: Nak perbaharui kad pengenalan (resident card).

Staf A: Dokumen-dokumennya?

Aku: Ini dia cik (hulur file dokumen)

Staf A: Borang dah isi?

Aku: Dah! Semua ada dalam file tu.

Staf A: (Buka file, periksa dokumen satu persatu).

Aku: (Harap-harap semua dokumen lengkap).

Staf A: Hurm, tak lengkap.

Aku: Aarr?? Apa maksud cik? (keciwa).

Staf A: Ada beberapa dokumen yang tidak dilampirkan.

Aku: Dokumen apa tu? (penuh yakin semua dokumen sudah lengkap).

Staf A: Salinan muka depan buku akaun tidak dilampirkan dan tidak ada letter of repatriation.

Aku: Apa? Tahun-tahun lepas takde diminta pun semua tu?

Staf A: Itu tahun lepas, tahun ni diperlukan semua dokumen tu.

Aku: Syarat berubah setiap tahun ke?

Staf A: Yup, berubah bila ada kepentingan.

Aku: Kenapa tak dihantar surat atau sebarang notis memaklumkan perubahan?

Staf A: Puan kenalah datang bertanya. Pemohon berjuta, takkan nak hantar surat.

Aku: (Aduss, nak datang tanya, macamlah office awak tu sebelah rumah saya)

Staf A: So, puan balik, lengkapkan dokumen dan datang semula.

Aku: Adeh. Ok, apa lagi yang perlu saya bawa? Esok-esok saya datang, ada lagi yang tak lengkap kan. Rumah saya dengan pejabat ni, bukan dekat cik. Dahlah saya takde kereta, mai jalan kaki.

Staf A: Oh ya. Puan juga perlu bawa kesemua anak-anak bersama.

Aku: Aarr?? Bawa semua anak-anak?

Staf A: Yup!

Aku: Biar betul.

Staf A: Betul!

Aku: Ni pun syarat baru ke?

Staf A: Eh, takdelah. Memang kena bawa anak-anak. Sebab puan bukan nak perbaharui kad puan saja kan, untuk seisi keluarga juga, kan? So, semua ahli keluarga kena datang.

Aku: Biar betul. Tahun-tahun lepas tak disyaratkan membawa anak-anak pun. Ibu ayah sahaja yang diwajibkan datang. Budak-budak tu sekolah, kalau dibawa ke sini maknanya mereka kena ponteng sekolahlah? Macam mana tu?

Staf A: Terpaksalah. Kalau tak, kita tak boleh proses permohonan tu.

Aku: Haih, pening saya macam ni.

Staf A: (Angkat bahu sambil memulangkan semula file dokumen kepadaku).

Aku: Terima kasih, adios.

Staf A: Adiós.

 

Seminggu kemudian (setelah semua dokumen lengkap dan setelah berjaya memujuk ketiga-tiga anakku agar ponteng sekolah).

Staf B: Selamat pagi.

Aku: Selamat pagi.

Staf B: Sila duduk.

Aku: (tercengang, kami berlima, kerusi satu)

Staf B: (buat-buat tidak tahu, muka masam kelat).

Aku: Hurmm (duduk, hubby dan anak-anak bediri).

Staf B: Ya, ada apa?

Aku: Perbaharui kad pengenalan.

Staf B: Dokumen?

Aku: Ini dia, semua ada dalam file (hulur file dokumen).

Staf B: (mata melilau memandang anak-anakku)

Aku: (memberi isyarat kepada anak-anakku agar duduk diam-diam).

Staf B: Hurm,tiga-tiga ni anak puan? (masam)

Aku: Yup, anak-anak sayalah (apa kes nak bawa anak-anak orang lak?)

Staf B: Puan tak perlu bawa budak-budak. Dia orang kan sekolah. Mana boleh ponteng sekolah. Puan dengan hubby sahaja datang cukup! (serius).

Aku: Aarrr? Apa??? (hampir pitam, geram).

 

Nota:-

Proses memperbaharui kad pengenalan (resident card) di Sepanyol amat memeningkan kepalaku dan meremuk-redamkan jiwaku. Prosedurnya amat berbelit-belit dan staf-staf di pejabat pendaftaran pula sangatlah tidak mesra alam dan amatlah putar alam.

Untuk tahun 2011, hampir sebulan aku bertungkus lumus menyediakan segala dokumen yang diperlukan untuk permohonan pembaharuan kad tersebut. Bila dah dihantar pada tarikh yang ditetapkan, dikatakan tidak lengkap pula. Ada tambahan syarat baru yang notis pemberitahuannya tidak dikeluarkan atau diwarwarkan. Disuruh pula bawa anak-anak yang mereka tahu bahawa anak-anak itu perlu ke sekolah setiap hari. Telah kupersoalkan tentang suruhan tersebut memandangkan tahun-tahun sebelumnya ia dilakukan tanpa perlu membawa anak-anak, hanya aku dan hubby sahaja yang diminta datang. Namun Staf A telah bertegas mengatakan “perlu”. Bayangkan perasaan aku dan anak-anakku sendiri apabila staf B mempersoalkan aku yang datang dengan anak-anak dengan berkata “tak pelu bawa budak-budak”, setelah aku bersusah payah selama seminggu memujuk anak-anakku dan juga pihak sekolah agar membenarkan mereka ponteng dan ikut aku ke pejabat pendafataran?

Atas ketidak-mesraan alam dan keputar-alaman yang nyata di pihak pejabat pendaftaran Sepanyol, maka aku memberi mereka markah 1 sahaja dari markah penuh 10. Markah 1 itupun, aku berikan kepada tandas mereka yang agak bersih dan tidak berbau. Akan sistem, prosedur dan sikap kakitangan mereka, hampeh!

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...