Antara perkara yang paling aku suka di Sepanyol ialah layanan “first class” pemilik kedai baju dan pekerja-pekerja mereka terhadap para pelanggan. Walau apa pun status kedai, dari kedai baju biasa hingga ke butik-butik berjenama, layanan yang diberi adalah sama, memuaskan. Mereka amat profesional dalam menyediakan perkhidmatan dan sungguh beradab dalam memberi layanan. Sentuhlah nak sentuh apa pun baju, cubalah nak cuba sebanyak mana pun baju, pelanggan tidak akan dimarahi malah langsung tidak akan diperhati. Mereka juga tidak kisah andai pelanggan mahu mencuba kesemua baju yang ada di dalam kedai, malah menggalakkan. Jika pelanggan keluar dengan tangan kosong, yakni tidak membeli apa-apa, mereka pula yang akan meminta maaf berkali-kali, kerana itu tandanya mereka telah gagal memuaskan hati atau menyempurnakan apa yang dihajati pelanggan. Jadi, bolehlah dikatakan bahawa, aktiviti membeli belah di sini tidak mempunyai unsur-unsur tekanan, menyebabkan jiwa pelanggan menjadi riang dan tenang. Bukan itu sahaja, baju yang dibeli juga boleh ditukar atau dikembalikan. Malah, sebahagian kedai tidak menetapkan tempoh pemulangan, bermakna pelanggang boleh menyimpan baju-baju yang telah dibeli selama mana yang diingini dan jika dipulangkan kemudiannya, duit akan dikembalikan sepenuhnya. Itu barulah benar-benar berketepatan dengan konsep pelanggan adalah raja.

Amatlah berbeza keadaannya dengan di Malaysia. Di tanah air kita, cara pekedai melayan pelanggan seolah-olah seperti pelanggan dijatuhkan hukuman wajib membeli. Sebaik melangkah masuk sudah diperhati seperti penjenayah. Paling berbulu ialah sikap pekedai atau pekerja-pekerja yang datang membaiki kedudukan baju ketika kita masih sedang menilik-nilik. Keadaan itu menggambarkan yang seolah-olah mereka tidak suka kedai mereka dikunjungi pelanggan. Jika begitu keadaannya, macam mana rezeki nak masuk? Itu belum lagi bab menerang atau menjawab pertanyaan pelanggan. Sudahlah pelanggan dihidangkan dengan ekspresi wajah yang tidak mesra alam, apabila ditanya itu ini, dijawab pula secara lebih kurang. Kadang-kadang cara mereka menjawab seolah-olah seperti mereka amat geram dan tidak suka dengan kehadiran pelanggan. Pelik, bukan? Paling pening, apabila wujud kedai baju yang meletakkan tanda “TIDAK DIBENARKAN MENYENTUH ATAU MENCUBA” di rak-rak baju jualan mereka. Sungguh kurang cerdik hingga anak-anak kecil pun boleh tertawa dan berkata; Hahaha, mama, kelakarlah,  tak boleh sentuh dan cuba, habis tu macam mana kita nak tahu baju tu sesuai atau tidak dengan kita? Erm, bijak sangatlah tu. Kalau dah tak boleh sentuh dan cuba, lebih baik ditulis begini, “TIDAK DIBENARKAN MEMBELI”, kemudian tutup kedai, kan senang?

10. May 2011 · 12 comments · Categories: Dialog

Pada suatu petang yang berbahang (dek teriknya mentari dan keringnya udara) anak-anakku telah bertanya kepadaku tentang faedah solat. Pertanyaan itu terbit ekoran daripada tindakanku menegur salah seorang daripada mereka yang solat terlalu laju tanpa toma´ninah.

 

Anak: Kenapa mama suruh kita orang solat?

Aku: Bukan mama yang suruh nak, mama cuma menyampaikan apa yang Tuhan suruh.

Anak: Apa faedahnya solat tu mama, kadang-kadang rasa letih bila solat (buat muka letih).

Aku: Ada sesiapa boleh beritahu mama, agaknya mengapa Tuhan suruh kita solat?

Anak: Mmm, supaya syaitan tak ganggu kita?

Aku: Tuhan boleh fardukan kita supaya membaca al-Quran sahaja kalau tak nak syaitan ganggu kita. Tapi, mengapa Tuhan fardukan sembahyang? Dan mengapa lima waktu? Mengapa tidak sekali atau dua kali sahaja?

Anak: Mmm, supaya kita boleh berdoa macam-macam kepada Tuhan?

Aku: Jika sekadar untuk berdoa, Tuhan boleh fardukan kita supaya mengangkat tangan ke atas dan kemukakan apa yang hendak dipinta sahaja tanpa perlu sembahyang. Persoalannya, mengapa Tuhan mewajibkan solat ke atas kita?

Anak: Mmm, supaya kita jadi orang yang baik?

Aku: Pandai! Supaya kita menjadi manusia yang baik. Ok, sekarang boleh terangkan kepada mama, macam mana solat boleh membentuk kita menjadi manusia yang baik?

Anak: Mmm, macam mana ya? Bila kita solat mama tak marah, tak denda kita?

Aku: Ok, beritahu mama, apa itu solat?

Anak: Mmm, solat itu sembahyanglah.

Aku: Ya, betul. Ok, beritahu mama apa perlu kita buat supaya kita dikatakan bersolat?

Anak: Mmm, angkat takbir, baca fatihah, rukuk, bangun, sujud, salam?

Aku: Pandai! Ok, sekarang beritahu mama, sebelum solat apa kita kena buat dulu?

Anak: Mmm, pakai telekung?

Aku: Betul! Ok, sebelum pakai telekung?

Anak: Mmm, wuduk?

Aku: Bagus! Boleh ceritakan pada mama, wuduk itu apa?

Anak: Mmm, bersihkan badan?

Aku: Bersihkan sebahagian anggota badan, bagus! Ok, sebelum berwuduk, apa perlu kita buat dulu?

Anak: Mmm, masuk bilik airlah?

Aku: Pandai! Ok, sebelum masuk bilik air?

Anak: Mmm, pakai tuala dulu?

Aku: Hihihi (gelak kecil). Ok, betul, pakai tuala. Sebelum tu? Maksud mama, apa yang perlu kita lihat dahulu sebelum kita ke bilik air untuk berwuduk?

Anak: Mmm, lihat jam?

Aku: Bagus, pandai! Tapi, kenapa kita perlu lihat jam?

Anak: Mmm, sebab nak tahu dah masuk ke belum waktu sembahyang?

Aku: Bijak! Tapi, kenapa kita kena tahu dah masuk ke belum waktu solat?

Anak: Mmm, supaya kita solat dalam waktu?

Aku: Pandai! Sekarang cuba beritahu mama semula, perkara-perkara yang perlu dilakukan sebelum solat, ikut turutan.

Anak: Mmm, mula-mula tengok jam. Dah masuk waktu, pergi bilik air, wuduk. Dah wuduk, pakai telekung. Dah pakai telekung, berdiri, kemudian angkat takbir, lepas tu baca fatihah, rukuk, bangun, sujud, duduk antara dua sujud, bangun, bla, bla, bla, dan seterusnya hingga salam. Lepas solat, berdoa?

Aku: Wuaa, pandai! Bagus! Ok, sekarang mari kita persoalkan satu persatu setiap tindakan yang telah disenaraikan itu. Pertama, boleh beritahu mama, jika Tuhan tidak mengfardukan solat, agak-agaknya kita kisah tak tentang waktu? Kita nak tengok tak jam kerap-kerap?

Anak: Mmm, mungkin tak!

Aku: Kedua, jika Tuhan tidak mewajibkan solat, agak-agaknya kita nak basuh tak badan kita kerap-kerap sekurang-kurangnya lima kali sehari?

Anak: Mmm, tak kut?

Aku: Ketiga, jika Tuhan tidak menyuruh hambanya solat, rasa-rasanya kita malu dan pelik tak keluar rumah dengan mendedahkan aurat?

Anak: Mmm, rasa-rasanya tak malu, dan tak pelik!

Aku: Keempat, jika Tuhan tidak memerintahkan kita bersolat, kita sanggup tak berdiri untuk satu tempoh, kemudian rukuk, kemudian sujud, kemudian duduk, kemudian bangun semula, kemudian duduk semula, berulang kali?

Anak: Mmm, tak sanggup aarr, macam penat jerr.

Aku: Bagus! Anak-anak mama semua pandai.

Anak: (Sengeh gigi kapak).

Aku: Ok, setelah menjawab semua persoalan tersebut, sekarang mari kita fikir apa yang tersembunyi di sebalik semua jawapan itu. Yang tersembunyi itulah yang dipanggil hikmah atau faedah.

Anak: Aarr? Apa tu mama? (berkerut)

Aku: Pertama, jika Tuhan tidak mengfardukan solat, mungkin kita tidak akan kisah dengan waktu. Maka hikmah solat ialah, mengajar manusia mengurus waktu. Kedua, jika Tuhan tidak memerintahkan solat, mungkin kita tidak akan menyucikan tubuh kita dengan kerap atau langsung tidak menyucinya. Hikmahnya, solat mengajar manusia tentang kebersihan. Ketiga, jika Tuhan tidak menyuruh kita bersolat, mungkin kita tidak akan berasa malu atau pelik untuk mendedahkan aurat. Maka hikmah solat, mengajar manusia agar menjaga dan menutup aurat. Keempat, jika Tuhan tidak mewajibkan solat, mungkin kita akan keberatan untuk melakukan amalan-amalan yang menjadi rukun di dalam solat yang memerlukan fokus, kesabaran dan disiplin yang tinggi. Hikmahnya, solat mendidik manusia agar berdisiplin.

Anak: (Terlopong, takjub).

Aku: Apabila manusia bijak mengurus waktu, tahu menjaga kebersihan diri, memelihara aurat dan berdisiplin tinggi di dalam hidup, maka jadilah manusia tersebut manusia yang baik. Kesimpulannya, solat membentuk manusia menjadi makhluk yang baik dan bermutu.

Anak: Ooo (angguk-angguk kepala).

Aku: Sekarang, faham kenapa Tuhan suruh kita solat? Atau faedah solat?

Anak: Faham, mama! (menjawab serentak).

Aku: Bagus! Moga Allah merahmatimu. Amin.

Anak: (Bertebaran mencari telekung).

Aku: Ehmm, wuduk dulu ya.

Anak: Eh lupa! (berlari ke bilik air).

Aku: Harr, tengok jam dulu, dah masuk ke belum waktunya?

Anak: Aisey, lupa lagi (keluar dari bilik air, berlari tengok jam).

Aku: Hahaha (gelak bahagia).

 

Saya amat tidak bersetuju jika dikatakan bidang adalah penentu kepada masa depan seseorang. Saya kuat berpendapat bahawa kegemilangan hidup seseorang itu bukan ditentukan oleh bidang, sebaliknya ditentukan oleh sikap dan pemikiran individu itu sendiri. Jika kita bagus, mempunyai prinsip yang padu dan mempunyai visi dan misi tersendiri untuk dicapai, apa pun jua bidang yang diterjuni akan berakhir dengan kecemerlangan. Bukan pengkhususan yang menempatkan kita samada di tempat mulia atau sebaliknya dalam masyarakat tetapi yang menentukan kedudukan kita adalah jati diri kita sendiri. Setiap ilmu itu ada tempatnya di dunia ini. Memasuki bidang sastera di sekolah atau universiti tidak lebih hina daripada menceburi bidang sains. Malah, ilmu sasteralah (agama, filosofi, bahasa, komunikasi, lingusitik, psikologi dan lain-lain) adalah sebenarnya ilmu asas kehidupan sedangkan ilmu sains dan teknologi itu adalah sampingan semata. Dengan kata lain, ilmu sastera adalah ilmu dasar yang diperlukan untuk hidup, manakala sains dan teknologi adalah ilmu untuk memudahkan hidup atau bersifat pelengkap sahaja. Analoginya, tanpa ilmu agama manusia boleh berbunuhan sesama sendiri tanpa sebab, akan tetapi manusia tetap boleh hidup tanpa teknologi, misalnya tanpa mesin basuh, manusia boleh menggunakan tangan untuk membasuh, tanpa pembersih hampa gas manusia boleh membersih rumah dengan penyapu, bukan? Tanpa bahasa, manusia tidak boleh menyampaikan ilmu dan maklumat kepada orang lain termasuklah dalam bidang sains dan teknologi itu sendiri dengan baik dan jaya. Namun, tanpa komputer, ilmu tetap boleh disebarkan, cuma mungkin lambat. Sebab itu dikatakan sains dan teknologi itu ilmu pemudah kehidupan tetapi bukan ilmu tunjang. Sedangkan ilmu bahasa adalah ilmu tunjang yang jika tiada, komputer pun mungkin tidak berjaya dicipta. Oleh yang demikian, janganlah kita memandang rendah kepada mereka yang bukan daripada aliran sains. Janganlah kita melihat mereka yang berkelulusan dalam bidang sastera itu sebagai hina atau lebih rendah mutunya daripada mereka yang memilih untuk terjun ke bidang yang berstatus sampingan sahaja. Kemajuan sains dan teknologi akhir-akhir ini dilihat memberi kesan lebih buruk daripada baiknya samada ke atas keseimbangan alam secara fizikal maupun keseimbangan penghuni alam secara spiritual. Akhirnya manusia terpaksa jua kembali kepada ilmu-ilmu asas (keagamaan, kemanusian, keinsanan, kejiwaan dan lain-lain) yang telah dipandang rendah dan diperlekehkan sekian lama. Sudahlah dipandang sebelah mata, pendokong-pendokong atau bijak pandai dalam ilmu-ilmu itu juga dipandang tidak seberapa, hingga terlontar soalan begini; “Perlukah biasiswa diberi kepada mereka yang berkelulusan bahasa untuk menyambung pengajian di peringkat PhD? Ilmu bahasa, setakat SPM pun sudah cukup”. Bukankah ilmu itu saling lengkap melengkapi? Adakah tuan berasa darjat tuan itu tinggi hanya kerana tuan beraliran sains sedangkan hari-hari tuan makan ikan yang ditangkap oleh nelayan yang hanya ada ilmu solat lima waktu dan ilmu berkomunikasi dengan laut dan isinya tanpa tahu apa itu sains dan teknologi? Anak-anak tuan belajar mengaji dengan tok guru berkelulusan pondok yang mungkin jahil tentang sains dan teknologi, yang dia tahu hanyalah ilmu mengaji. Adapun tuan seorang saintis, tetapi makhraj huruf pun tidak betul. Barangkali, kerana ceteknya ilmu tuan dalam bahasa itulah yang telah menjadikan tuan, “tidak reti bahasa”. Kerana tuan menyangka ilmu bahasa itu sekadar ilmu belajar membaca, atau ilmu belajar mengeja. Huhu, tak apalah, kerana tuan seorang saintis yang robotik atau pakar ekonomi yang hanya tahu tentang statistik. Tuan tidak tahu apa itu pragmatik, tuan tidak arif tentang pragmalinguistik, tuan tidak faham apa itu psikolingustik, tuan jahil tentang sosiolinguistik, kerana selama ini tuan terkurung dalam kefahaman ilmu tuan yang sempit dan fanatik.

Kakak: Selamat hari ibu mama! (ceria dan berlari memelukku)

Aku: Ah, terima kasih (tergaman, lupa).

Kakak: Tapi kakak takde hadiah istimewa untuk mama (sedih).

Aku: Hadiah istimewa? (buat-buat tak faham)

Kakak: Kakak nak sangat hadiahkan mama sesuatu yang dibungkus cantik.

Aku: So, kenapa tak sediakan? (provokasi)

Kakak: Macam mana nak sediakan, kakak takde duit, kalau minta pun bukan mama kasi (sebak).

Aku: Oloo sayang anak mama, senyum okey (memujuk).

Kakak: Katakanlah kakak berduit dan mampu beli hadiah, apa agaknya hadiah yang paaaling mama nak? (serius)

Aku: Mama dah dapat hadiah tu. So kakak tak perlu susah hati, ok? (selamba).

Kakak: Aaarr? Kakak tak ada bagi apa pun? (hairan)

Aku: Ya, betul. Mama dah dapat hadiah tu. Sangat mahal harganya dan sangat cantik rupanya (bersungguh).

Kakak: Aaarrr? Siapa yang beri? (takjub)

Aku: Kakak nak tahu?

Kakak: Nak! (tak sabar)

Aku: Betul nak tahu? (provokasi)

Kakak: Nak, nak tahu! (sangat tidak sabar)

Aku: Hadiahnya sangat besar dan amat bermakna. Tuhan yang bagi kat mama.

Kakak: Aarr? Apa tu? (berkerut)

Aku: Hadiah paling berharga, paling mahal, paling cantik, paling bermakna buat mama atas dunia ini ialah “KAKAK”!

Kakak: “KAKAK”? (terkejut)

Aku: Ya! Hadiah itu ada di depan mama sekarang.

Kakak: “KAKAK”, mm, .. kakak? (keliru)

Aku: Ya, kakaklah! Anak mama, nyawa mama, jantung hati mama (senyum semanis madu).

Kakak: Macam mana kakak boleh jadi hadiah? (masih keliru)

Aku: Kerana mama menjadi ibu setelah Tuhan mengurniakan kakak kepada mama. Tanpa kakak dan adik-adik, mama tidak akan dipanggil ibu, jadi apalah maknanya hari ibu buat mama? (tiba-tiba sebak dan mengalir air mata).

Kakak: Mama sedih sebab kakak tak bagi hadiah ke? (panik)

Aku: Tidak! Tidak nak. Mama sedih kerana terkenangkan tok (ibuku). Masa mama budak-budak dulu, mama tak pernah ucap “selamat hari ibu” pada tok. Malah mama juga tidak pernah menghadiahkan tok apa-apa pada hari ibu (air mata mengalir laju).

Kakak: Sob, sob (teresak, kakak sangat sensitif bila diperihalkan tentang toknya, kakak amat sayang dan sungguh rapat dengan toknya).

Aku: Kalau kakak tanya tok pun, mesti tok akan kata hadiah paling berharga buatnya ialah mama dan anak-anaknya yang lain serta semua cucu-cucunya termasuk kakak.

Kakak: Kakak sayang mama dan tok (memelukku erat, tangisnya makin menjadi).

Aku: Tok dan mama pun amat sayangkan kakak.

Kakak: Oh ya, tadi mama kata, hadiah paling cantik buat mama ialah kakak. Tapi kakak tak cantik! (tunduk)

Aku: Siapa kata kakak tak cantik? Pedulikan orang lain, bagi mama, kakaklah anugerah Tuhan yang terindah (serius).

Kakak: Tapi kalau kakak jadi hadiah, mama tak supriselah.

Aku: Kenapa?

Kakak: Sebab, kakak tak boleh dibungkus. Hadiah yang suprise, yang cantik ialah hadiah yang dibungkus (konsep hadiah yang lazim bagi kanak-kanak).

Aku: Oh, siapa kata kakak tak boleh dibungkus? (senyum)

Kakak: Macam mana pula nak bungkus kakak? Kakak kena duduk dalam kotak besarlah, dan perlu banyak kertas pembungkus? (persoalan)

Aku: Kakak tak perlu dibungkus dengan kertas pembungkus.

Kakak: Habis tu? Nak bungkus dengan apa? (teruja nak tahu)

Aku: Kalau mama bagitau, kakak sanggup tak nak bungkus diri kakak dengan bungkusan itu? (menguji)

Kakak: Lemas tak kakak nanti? (bimbang)

Aku: Tak! Kakak akan selamat, mama pasti. Bungkusan itu amat cantik dan berharga.

Kakak: Ok, kakak sanggup (bernada ragu).

Aku: Bungkusan paling indah dan paling cantik di dunia ini ialah IMAN dan TAQWA.

Kakak: Aarr? (tak faham)

Aku: Kakak bungkus dan balutlah diri kakak sepenuhnya dengan iman dan taqwa. Jadilah anak yang baik. Jangan tinggal solat dan dengar cakap mama dan papa. Itulah bungkusan paling indah, paling cantik, paling mahal, paling membahagiakan mama (emosi).

Kakak: Ooo .. (baru faham)

Aku: Boleh?

Kakak: Mama, ¡te quiero muchísimo! (I love you so much).

Aku: Yo también (Me too).

Maka berdakapanlah aku dan kakak dengan penuh emosi, penuh air mata. Saat terbayang wajah ibuku di tanah air , makin laju pula air mataku mengalir. Selamat hari ibu, bondaku tercinta. Tanpamu, tiadalah aku. Tanpa aku tiadalah anak-anakku. Tanpa anak-anakku maka tiadalah untukku ucapan “SELAMAT HARI IBU”.

Kepada bondaku tercinta Selama binti Ibrahim yang jauh di mata, aku sayang padamu. Sayang padamu!

08. May 2011 · Write a comment · Categories: Jiwa

Akhir-akhir ini cik lara telah menggunakan strategi baru untuk menundukkan aku. Ditunangkannya hati dan mindakuku dengan abang peti suara tanpa nyawa. Setiap hari cik lara akan menghantar menu-menu yang enak dan lazat ke kotak fikirku tanpa jemu. Cik lara memang dikenali sebagai makhluk yang kuat berusaha. Akan menu itu takkala dihidu nafsuku maka akan cairlah akalku lalu akan bangkitlah jasadku dari meja masa depanku ke sofa pari-pari hitam. Terjelepuk di sofa itu adalah satu petaka. Menjadi payah untuk akalku berfungsi walau telah ku ronta untuk melepaskan diri. Akibatnya cik lara setiap hari menjunjung piala, menggigit pingat-pingat kemenangan dengan bergaya. Ahhhhh!! Nanti kau lara. Sudah ku tahu taktikmu. Ya memang engkau ligat tetapi engkau lupa bahawa di atas itu ada DIA yang melihat. Engkau cuma licik, tetapi bukanlah terlalu cerdik. Jika engkau ingat engkau itu hebat, nun di atas sana ada lagi DIA yang maha kuat. Engkau itu cuma makhluk, sama sepertiku. Lebihmu cuma pada bangsatmu. Sungguh pun begitu, ada satu perkara yang aku patut akui dan contohi darimu. Barangkali juga, itulah hikmahnya DIA mengutusmu kepadaku. Aku telah kalah kepadamu sebenarnya. Mengapa? Kerana azamku untuk meninggalkanmu tidak pernah lebih jitu dari tekadmu untuk memiliku. Dengan sebab itu aku sering tersungkur di kaki hapakmu. Namun, cukuplah lara, cukuplah. Aku pasti akan bangkit semula dengan semangat yang membara. Semangat yang pulang setelah hilang, yang kembali setelah pergi. Dan engkau lara, silalah NYAH!

Dibujos de Elefantes

¿Cuál es el animal que más se parece al elefante?

¡El hijo del elefante!

(Chistes para Niños)

 

Terjemahan:-

Binatang apakah yang paling menyerupai gajah?

Anak gajah!

(Jenaka untuk Kanak-kanak)

Sumber gambar:-  http://www.dibujosmania.com/elefantes.html

Dialog di bawah berlangsung di antara aku dan perempuan arab Morocco (selepas ini ditulis PM), sejurus sebelum mesyuarat persatuan wanita Rondilla (kawasan di mana aku tinggal) bermula. Kebetulan ketika itu, aku dan dia duduk bersebelahan.

 

PM: Macam tak ramai je datang.. (mata melilau).

Aku: Kan, agaknya mereka tak terima surat kut (meneka dalam kesamaran).

PM: Mungkin gak. Oh ya, budak-budak sihat? Tinggal kat rumah?

Aku: Ada, di bilik sebelah (setiap kali mesyuarat diadakan akan disediakan seorang pengasuh. Anak-anak yang dibawa bersama akan ditempatkan di bilik bersebelahan bersama pengasuh).

PM: Oo, anak-anak saya tak ikut, ada di rumah dengan papa mereka (anak-anaknya satu sekolah dengan anak-anakku).

Aku: Ok lah tu, anak-anak saya mesti nak ikut (anak-anakku memang suka dengan pengasuh, hubby pun suka, opsss!!).

PM: Oh ya, Habibah anak awak, kan? (di Valladolid, mungkin hanya anakku bernama Habibah).

Aku: Ya, anak nombor dua.

PM: Betulkah namanya Habibah? Atau saja dipanggil Habibah? (wajah nak tahu tahap kritikal)

Aku: Eh, betul. Nama dia memang Habibah. Dari lahir itulah nama yang diberi.

PM: Kenapa bagi nama arab?

Aku: Aarr? Maksud awak? (sedikit tercengang)

PM: Takdelah, Habibah tu nama arab, bahasa arab.

Aku: Ya, betul. Itu saya tahu (ingat aku tak tahu ka).

PM: Kenapa guna nama arab? Bukankah awak orang Malaysia? (maklum yang aku dan famili berasal dari Malaysia).

Aku: Aarr? (terpinga)

PM: Maksud saya, kenapa tak guna nama Malaysia? (soalan apakah ini).

Aku: Nama Malaysia? Nama melayu, maksud awak?

PM: Ya, ya, itulah yang saya maksudkan. Kenapa tak guna nama melayu?

Aku: Eh, bukankah awak dah tahu yang saya dan keluarga, muslim?

PM: Ya, saya tahu. Tapi Habibah tu bahasa arab. Memang bahasa arab!

Aku: So?

PM: Apa, rakyat negara awak bertutur dalam bahasa arab jugakah?

Aku: Kami bertutur dalam bahasa melayu. Ada yang boleh bertutur dalam bahasa arab. Tapi tak ramai. Bahasa arab bukanlah bahasa utama atau bahasa pertuturan di sana.

PM: Haa, so? Kenapa guna nama arab? Kenapa tak guna nama melayu? (soalan apakah ini, volume 2).

Aku: Salahkah kami guna nama arab? Orang arab tak sukakah? (soalan geram-geram ayam)

PM: Takdelah, cuma saya rasa pelik (berkerut dahi).

Aku: Eh, apa peliknya. Bukankah orang Islam lazimnya menggunakan nama-nama dari al-Quran? Bukankah Quran kitab bagi seluruh umat Islam, tanpa mengira bangsa dan negara? Islam tidak terhad kepada bangsa arab sahaja, bukan? (bab menerang, mintak maaf aku memang tak reti summarize).

PM: Aarr? Begitukah? (takjub)

Aku: Ya, memang begitu.

PM: Tapi, tidak adakah nama-nama melayu?

Aku: Ada.

PM: Contoh?

Aku: Mm, bunyinya mungkin pelik pada awak sebab ia memang nama melayu sejati.

PM: Apa nama-namanya? (aisey, bersungguh nak tahu versus aku yang tak tahu, bab ni aku kantoi)

Aku: Semek dan Awang! Setahu saya nama melayu dua itu sahaja. Selebihnya memang orang melayu guna nama-nama arab. Mungkin ada banyak lagi, tapi dua tu sajalah yang biasa saya dengar. Tu pun, orang dah tak pakai zaman ni. Ia sangat klasik (goreng, dah itu je yang aku tahu, nak telefon mak kredit tak cukup, aiyy).

PM: Ooo.. ermm, bagus juga ya kita berkawan, banyak benda baru saya belajar.

Aku: Betul. Itulah hikmah silaturrahim, lebih-lebih lagi antara benua berbeza. Banyak hal yang boleh dikongsi bersama.

PM: Eh, pengerusi dah nak mula.. (separuh berbisik).

Aku: Ya, mari kita tumpukan pada agenda meeting kita kali ini (buka diari, keluarkan pen, angkat muka dan sengeh ke arah pengerusi dan sekalian hadirin).

 

Nota:-

Kebanyakan orang arab Morocco yang berhijrah ke Valladolid adalah daripada golongan berpendidikan rendah yang sukar memperoleh pekerjaan di negara mereka sendiri. Pengetahuan am mereka amatlah sempit dan sedikit, termasuklah tentang Islam dan penganutnya di seluruh dunia. Itu belum lagi bab memberi salam “Assalamualaikum” dan “solat” yang mereka sangka hanya bangsa mereka sahaja yang arif tentangnya. Akan ku perihalkan mengenainya dalam dialog-dialog yang seterusnya di blog ini.

06. May 2011 · Write a comment · Categories: Jiwa

Semakin banyak dia berlipur lara, semakin pasti akan dia itu siapa. Jiwa yang pincang teserlah pada rentak tari penanya yang sumbang. Lidah yang jelek sekadar menyerlah akalnya yang pendek. Hebat diri yang sedikit diungkit-ungkit, silapnya orang dicanang-canang. Usahlah bercerita jika sekadar membuka pekung di dada. Akan hamba ini pun manusia, punya hati dan rasa untuk berasa tidak selesa.

Papá, ¿tú sabes escribir con la luz apagada?

Yo creo que sí. ¿Qué quieres que escriba?

Tu firma en mis notas, papá.

 (Chistes para Niños)

 

Terjemahan:-

Ayah boleh tak menulis dalam gelap?

Rasa-rasanya boleh. Nak ayah tulis apa?

Tandatangan kad kemajuan.

(Jenaka untuk Kanak-kanak)

Suatu hari di persimpangan lampu isyarat (Rondilla, Valladolid).

 

Makcik Sepanyol: Nakk, tunggu! (suara separuh menjerit)

Aku : Aarr?  .. (masuk gear 5, speed)

Makcik Sepanyol: Heh, tunggu, tunggu! (berlari-lari ke arahku)

Aku: Aarr? Makcik panggil saya ke? (brekk mengejut)

Makcik Sepanyol: Ya, tunggu nak, tungguu, herherh .. (semput)

Aku: Aarr? (risau)

Makcik Sepanyol: Jangan takut nak, makcik bukan orang jahat, herherh .. (semput belum hilang)

Aku: Tenang makcik, tenang. Nak saya tolong bawakan barang tu? (bermanis muka dalam keraguan)

Makcik Sepanyol: Bukaannn, tak payah. Makcik cuma nak tanya soalan. (semput mula reda)

Aku: Soalan? (pelik)

Makcik Sepanyol: Ya, soalan. Makcik ada beberapa soalan. (dah tak semput, semangat)

Aku: Ermm, soalan apa tu makcik? (perlahan)

Makcik Sepanyol: Dah lama makcik perhati, dah lama nak tanya (wajahku ditenung)

Aku: Aarr? .. (suspen)

Makcik Sepanyol: Anak asal mana? (ditiliknya aku atas bawah)

Aku: Oh, itu rupanya makcik nak tahu. Saya berasal dari Malaysia. (bangga)

Makcik Sepanyol: Malaysia tu kat mana ekk? (teruja nak tahu)

Aku: Malaysia tu jauuuuhhhhhh makcik! (muncung mulut sebut jauuuhh)

Makcik Sepanyol: Kat mana tu? (ternganga)

Aku: Tengah-tengah di antara Thailand dan Singapura. (kuliah geografi)

Makcik Sepanyol: Kat mana tu? (kerut dahi)

Aku: Emm, makcik tahu tak German kat mana? (muka serius)

Makcik Sepanyol: Haa, tahu, tahu, … (angguk-angguk kepala)

Aku: Haaa, Malaysia bukan kat situ lah! Hehe (sengeh kerang)

Makcik Sepanyol: Ooo, ok. (angguk-angguk kepala walaupun dahi berkerut seribu)

Aku: Kan, makcik paaaandai, hehe (gelak kecil)

Makcik Sepanyol: Tapi bukan itu sebenarnya yang makcik nak tahu .. (senyum mewek)

Aku: Hah? (pulak dah)

Makcik Sepanyol: Yang makcik nak tahu, nape anak pakai tudung? (tunjuk tudung kat kepalaku)

Aku: Oh, oo, saya pakai tudung sebab saya muslim. (lembut)

Makcik Sepanyol: Muslim? (berkerut dahi)

Aku: Ya, saya seorang muslim. (hairan kenapa makcik hairan)

Makcik Sepanyol: Tapi muka anak tak macam orang arab pun? (hairan)

Aku: Memanglah, sebab saya bukan orang Arab, saya orang Melayu, hahahaha (gelak)

Makcik Sepanyol: Eh tadi kata muslim? (heran amat)

Aku: Ya lah, saya muslim tapi saya bukan orang arab, saya orang melayu. (serius)

Makcik Sepanyol: Kalau bukan orang arab macam mana boleh muslim? (maha serius)

Aku: Aarr? Kenapa makcik? (maha konfius)

Makcik Sepanyol: Ya lah, tadi kata muslim pastu kata bukan arab lak, haih tak fahamlah makcik. (geleng-geleng kepala)

Aku: Makcik, siapa pun boleh jadi muslim, bukan orang arab sahaja, malah orang arab pun ada yang bukan muslim. Agama Islam tidak terhad kepada orang arab sahaja. Siapa-siapa pun boleh menganutnya. (bersungguh menerang)

Makcik Sepanyol: Haih, makin tak fahamlah makcik. Takpelah nak, makcik nak ke pasar, kita sembang lagi lain kali ekk. (geleng-geleng kepala)

Aku: Okeh, takde masalah, lain kali kalau jumpa, makcik tegurlah saya ya. (senyum)

Makcik Sepanyol: Ahaa, ya lah, makcik mintak diri dulu ekk, maaf kerana mengganggu.

Aku: Eh takpe, seronok sembang ngan makcik.. (sengeh gedik)

Makcik Sepanyol: Ya, makcik pun. Adiós! (angkat tangan dan berlalu pergi)

Aku: Adiós!

 

Nota: Kebanyakan orang Sepanyol di Valladolid faham bahawa Islam itu ialah agama untuk orang arab sahaja. Mereka sangat hairan melihat aku yang berwajah ala-ala siam memakai tudung litup. Ke mana pun aku pergi akan ada mata-mata yang memerhati. Kekadang aku rimas, kekadang aku suka. Suka bila diri diperhati, macam artis, ahaks!

 

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...