Suatu pagi, ketika aku menghampiri meja study ku, aku terpandang sekeping nota yang telah diletakkan di atas laptopku. Nota itu telah ditulis oleh si kakak dalam bahasa Sepanyol yang terjemahannya berbunyi begini;

Mama, kakak nak buat pengakuan tentang beberapa dosa yang telah kakak dan adik lakukan.

Tahun 2008, kakak dan adik telah mengambil 2 helai kertas A4 mama tanpa pengetahuan mama.

Tahun 2009, kakak dan adik telah meminum air gas mama tanpa keizinan mama, dan kami telah top up botol air gas itu dengan air paip supaya mama tidak dapat mengesannya.

Tahun 2010, kakak dan adik telah mengambil sebutir coklat mama, tanpa kebenaran mama.

Mama, kakak membuat pengakuan ini kerana kakak tidak mahu masuk neraka, kakak dan adik hendak masuk syurga. Ampunkan kami mama, janganlah potong jari dan tangan kami. Kasihanilah kami, maafkanlah kami, kakak dan adik berjanji tidak akan mengulanginya lagi dan tidak akan sekali-kali mengambil barang orang lain tanpa keizinan tuannya lagi. Maafkan kami ya mama.

Yang benar,

Kakak

(Mama, jangan lupa hari sabtu ni kita chat di FB, dan mama boleh email kakak kalau ada apa-apa yang mama nak beritahu).

Ketika aku membaca nota ini, si kakak dan adik berada di sekolah. Pelbagai perasaan berbaur di dalam diriku selepas membacanya. Aku berasa sungguh terharu atas pengakuan ikhlas kakak (10 tahun manakala si adik 9 tahun) akan dosa-dosanya itu.

Sebenarnya, sehari sebelum pengakuan itu dibuat, aku telah memberi syarahan panjang lebar tentang perbuatan mencuri. Aku juga telah memberi amaran keras kepada mereka iaitu sesiapa di antara mereka yang di tangkap mencuri akan dipotong samada jari atau tangan bergantung kepada nilai barang yang dicuri dan sebab musabab ia dicuri. Aku juga telah menjelaskan secara terperinci akan maksud dan klasifikasi mencuri. Alhamdulillah syarahanku telah memberi kesan kepada mereka.

Di samping berasa terharu, aku juga sebenarnya berasa geram dan lucu. Bertahun aku tertipu dengan kelicikkan mereka yang telah menggantikan air gas yang luak di dalam botolnya dengan air paip. Patutlah setiap kali meminumnya aku perasan yang rasanya agak aneh malah kadang-kadang ia langsung tidak mempunyai rasa air gas walaupun baru sehari dibeli. Sungguhpun begitu, aku tidak mengambil kisah akan hal itu kerana menyangka yang air gas di Sepanyol memang mempunyai rasa yang sedikit berbeza daripada yang di tanah air. Rupa-rupanya selama ini aku telah menogok air paip berperisa klorin pekat, adeh!

Namun, ayat terakhir yang telah ditulis oleh kakak di dalam kurungan telah membuatkan aku ketawa terbahak-bahak. Mungkin kakak atau adik takut untuk berdepan denganku setelah menulis pengakuan itu. Lantas diusulnya aku agar berhubung dengan mereka menerusi FB atau email sahaja, jika ada sesuatu yang hendak diberitahu. Macamlah kakak dan adik tinggal jauh dariku beribu-ribu batu, sedangkan jarak sekolah mereka dengan rumah tak sampai pun setengah batu.

Malam itu sebelum tidur aku telah memanggil kedua-dua kakak dan adik mengadapku. Aku lantas bertanyakan kepada mereka tentang surat pengakuan dosa yang telah ditulis itu. Kedua-duanya tunduk memandang lantai, tidak berani memandang wajahku. Tiba-tiba seluruh ruang jiwaku diterjah rasa kasihan. Aku lantas memeluk keduanya sambil berkata; Sayang, mama ampunkan segala dosa sayang dan berjanjilah bahawa sayang tidak akan mengulanginya lagi di masa hadapan. Mama cuma menyampaikan, tetapi yang melarang manusia berbuat dosa itu ialah Tuhan. Jika kakak dan adik sayangkan mama, takutlah kepada Tuhan dan taatlah kepada Tuhan. Berhamburan air mata mereka berdua tumpah di bajuku. Pada malam itu, dalam esak yang panjang, mereka telah membuat sumpah aku janji untuk menjadi anak yang baik dan sumpah aku janji untuk tidak mengulangi kesilapan serupa pada masa akan datang.

Sesungguhnya ia adalah pengakuan dosa dan sumpah aku janji yang paling menyentuh hati dalam sejarah hidupku.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *