23. May 2011 · Write a comment · Categories: Jiwa

 

Sakit melahirkan hanya sekali, sakit membesarkan hingga ke mati. Dari merah tapak kaki hingga besar tegap berdiri, mereka ku tatang petang dan pagi. Ke mana pun aku pergi, mereka mengekori, ke mana pun mereka lari, aku mencari. Jasad mungkin terpisah, namun kasih tak mungkin berubah. Merekalah pelengkap segala kekurangan, merekalah penghibur kala kedukaan. Tika berjauhan hati kerinduan, kala bersampingan jiwa keriangan. Walau apa pun mereka, walau bagaimana pun mereka, merekalah harta, merekalah nyawa, merekalah ilham dan sumber kekuatan. Mereka adalah amanah dan anugerah Tuhan.

Mereka adalah takdirku!

18. May 2011 · Write a comment · Categories: Jiwa

 

Bahagia tidak perlu dicari

Ia ada di dalam diri.

Ia tidak perlu diburu

Ia hanya perlu diseru.

Ia tidak berada jauh

Ia cuma termendap di dalam roh.

 

Ia tertimbus

Oleh debu-debu dosa;

Oleh rakus

Oleh haloba.

Oleh riak

Oleh angkuh

Oleh tamak

Oleh bodoh.

 

Tidak perlu pergi jauh untuk mencari bahagia

Ia ada di dalam jiwa.

Gali

Gilap

Gilang

Gemerlap.

08. May 2011 · Write a comment · Categories: Jiwa

Akhir-akhir ini cik lara telah menggunakan strategi baru untuk menundukkan aku. Ditunangkannya hati dan mindakuku dengan abang peti suara tanpa nyawa. Setiap hari cik lara akan menghantar menu-menu yang enak dan lazat ke kotak fikirku tanpa jemu. Cik lara memang dikenali sebagai makhluk yang kuat berusaha. Akan menu itu takkala dihidu nafsuku maka akan cairlah akalku lalu akan bangkitlah jasadku dari meja masa depanku ke sofa pari-pari hitam. Terjelepuk di sofa itu adalah satu petaka. Menjadi payah untuk akalku berfungsi walau telah ku ronta untuk melepaskan diri. Akibatnya cik lara setiap hari menjunjung piala, menggigit pingat-pingat kemenangan dengan bergaya. Ahhhhh!! Nanti kau lara. Sudah ku tahu taktikmu. Ya memang engkau ligat tetapi engkau lupa bahawa di atas itu ada DIA yang melihat. Engkau cuma licik, tetapi bukanlah terlalu cerdik. Jika engkau ingat engkau itu hebat, nun di atas sana ada lagi DIA yang maha kuat. Engkau itu cuma makhluk, sama sepertiku. Lebihmu cuma pada bangsatmu. Sungguh pun begitu, ada satu perkara yang aku patut akui dan contohi darimu. Barangkali juga, itulah hikmahnya DIA mengutusmu kepadaku. Aku telah kalah kepadamu sebenarnya. Mengapa? Kerana azamku untuk meninggalkanmu tidak pernah lebih jitu dari tekadmu untuk memiliku. Dengan sebab itu aku sering tersungkur di kaki hapakmu. Namun, cukuplah lara, cukuplah. Aku pasti akan bangkit semula dengan semangat yang membara. Semangat yang pulang setelah hilang, yang kembali setelah pergi. Dan engkau lara, silalah NYAH!

06. May 2011 · Write a comment · Categories: Jiwa

Semakin banyak dia berlipur lara, semakin pasti akan dia itu siapa. Jiwa yang pincang teserlah pada rentak tari penanya yang sumbang. Lidah yang jelek sekadar menyerlah akalnya yang pendek. Hebat diri yang sedikit diungkit-ungkit, silapnya orang dicanang-canang. Usahlah bercerita jika sekadar membuka pekung di dada. Akan hamba ini pun manusia, punya hati dan rasa untuk berasa tidak selesa.

Memang ilmu tuan tinggi, tapi tuan berhati mati. Tuan ada segala gelaran, yang tuan tidak ada cuma perasaan. Jiwa tuan memang kering bila tuan menganggap orang lain itu tidak penting. Wahai tuan yang kononnya cerdik; kalau bicara tuan itu tidak cantik, usahlah tuan menjerit mengaku berhati baik!

Kesempurnaan bukan bermakna tiada cacat cela. Kesempurnaan ialah apabila manusia menerima hakikat kekurangan diri serta mengsyukuri kelebihan diri. Menerima hakikat kekurangan diri ialah dengan mengiktiraf kelebihan orang lain manakala mengsyukuri kelebihan diri ialah dengan berbakti kepada orang lain. Hidup menjadi indah dan bererti apabila manusia yang berbeza akal dan hati, berkerjasama dan saling lengkap melengkapi.

Dan apabila dia yang hanyut itu telah tidak sudi menerima pertolonganku. Dia lebih rela lemas daripada menyambut pelampungku. Apakan daya, aku tidak ada hak untuk memaksanya hidup sungguhpun aku tidak sanggup untuk melihatnya mati. Akan manusia itu apabila egonya sudah sampai ke kemuncak, maka teguran yang baik pun akan dipandang buruk, lalu lebih rela dirinya sesat daripada menerima pandangan dan nasihat.

Tanda-tanda awal orang yang jiwanya tidak sihat ialah; Hatinya berasa amat sakit umpama ditusuk sembilu tajam apabila dirinya ditegur oleh orang lain. Jiwanya yang sakit itu akan menggelupur, lalu menggerakkan pula lidahnya untuk berkata; Ah! Dengkilah tu, tak boleh tengok orang lain senang!

Individu yang begini harus dikasihani. Mereka telah dengan sewenang-wenangnya mengeksploitasi perkataan ´´dengki´´ atau ´´iri hati´´ bagi menutup remuk hati sendiri yang terpukul dek nasihat ikhlas yang telah diberi.

Golongan ini akan cuba menyembunyikan kebusukkan hati sendiri dengan menjaja cerita palsu tentang individu yang telah menasihatinya itu dengan mencuba sedaya upaya untuk memperlihatkannya kepada umum sebagai seorang pendengki atau pengkhianat agung.

Lazimnya, pada peringkat awal dia akan berjaya bila mana mereka yang buta hatinya akan mempercayai ceritanya, lantas menyebelahinya. Namun, ia tidak kekal lama kerana lambat laun bau hatinya yang hanyir itu akan hinggap jua di hidung orang ramai.

Adat dalam komunikasi, jika kita hendak berhenti harus diberi isyarat atau kata2 akhir seperti; okey ya saya pergi dulu, maaf ya saya ada kerja sikit, sori saya agak sibuk, esok kita sembang lagi, atau setidak2nya bohong sunat seperti; eh line tak clear la, saya tak dengar la dan sebagainya. Berhenti tanpa isyarat adalah tidak beradat! Sama seperti peraturan dalam pemanduan. Di jalanraya, berhenti secara tiba-tiba atau berhenti mengejut tanpa terlebih dahulu memberi isyarat lampu adalah menyusahkan dan boleh menyebabkan kemalangan berlaku termasuk kemalangan jiwa.

Dia sudah menjadi manusia yang kembang semangkuk kerana telah terlalu banyak disogok. Sogokan itu samada berbentuk material yang boleh mengembang luaskan lagi zat dirinya atau dalam bentuk moral yang boleh mengembang luaskan lagi roh hatinya. Berpadalah dalam memberi dan memuji, dan berwaspadalah apabila diberi dan dipuji. Alangkah indahnya, andai yang berkembang itu adalah taqwa dan jati diri.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...