Fenomena “Air Muka” (Face) telah dicetuskan oleh Brown dan Levinson (1978) berdasarkan “Teori Air Muka” (Theory of Face) yang telah diperkenalkan oleh Goffman (Goffman´s Notion of Face, 1967). “Air Muka” (Face) merujuk kepada keinginan atau kecenderungan seseorang untuk memelihara atau menjaga air mukanya sendiri atau air muka orang lain dalam komunikasi linguistik. Menurut Brown dan Levinson, air muka terbahagi kepada dua iaitu air muka positif (positive face) dan air muka negatif (negative face). Air muka positif merujuk kepada keinginan untuk dipandang mulia manakala air muka negatif merujuk kepada kemahuan untuk tidak dihalang tindakan.

Keperluan untuk menjaga air muka mendorong manusia untuk mempraktikkan ketidak-langsungan (Indirectness), lalu mendorong pula mereka untuk mengaplikasikan strategi-strategi linguistik untuk menunjukkan kesopanan (Linguistic Politeness Strategies, Brown dan Levinson, 1978). Ia boleh difahami menerusi kerangka di bawah:-

Air muka

(keperluan untuk menjaga air muka sendiri atau orang lain)

Ketidak-langsungan

(tidak mahu mengungkap secara langsung)

Strategi Kesopanan Lingusitik

(pilihan perkataan dan ayat tertentu untuk menyerlahkan kesopanan)

 

Contoh dalam situasi:-

Lokasi: Di dalam bilik di sebuah asrama.

Laila: Ishhkk laptop aku rosak arr, camne nak taip assigment ni, besok nak hantar.

Wani: Mmm, aku pun nak hantar besok gak, banyak lagi nak taip ni.

Keterangan:-

Laila berhasrat untuk meminjam laptop Wani kerana laptopnya dimasuki virus. Demi untuk menjaga air mukanya dan juga air muka Wani, Laila telah memilih untuk mengemukakan permintaan secara tidak langsung (indirect request). Laila telah menggunakan “Mild Hint” sebagai strategi untuk memperoleh apa yang diharapkan.

Wani tidak mahu meminjamkan laptopnya kepada Laila. Sungguh pun begitu, Wani tidak mahu air mukanya dan air muka Laila terjejas. Seperti juga Laila, Wani memilih untuk menolak secara tidak langsung (indirect refusal). Wani telah menggunakan strategi “Request for Empathy” untuk membuat penolakan.

Kedua-dua pihak telah memilih lakuan tuturan tidak langsung (indirect speech acts) dan strategi-strategi tertentu (Mild Hint dan Request for Empathy) untuk menjaga air muka masing-masing.

 

Nota:

1. Kesopanan Linguistik (Linguistic Politeness) merujuk kepada kata-kata atau bahasa yang digunakan untuk menunjukkan kesopanan.

 2. “Mild Hint” adalah salah satu strategi permintaan (request strategies) usulan Blum-Kulka (1989).

3. “Request for empathy” adalah salah satu strategi penolakan (refusal strategies) dalam kodifikasi penolakan oleh Beebe et al. (1990).

Menurut Brown dan Levinson (1978, 1987) permintaan (request) dan penolakkan (refusal) adalah lakuan tuturan (speech acts) yang boleh mengancam air muka (face-threatening acts), samada di pihak penutur maupun pendengar. Ketika membuat permintaan, penutur sebenarnya sedang mempertaruhkan air mukanya sendiri. Jika permintaannya ditolak, air mukanya boleh jatuh. Di samping itu, air muka pendengar juga turut terancam kerana jika dia menolak permintaan tersebut pelbagai tanggapan negatif boleh timbul ke atasnya di pihak penutur. Berikut adalah contoh dalam situasi:-

Ali mahu memindahkan semua kotak dari dalam keretanya ke biliknya di tingkat 3. Oleh kerana lif rosak Ali terpaksa menggunakan tangga. Masalahnya Ali tidak mampu membawa semua kotak itu seorang diri. Pertama, jumlahnya banyak. Kedua, ia agak berat. Secara kebetulan, Johan melintas di situ lalu Ali meminta Johan membantunya mengangkat kotak-kotak tersebut ke atas. Malangnya Johan telah menolak permintaan tersebut dengan alasan mahu cepat. Ali berasa keciwa walaupun dia sedar dia tidak ada hak untuk memaksa. Johan juga keciwa kerana dia sedar dia telah menghampakan Ali.

Analisis pragmatik ke atas senario di atas:-

Ali = Penutur

Johan = Pendengar

Lakuan tuturan = Permintaan (Request) dan Penolakkan (Refusal)

Klasifikasi lakuan tuturan = Lakuan yang mengancam air muka (Face-Threatening Acts)

Kehendak Ali = Semua kotak diangkat ke atas.

Masalah Ali = Kotak banyak dan berat, lif rosak.

Tindakan Ali = Meminta bantuan Johan yang kebetulan lalu di situ.

Risiko ke atas Ali = Jika Johan menolak, air mukanya boleh jatuh.

Tindakan Johan = Menolak dengan alasan mahu cepat.

Risiko ke atas Johan = Jika persepsi Ali negatif, air mukanya boleh jatuh.

Kesan kepada Ali = Air mukanya jatuh dan dia menyesal meminta tolong Johan.

Kesan kepada Johan = Air mukanya jatuh dan dia menyesal mengecewakan Ali.

 

Mesej: Kemahiran pragmatik amat penting dalam kehidupan kita sehari-hari. Kerana, ketidak-cekapan nahu hanya memperlihatkan kepincangan kita kepada orang lain dari segi bahasa atau kulitnya sahaja. Sebaliknya, ketidak-wibawaan pragmatik boleh mengundang persepsi negatif orang lain terhadap akhlak dan sikap dalaman kita.

Pragmatic failure is more serious than linguistic error in the sense that pragmatic failure may reflect badly on the speaker as a person, while linguistic error indicates only that the speaker is less than proficient in the language. Linguistic errors are apparent in the surface structure, that is, the hearer is aware that the speaker is less than adequate user of the language. Pragmatic failure, on the other hand, results in the hearer attributing normative violations on the part of the speaker not to linguistic deficiency but to rudeness, disrespect, and so on.

(Thomas, 1983, 1984)

Seorang mubaligh kristian (lelaki) dan dua orang pembantunya (perempuan) telah datang ke rumahku, lalu berlaku perbualan antara kami seperti berikut:-

Mubaligh: Selamat pagi, apa khabar? (penuh sopan dan adab).

Pembantu: (senyum, terselah giginya yang tersusun cantik).

Aku: Selamat pagi, khabar baik (sopan, meski dalam hati penuh tanda tanya, orang berbudi kita berbahasa).

Mubaligh: Saya Pedro, yang ini Teresa dan itu María. Kami adalah pencinta kebenaran dan kedamaian (suara lembut memukau).

Aku: Oo, ada apa tu encik, ada yang boleh saya bantu? (mushkil akan tujuan kedatangan walaupun boleh serkap jarang).

Mubaligh: Kami datang nak sebarkan risalah (menunjukkan risalah di tangannya).

Aku: Risalah apa tu encik? Boleh encik terangkan? (boleh agak, namun sengaja bertanya dengan niat hendak praktis bahasa).

Mubaligh: Risalah ini adalah risalah keagamaan, ia penuh dengan petikan-petikan yang mengajak manusia hidup dengan aman dan harmoni di atas muka bumi ini. (nama agama tidak disebut sebaliknya diwarwarkan tentang anjuran agama, mereka tahu jika disebut krsitian mungkin awal-awal lagi aku tutup pintu).

Aku: Oo, boleh saya tahu risalah ini, risalah tentang agama apa? (sengaja bertanya kerana tertarik dengan pragmatik mereka).

Mubaligh: Oh ya, risalah ini ialah risalah agama kristian (ahh soalanku telah dijawab secara direct).

Aku: Oo, mm, maaf encik, saya seorang muslim (memilih untuk direct juga memandangkan mahu cepat kerana perlu ke fakulti).

Mubaligh: Ya, saya tahu, tetapi kedatangan kami sekadar mahu mengedar risalah ini dan tidak salah jika anda membacanya (manisnya muka, cair).

Aku: Apakah sebenarnya yang telah ditulis di dalam risalah ini? (bertanya lembut dan cuba bermuka semanis mungkin, maklumlah wajahku semulajadi garang).

Mubaligh: Ia adalah himpunan petikan-petikan daripada kitab bible.

Aku: Ooo, mm, seperti yang telah saya nyatakan tadi, saya seorang muslim. Tidakkah risalah ini untuk bacaan mereka yang beragama kristian sahaja? Saya sudah memiliki kitap untuk dibaca iaitu Quran.

Mubaligh: Saya tahu, tetapi apa yang ditulis di dalam bible adalah sama dengan apa yang ditulis di dalam Quran. (bersungguh).

Pembantu: Betul tu, Quran dan bible sama sahaja. Dalam Quran ada diceritakan tentang nabi Ibrahim, bible pun sama. Malah cerita tentang nabi Musa dan nabi Isa pun ada di dalam kedua-dua kitab. Begitu juga Mariam dan lain-lain lagi. (pembantu mubaligh yang dari tadi sepi tiba-tiba bersuara).

Mubaligh: Benar, kedua-dua kitab adalah sama, apa yang diceritakan di dalam Quran juga diceritakan di dalam bible. (cuba meyakinkan aku).

Aku: Sama? Betul ke sama? (sengaja bertanya).

Mubaligh: Ya, sama! (yakin).

Aku: Betulkah? (provokasi).

Mubaligh: Ya! Agama kita sebenarnya sama kerana Tuhan kita adalah Allah. Agama kita mengajar benda yang sama, begitu juga kitab kita. Cuma nama agama sahaja berbeza. (semakin yakin jarumnya mengena setelah aku berpura-pura jahil).

Aku: Encik pasti sama? (terus berlakun jahil).

Mubaligh dan pembantu: Pasti! (serentak, penuh yakin).

Aku: Agama kita sama, mengajar benda yang sama, kitab kita serupa, menceritakan benda yang serupa, dan Tuhan kita sama iaitulah Allah. Encik sedang memberitahu saya bahawa saya tidak perlu membaca risalah yang encik edarkan itu. Saya sudah memiliki kitab al-Quran yang kandunganya, seperti yang encik dakwa, sama dengan bible.

Mubaligh: Saya tahu, tetapi apa yang ditulis di dalam risalah ini mungkin lebih jelas, lebih mudah difahami berbanding keterangan di dalam bible maupun Quran. Adapun tentang kitab, agama dan ajaran antara kristian, bible, Islam dan Quran, adalah sama. Tuhan kita sama-sama Allah, bukan?

Aku: Mmm, kalau macam tu, apa kata encik dan kawan-kawan encik masuk Islam dan baca Quran? Takde masalah kan, sebab semuanya sama. (sengeh comel)

Mubaligh dan pembantu: Kelu seketika, kemudian bertanya; Mm, anda berasal dari mana? (lupa nak tanya dari awal atau cuba mengalih topik?).

Aku: Malaysia (bangga menyebut negaraku).

Mubaligh: Ooo, mm, napa ya anda berhijrah ke mari? (soalan yang sepatutnya ditanya dalam sesi mukadimah)

Aku: Saya tidak berhijrah, saya adalah pelajar yang telah diberi biasiswa oleh negara saya untuk menuntut secebis ilmu di sini dan akan pulang ke tanah air setelah pengajian selesai.

Mubaligh: Boleh saya tahu bidang pengajian anda, dan di fakulti mana anda belajar?

Aku: Saya adalah penuntut di Fakulti Filosofi dan Letrasi, dalam bidang pragmatik.

Mubaligh: Ooo, (mengangguk-ngangguk kepala). Okey, kami minta diri dulu, maaf kerana telah menganggu, mengambil masa anda. (pipinya lebih merah daripada waktu mula datang).

Aku: Oh takde masalah, seronok dapat bertukar-tukar ilmu pengetahuan, kan? (selamba).

Mubaligh dan pembantu: Ya, ok, kami beransur dulu, adiós.

Aku: Adiós!

 

Setelah mereka jauh, aku menadah tangan ke langit dan berkata; Terima kasih Allah kerana melindungiku!

Poco-poco, jika ditarikan dengan niat untuk menyihatkan tubuh badan, tidak mengandungi unsur-unsur yang memesongkan akidah, maka di manakah salahnya? Kelihatannya, yang salah itu bukan nama, tetapi niat dan pelaksanaan. Tarian zapin, inang, malah tarian-tarian lain, sekali pun namanya berbunyi arab yang sinonim dengan Islam, jika dilakukan dengan niat memuja dan dilaksanakan pula dalam keadaan yang tidak diizinkan syariat umpamanya bercampur lelaki perempuan, tidak menutup aurat, ditarikan di tempat-tempat yang boleh mengundang fitnah dan sebagainya maka hukumnya juga adalah haram. Seorang isteri yang melakukan tarian poco-poco dalam keadaan tidak bebaju di dalam bilik tidurnya di depan suaminya, adalah harus, malah wajib andai ia merupakan perintah daripada si suami. Namun, jika si isteri tadi menarikan tarian inang atau tarian lain selain daripada poco-poco di hadapan orang lain yang bukan muhrimnya atau di tempat terbuka dalam keadaan tidak menutup aurat, samada tanpa atau dengan keizinan suaminya, maka hukumnya adalah haram.

Namun begitu, harus direnung, apakah sebenarnya rujukan tarian poco-poco? Jika poco-poco itu adalah nama tarian yang secara universalnya (sebagaimana yang telah diterima atau difahami ramai di seluruh dunia) merujuk kepada tarian yang ditarikan oleh kumpulan atau bangsa asal yang menciptanya untuk tujuan keagamaan, maka nama “poco-poco” itu adalah isu utamanya. Analoginya; “Arak” telah diguna pakai dan telah diterima oleh masyarakat kita sebagai perkataan yang merujuk kepada “minuman daripada anggur yang diperam, memabukkan dan hukum meminumnya adalah haram”. Malah air teh atau kopi hatta air kosong sekalipun, jika di panggil atau dianggap sebagai arak, maka hukum meminumnya juga adalah haram. Kerana arak adalah nama spesifik (dalam bahasa melayu) yang merujuk kepada minuman yang telah diharamkan oleh Allah s.w.t.

Sekalipun nama bersifat arbitrari (wewenang), tetapi apabila ia telah diterima dan diguna pakai dengan meluas dalam sesuatu masyarakat untuk merujuk kepada sesuatu benda atau perkara tertentu maka rujukannya adalah spesifik. Contoh tentang kearbitrarian; Tidak ada ketetapan yang mengatakan bahawa benda berkaki empat yang digunakan oleh manusia untuk duduk, harus dinamakan “kerusi”. Malah ia boleh sahaja dipanggil “selipar”. Namun, oleh kerana perkataan “kerusi” telah dipilih sebagai lambang kepada objek kerusi itu dan ia telah diterima dan diguna pakai dengan meluas dalam masyarakat Melayu a.k.a Malaysia, maka rujukan “kerusi” telah menjadi spesifik. Jadi, dalam bahasa Melayu, apabila disebut “kerusi” secara automatik rujukannya adalah kepada “objek berkaki empat yang digunakan oleh manusia untuk duduk”.

Berbalik kepada isu poco-poco, penulis berpendapat adalah molek kiranya sebarang tarian atau senaman yang dilakukan bukan dengan niat seperti niat tarian asal poco-poco dan metod pelaksanaannya juga tidak sama, dipanggil dengan nama lain. Jika ia ditarikan tanpa niat keagamaan dan berbeza daripada poco-poco, maka usahlah dipanggil poco-poco, demi untuk mengelakkan keterpesongan akidah atau fitnah ke atas akidah umat Islam oleh orang-orang Islam sendiri, atau untuk mengelakkan kekeliruan seterusnya perbalahan sesama umat Islam. Gunakan nama lain, misalnya “senaman ceria” atau sebarang nama yang masih belum digunakan oleh mana-mana pihak untuk apa jua aktiviti pemujaan agama mereka. Apa, tak seronok ke kalau tak dipanggil poco-poco?

Oh ya, jika benar tarian poco-poco berasal daripada Filipina, maka mungkin perkataan poco-poco berasal daripada perkataan Sepanyol, memandangkan Sepanyol pernah menjajah Filipina suatu masa dahulu. Dalam bahasa Sepanyol, “poco” bermaksud “sedikit”. Adakah “poco-poco” dalam bahasa Filipina bermaksud “sedikit-sedikit”? Entah, kerana penulis tidak arif tentang bahasa Filipina, sekadar tahu yang pengaruh Sepanyol ke atas Filipina kesan daripada penjajahan dahulu adalah sangat besar, samada ke atas budayanya maupun bahasanya. Tetapi, jika “poco-poco” memang bermaksud “sedikit-sedikit” dalam bahasa Filipina, maka mungkin tarian poco-poco itu dilakukan oleh mereka sebagai salah satu cara atau kaedah untuk mendekati Tuhan mereka, sedikit demi sedikit. Sedikit-sidikit? Ya, perkataan ini wajar digeruni kerana memang segalanya  bermula daripada sedikit-sedikit. Termasuklah, usaha mereka di luar sana untuk memesongkan akidah kita, sedikit demi sedikit. Wallahua´lam.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...