Orang yang tidak berasa semakin bodoh setelah semakin banyak dia membaca adalah sebenarnya orang yang tidak memperoleh apa-apa daripada bacaannya itu. Tujuan membaca adalah untuk mengetahui apa yang belum diketahui atau memantapkan apa yang telah diketahui. Berasa “bodoh´´ adalah “signal´´ kefahaman ke atas bacaan yang telah dilakukan di mana sebelum daripada itu maklumat dalam bacaan tersebut tidak diketahui atau telah diketahui, tetapi sekadar tahu-tahu ayam.
Tidak perlu hampa, orang yang lidahnya bercabang itu lambat laung akan tersungkur jua di mulut mereka yang berlidah lurus. Kebercabangan lidahnya itu adalah juga kebercabangan jiwanya, adalah lambang keporak-perandaan mindanya. Orang begini tidak lama kerna dia akan gila dalam menghitung dosa2nya.
Kebenaran dinilai pada perlakuan, bukan pengakuan. Mengaku benar sedangkan perlakuan adalah sebaliknya, adalah pendekatan orang yang sakit. Umpamanya, mengaku solat dan melakukan solat adalah dua perkara yang berbeda. Solat tidak terlaksana dengan hanya mengaku, ia adalah gabungan niat dan beberapa perlakuan berlandaskan tertib tertentu.
Menerima hakikat jahil dan berusaha mencerdikkan diri adalah jauh lebih mudah dari berusaha menegakkan benang yang basah. Adalah mulia mengikut resmi padi, semakin berisi semakin tunduk ke bumi. Adapun ayam betina berketak riuh sedunia, walhal telur, sebutir cuma? Tambah malang, jika yang sebutir itu pun, temelang!

Akan hati lebih makmur, akan jiwa lebih subur, akan semangat tidak luntur, akan malas telah terkubur! Akan iblis yang takbur tidak pernah berundur, akan iman yang lebur usah tidur, bangkitlah dan gempur!

Barangkali daging manusia manis dan lazat. Akan manusia di akhir zaman ini hidup untuk makan orang lain; bukan hidup untuk makan dan untuk beribadat, sebaliknya hidup untuk makan untuk berbuat maksiat!
Harga sekeping hati tidak semurah harga sekeping roti. Jangan pula disamakan perasaan dengan harga seketul belacan. Akan harga jiwa sungguh tidak munasabah untuk dibandingkan dengan harga sebongkah asam jawa. Roti, belacan dan asam jawa boleh didagangkan tapi tidak hati, jiwa dan perasaan. Tuan ada hati, tuan hayati. Tuan ada jiwa, tuan rasa. Tuan ada perasaan, tuan renung2kan!
Sesungguhnya DIA tahu aku mampu. Jika tidak, tidak akan ditakdirNYA ke atas aku segala ujian yang berat-berat belaka itu. Walau terpaksa merangkak sekalipun, jika hanya itulah sahaja caranya akan ku usahakan. Sesungguhnya DIA hanya memberi kepada mereka yang mencari. Jalan hanya terbuka, .. kepada mereka yang meneroka!
Satu-satunya pelabuhan untuk pelayar tegar adalah KEMATIAN. Mereka tidak membiarkan diri mereka dipukul ombak, malah merekalah yang memukul ombak! Mereka melawan badai, bukan berpatah ke pantai!

Hidup ini adalah pelayaran, noktahnya cuma kematian! Bersinggahlah di pelabuhan yang sesuai, mengutip bekalan menuju negeri damai …
Kejayaan dalam pelayaran bukan ditentukan saiz sampan, tetapi saiz tekad dan keazaman. Berdayunglah selagi nyawa dikandung badan, selagi kemudi menyuluh haluan.




Valladolid Time
Comentarios Recientes