Seorang mubaligh kristian (lelaki) dan dua orang pembantunya (perempuan) telah datang ke rumahku, lalu berlaku perbualan antara kami seperti berikut:-

Mubaligh: Selamat pagi, apa khabar? (penuh sopan dan adab).

Pembantu: (senyum, terselah giginya yang tersusun cantik).

Aku: Selamat pagi, khabar baik (sopan, meski dalam hati penuh tanda tanya, orang berbudi kita berbahasa).

Mubaligh: Saya Pedro, yang ini Teresa dan itu María. Kami adalah pencinta kebenaran dan kedamaian (suara lembut memukau).

Aku: Oo, ada apa tu encik, ada yang boleh saya bantu? (mushkil akan tujuan kedatangan walaupun boleh serkap jarang).

Mubaligh: Kami datang nak sebarkan risalah (menunjukkan risalah di tangannya).

Aku: Risalah apa tu encik? Boleh encik terangkan? (boleh agak, namun sengaja bertanya dengan niat hendak praktis bahasa).

Mubaligh: Risalah ini adalah risalah keagamaan, ia penuh dengan petikan-petikan yang mengajak manusia hidup dengan aman dan harmoni di atas muka bumi ini. (nama agama tidak disebut sebaliknya diwarwarkan tentang anjuran agama, mereka tahu jika disebut krsitian mungkin awal-awal lagi aku tutup pintu).

Aku: Oo, boleh saya tahu risalah ini, risalah tentang agama apa? (sengaja bertanya kerana tertarik dengan pragmatik mereka).

Mubaligh: Oh ya, risalah ini ialah risalah agama kristian (ahh soalanku telah dijawab secara direct).

Aku: Oo, mm, maaf encik, saya seorang muslim (memilih untuk direct juga memandangkan mahu cepat kerana perlu ke fakulti).

Mubaligh: Ya, saya tahu, tetapi kedatangan kami sekadar mahu mengedar risalah ini dan tidak salah jika anda membacanya (manisnya muka, cair).

Aku: Apakah sebenarnya yang telah ditulis di dalam risalah ini? (bertanya lembut dan cuba bermuka semanis mungkin, maklumlah wajahku semulajadi garang).

Mubaligh: Ia adalah himpunan petikan-petikan daripada kitab bible.

Aku: Ooo, mm, seperti yang telah saya nyatakan tadi, saya seorang muslim. Tidakkah risalah ini untuk bacaan mereka yang beragama kristian sahaja? Saya sudah memiliki kitap untuk dibaca iaitu Quran.

Mubaligh: Saya tahu, tetapi apa yang ditulis di dalam bible adalah sama dengan apa yang ditulis di dalam Quran. (bersungguh).

Pembantu: Betul tu, Quran dan bible sama sahaja. Dalam Quran ada diceritakan tentang nabi Ibrahim, bible pun sama. Malah cerita tentang nabi Musa dan nabi Isa pun ada di dalam kedua-dua kitab. Begitu juga Mariam dan lain-lain lagi. (pembantu mubaligh yang dari tadi sepi tiba-tiba bersuara).

Mubaligh: Benar, kedua-dua kitab adalah sama, apa yang diceritakan di dalam Quran juga diceritakan di dalam bible. (cuba meyakinkan aku).

Aku: Sama? Betul ke sama? (sengaja bertanya).

Mubaligh: Ya, sama! (yakin).

Aku: Betulkah? (provokasi).

Mubaligh: Ya! Agama kita sebenarnya sama kerana Tuhan kita adalah Allah. Agama kita mengajar benda yang sama, begitu juga kitab kita. Cuma nama agama sahaja berbeza. (semakin yakin jarumnya mengena setelah aku berpura-pura jahil).

Aku: Encik pasti sama? (terus berlakun jahil).

Mubaligh dan pembantu: Pasti! (serentak, penuh yakin).

Aku: Agama kita sama, mengajar benda yang sama, kitab kita serupa, menceritakan benda yang serupa, dan Tuhan kita sama iaitulah Allah. Encik sedang memberitahu saya bahawa saya tidak perlu membaca risalah yang encik edarkan itu. Saya sudah memiliki kitab al-Quran yang kandunganya, seperti yang encik dakwa, sama dengan bible.

Mubaligh: Saya tahu, tetapi apa yang ditulis di dalam risalah ini mungkin lebih jelas, lebih mudah difahami berbanding keterangan di dalam bible maupun Quran. Adapun tentang kitab, agama dan ajaran antara kristian, bible, Islam dan Quran, adalah sama. Tuhan kita sama-sama Allah, bukan?

Aku: Mmm, kalau macam tu, apa kata encik dan kawan-kawan encik masuk Islam dan baca Quran? Takde masalah kan, sebab semuanya sama. (sengeh comel)

Mubaligh dan pembantu: Kelu seketika, kemudian bertanya; Mm, anda berasal dari mana? (lupa nak tanya dari awal atau cuba mengalih topik?).

Aku: Malaysia (bangga menyebut negaraku).

Mubaligh: Ooo, mm, napa ya anda berhijrah ke mari? (soalan yang sepatutnya ditanya dalam sesi mukadimah)

Aku: Saya tidak berhijrah, saya adalah pelajar yang telah diberi biasiswa oleh negara saya untuk menuntut secebis ilmu di sini dan akan pulang ke tanah air setelah pengajian selesai.

Mubaligh: Boleh saya tahu bidang pengajian anda, dan di fakulti mana anda belajar?

Aku: Saya adalah penuntut di Fakulti Filosofi dan Letrasi, dalam bidang pragmatik.

Mubaligh: Ooo, (mengangguk-ngangguk kepala). Okey, kami minta diri dulu, maaf kerana telah menganggu, mengambil masa anda. (pipinya lebih merah daripada waktu mula datang).

Aku: Oh takde masalah, seronok dapat bertukar-tukar ilmu pengetahuan, kan? (selamba).

Mubaligh dan pembantu: Ya, ok, kami beransur dulu, adiós.

Aku: Adiós!

 

Setelah mereka jauh, aku menadah tangan ke langit dan berkata; Terima kasih Allah kerana melindungiku!

Suatu hari, kakak telah menelefon atuknya di tanah air. Maka berlangsunglah dialog di antara mereka berdua seperti berikut:-

Kakak: Tokki sihat?

Tokki: Sihat, alhamdulillah. Kakak?

Kakak: Kakak sihat, adik sihat, mama dan papa pun sihat.

Tokki: Alhamdulillah, semua sihat, ya.

Kakak: Mmm, boleh kakak tanya tokki beberapa soalan?

Tokki: Boleh, takde masalah. Soalan apa tu?

Kakak: Tokki dah bersedia?

Tokki: Hehehe, macam soalan oral STPM dolu-dolu je gayanya..

Kakak: STPM tu apa tokki?

Tokki: STPM tu exam yang tokki ambil masa sekolah dulu, masa tokki muda-muda dulu.

Kakak: Ooo, gitu. Okey tokki, dengar baik-baik soalan kakak ya, dan harap tokki dapat jawab semua.

Tokki: Aiiy, nerbes lak tokki rasa, banyak ke soalannya? Okey, tokki akan cuba jawab semua. Kalau salah jangan potong markah ek, hehehe ..

Kakak: Soalan pertama, tokki ada berapa batang gigi?

Tokki: Hah? Itu ke soalannya? Haha (gelak), susahlah soalan tu, kejap tokki kira..

Kakak: Kakak nak tahu bilangan gigi yang masih tergantung kat dalam mulut tokki tu je, yang dah tanggal tak yah lah kira.

Tokki: Hahaha, okey, tokki dah kira, kat depan ada 4 batang, kat tepi belah kanan ada 2, tepi belah kiri 3, atas belah kanan ada satu, belah kiri ada 2, jadi semua sekali ada 12 batang.

Kakak: 12 batang? Aiikk macam sikit jeh.

Tokki: Ye lah, tokki kan dah tua, banyak dah yang tanggal..

Kakak: Kejap arr tokki, kakak nak catit (di catitnya bilangan gigi tokki di dalam diarinya).

Tokk: Huih, catit ke? Hahaha, kakak nak buat research tentang gigi ke? Hahaha, okey, lagi, soalan?

Kakak: Okeh, soalan seterusnya, tokki dah kawin? (serius)

Tokki: Hahahahahaha (gelak panjang), dah! Tokki dah kawin. Nape kakak tanya, kakak tak tau ke?

Kakak: Tak, kakak tak tau, tokki tak pernah bagitau pun.

Tokki: Oh, tokki lupa nak bagitau, sori eiiyy, hehehe ..

Kakak: Mmm, boleh kakak tau siapa isteri tokki?

Tokki: Hahahaha (tak berhenti gelak), isteri tokki, tok kakaklah (tok adalah panggilan untuk nenek di Terengganu).

Kakak: Hah? Tok? (terkejut), laaa tok rupanya isteri tokki, kakak ingat cek mah (adik perempuanku).

Tokki: Hak hak hak hak (gelak besar dan panjang), kakak ni klakarlah, toklah isteri tokki, cek mah tu anak tokki, hak hak hak ….

Kakak: Ooo cek mah anak tokki. Oh ya, tokki ada berapa orang anak?

Tokki: Tokki ada 8 orang anak, sorang dah meninggal, tinggal 7 yang masih hidup.

Kakak: Boleh tokki bagitau kakak, siapa anak-anak tokki tu?

Tokki: Okeh, tokki sebut ikut turutan ya, anak yang sulong mama kakak, yang kedua cik ngah, yang ketiga papa cik, keempat pak lang, dah meninggal, yang kelima ayah teh, keenam cek mah, yang ketujuh ayah de dan yang bongsu ayah su.

Kakak: Hah? Mama kakak pun anak tokki? (muka serius gila, suara maha terkejut).

Tokki: Yerr, mama kakak anak tokki, anak yang sulong, yang pertama.

Kakak: Laaaa, rupa-rupanya mama anak tokki! (istigfar panjang).

Tokki: Dahtu, kakak ingat mama anak sape?

Kakak: Kakak ingat anak tok!

Tokki: Kah kah kah kah kaaaahhh (tokki gelak gergasi hingga terputus talian, tut tut tut…)

Kakak: (terpinga-pinga)!

 

Perbualan di atas didengar dengan jelas olehku kerana panggilan dibuat menerusi laptop yang dipasang loud-speaker. Melihat kakak terpinga-pinga akibat talian terputus (mungkin tokki gelak guling-guling hingga terlepas handphone dari tangan atau tertekan off tanpa sengaja) aku bertanya;

Aku: Nape kakak tanya tokki semua soalan tu?

Kakak: Yelah, mama kan pesan, jangan tanya soalan yang kita dah tahu, tanyalah soalan yang kita belum tahu. Kakak memang tak tahu gigi tokki ada berapa, tokki dah kawin ke belum pun kakak tak tahu, dan manalah kakak tahu siapa isteri dan anak-anak tokki. So, kakak tanya arrr. Yang kakak dah tahu kakak tak tanya (serius).

Aku: Kah kah kah (tak leh tahan dah, dari tadi lagi menahan).

Kakak: (terpinga-pinga)!

 

Mesej daripada dialog di atas:-

  1. Adalah penting untuk menerangkan dengan jelas kepada anak-anak tentang hubungan  kekeluargaan dan salah silah keturunan agar mereka tidak keliru dan haru biru.
  2. Anak-anak kecil sangat ikhlas bertanya, apa yang mereka tanya adalah apa yang mereka benar-benar tidak tahu dan ingin tahu.
  3. Seorang tokki sentiasa bersedia dan sanggup melayan karenah cucu-cucunya termasuk  menjawab soalan-soalan remeh dan lucu. Kekadang, ia remeh pada kita tetapi tidak pada yang bertanya.
  4. Perbualan di atas adalah sebenarnya manifestasi rindu seorang cucu yang telah bertahun- tahun tidak berjumpa tokkinya yang tersayang (hubungan kakak dengan tokki adalah maha rapat).

 

Ramadhan 2009 adalah tahun pertama aku dan keluargaku berpuasa di bumi asing. Bulan puasa jatuh pada musim panas yang siangnya sangat panjang (pukul 6 pagi sudah cerah dan 9.45 malam baru magrib). Namun begitu, ibadah puasa tetap dijalani dengan tabah, malah dua orang anak perempuanku berusia 8 dan 7 tahun juga turut berpuasa. Suatu hari, cekgu mereka telah menelefonku lalu berlangsunglah dialog di antara aku dan cekgu tersebut seperti berikut:-

Cekgu: Selamat tengahari, puan ibu kepada Insyirah dan Habibah?

Aku: Ya.

Cekgu: Saya cekgu Elena, .

Aku: Ada apa cekgu? Anak-anak saya okey?

Cekgu: Puan ada suruh anak-anak puan puasa?

Aku: Ya, anak-anak saya puasa.

Cekgu: Nape puan suruh mereka puasa?

Aku: Kami muslim, so bulan ramadhan kami wajib puasa.

Cekgu: Tak perlu puan terangkan tentang puasa kepada saya. Walaupun saya bukan Islam, tetapi saya tahu tentang puasa. Dah lama saya berkawan dengan orang arab Islam yang berhijrah ke sepanyol.

Aku: Oh, ya ke, bagus tu cekgu! (kagum).

Cekgu: Awak tak patut paksa anak-anak awak puasa, mereka masih kecil. Puasa hanya diwajibkan kepada orang dewasa.

Aku: Saya tak paksa, mereka berpuasa dengan kerelaan sendiri.

Cekgu: Mana boleh, kalau awak tak paksa, mustahil mereka sanggup berlapar.

Aku: Betul cekgu, saya tak paksa, mereka sendiri yang mahu puasa.

Cekgu: Memang awak ibu mereka, tapi awak tak boleh buat mereka macam tu, mereka ada hak untuk melakukan apa yang mereka suka dan berhak untuk tidak melakukan apa yang mereka tidak suka. Sekalipun tak paksa, awak perlu halang mereka daripada meneruskannya kerana mereka masih kecil. Mereka tidak tahu kesannya.

Aku: Tadi cekgu ada kata, mereka berhak melakukan apa yang mereka suka. Mereka suka puasa dan nak puasa, jadi saya biarkan.

Cekgu: Seperti yang saya katakan tadi, mereka masih kecil, macam mana awak boleh biarkan mereka ke sekolah dalam keadaan lapar, camne nak belajar?

Aku: Cekgu, puasa memang ibadah yang diwajibkan ke atas orang dewasa atau akil baligh sahaja. Tetapi kanak-kanak juga perlu digalakkan berpuasa agar mereka tidak menghadapi masalah untuk menjalaninya kelak kerana sudah biasa. Sungguhpun begitu seperti yang telah saya tegaskan, saya tidak memaksa. Mereka sendiri memutuskan untuk berpuasa. Sebagai ibu saya menyokong.

Cekgu: Awak tak kasihankah pada mereka? Camne nak belajar dengan baik dalam keadaan begitu? (diulangnya bertanya soalan yang sama).

Aku. Untuk pengetahuan cekgu, saya telah mula berpuasa sejak berusia 6 tahun lagi. Begitu juga kebanyakkan kanak-kanak Islam di negara saya. Jika puasa itu memudaratkan dan boleh menghilangkan tumpuan kepada pelajaran, tak mungkin saya boleh belajar hingga ke mari, ke tahap tertinggi ini. Setiap tahun saya berpuasa, dan setiap tahun saya mendapat keputusan cemerlang.

Cekgu: Anak awak boleh mati jika terus berpuasa. (dengan suara tinggi).

Aku: Cekgu, seperti yang telah saya katakan tadi, saya berpuasa sejak berusia 6 tahun dan masih hidup hingga ke hari ini. Begitu juga kedua ibu bapa saya, malah nenek saya juga masih hidup. Kami semua berpuasa sejak kecil.

Cekgu: Mmm, suka hati awaklah, tapi kalau apa-apa jadi pada anak-anak awak, ia adalah salah awak 100%. Okey, bye.

Aku: Adiós!

Pukul 10 malam waktu Sepanyol, ketika aku sedang ralit membetulkan tilam Abdullah maka berlakulah dialog di antara aku dan Abdullah seperti berikut;

Abdullah: Mama, malam ni Abdullah nak tidur dengan mama ek?

Aku: Nape nak tidur dengan mama, bukan ke setiap malam Abdullah tidur sorang-sorang?

Abdullah: Takde apa-apa, saja je Abdullah nak tidur dengan mama, boleh tak?

Aku: Tak boleh sayang.

Abdullah: Alaa, nape? (muka jebek)

Aku: Abdullah kan dah biasa tidur sorang. Lagi pun Abdullah dah besar, dah kuat dan pandai. Budak besar, kuat dan pandai tak elok tidur dengan mama tau?

Abdullah: Papa tu lagi besar, lagi kuat dan lagi pandai dari Abdullah, tapi tiap-tiap malam papa tidur dengan mama? Nape papa tak tidur sorang-sorang je? (dengan suara tinggi dan muka tak puas hati).

Aku: Oh, ermm, mmm (sebenarnya tak tahu nak cakap apa), hurm, pannjaaaaaaaanggggg ceritanya nak.

Abdullah: Pendekkan!

Aku: Arrr??

Nota: Abdullah berusia 4 tahun dan dialog di atas berlangsung dalam bahasa Sepanyol kerana Abdullah langsung tidak boleh bertutur dalam bahasa Melayu.

Renungan: Kanak-kanak sangat kuat memerhati dan bijak mencipta perangkap. Bukan mudah untuk memahamkan mereka tentang perkara di atas. Sebagai ibu bapa kita perlu sentiasa bersedia untuk menghadapi respon luar jangka mereka yang boleh membuatkan kita hilang kata-kata. Adapun, dialog di atas sebenarnya tidak habis begitu sahaja.

Setelah beberapa ketika hilang kata-kata, aku kemudiannya telah cuba menerangkan kepada Abdullah tentang mengapa papa tidak tidur sorang-sorang;

 Aku: Mmm, papa lain, papa suami mama.

Abdullah: Kalau camtu Abdullah pun nak jadi suami mama gak (dengan muka penuh harapan).

Aku: Ermm, tak boleh!

Abdullah: Nape? (muka penuh tanda tanya)

Aku: Kalau nak jadi suami kena kahwin dulu (penuh yakin jawapan ini akan berjaya menundukkan Abdullah).

Abdullah: So, kita kawin sekarang gak! (ditariknya aku dan dipeluknya aku erat-erat dengan muka penuh ceria, muka orang dah sampai seru)

Aku: Arrr??  (hilang kata-kata untuk kesekian kalinya).

Sesungguhnya pada malam itu akal setahun jagung Abdullah telah berjaya menumpaskan akal ku yang dah lama makan asam gelugur. Maka terlaksanalah hajat Abdullah untuk tidur dengan ku manakala papa pula terpaksa beradu bersama bantal busyuknya sahaja sambil berzikir di dalam gelap, bernafas dalam-dalam, sorang-sorang.

Suatu hari di musim panas, orang Sepanyol telah mengajakku berpiknik di tepi kolam renang. Sehari sebelumnya, dia telah memaklumkan kepadaku bahawa aku perlu memakai pakaian yang sesuai untuk ke kolam renang. Lantas aku memberitahunya bahawa jika aku disyaratkan untuk memakai pakaian mandi atau bikini maka memang aku tidak akan pergi kerana jika dikerat dua sekali pun tubuhku aku tidak akan memakainya. Oleh kerana dia tetap mahu aku pergi maka dia pun berkata; Okey, awak tidak perlu memakai baju mandi atau bikini, pakailah sebagaimana yang awak suka tapi biarlah sesuai dengan suasannya yang berdekatan kolam renang (di Sepanyol ada banyak kolam renang terbuka di taman-taman yang berpagar yang disediakan untuk orang ramai mandi manda di musim panas; telah menjadi budaya di sini apabila masuk sahaja spring maka mereka akan berduyung-duyung ke kolam renang untuk berendam bagi menyejukkan badan). Aku menjawab; Okey, saya akan pergi dengan memakai apa yang awak lihat saya pakai hari-hari, jika tidak saya tidak akan pergi. Dengan muka berkerut orang Sepanyol itu menjawab; Okey lah, pakailah apa saja yang awak suka!

Tiba di kawasan kolam renang, dari pintu pagar taman hingga ke tempat di mana aku dan orang Sepanyol itu menghampar tikar untuk duduk, setiap mata yang ada memandangku rakus. Ye lah, aku lah satu-satunya manusia yang mengunjungi kawasan kolam dengan memakai baju berlengan panjang dan bertudung litup. Dalam hatiku berkata; Ah pedulikan, biar mereka tahu bahawa menjadi orang Islam tidak menghalang kita untuk bersosial, asalkan dilakukan dalam keadaan yang dibenarkan. Biar mereka tahu bahawa orang Islam tidak perlu bertelanjang untuk ke kolam renang.

Sebaik tiba di tempat di mana kami putuskan untuk duduk dan piknik iaitu di bawah bayang-bayang pepohon rendang dan rumput yang hijau indah, dan tikar untuk duduk telah dihampar, orang Sepanyol dan anak-anaknya sibuk menukar baju, dari baju santai biasa ke baju mandi ala-ala bikini. Anak-anakku juga sibuk menukar baju ke baju mandi yang sopan. Aku, duduk santai di atas tikar sambil membuka bekalan makanan dan mula mengunyah biskut-biskut yang dibawa. Semakin banyak mata-mata yang memerhatikanku dan aku berlakun seolah-olah tidak ada apa yang berlaku dan berlagak selamba walaupun sebenarnya aku agak rimas diperhatikan begitu. Bagi mereka, adalah amat pelik apabila ada orang memasuki kawasan kolam renang dengan memakai baju lengkap apatah lagi siap bertudung.

Ketika anak-anak orang Sepanyol itu dan juga anak-anakku sendiri sibuk mandi manda di kolam, orang Sepanyol mengambil kesempatan untuk berbual-bual denganku di atas tikar piknik. Dia berada dalam posisi meniarap dalam keadaan memakai baju mandi manakala aku pula duduk bersila sambil makan kacang. Maka, berlakulah dialog di antara dia dan aku seperti di bawah:-

Orang Sepanyol: Awak agama apa? Dah lama saya nak tanya.

Aku: Saya beragama Islam.

Orang Sepanyol: Islam? Agama nabi Muhammad? (aku agak terkejut apabila dia tahu tentang nabi Muhammad).

Aku: Ya, agama nabi Muhammad, awak kenal nabi Muhammad? Adakah awak juga Islam?

Orang Sepanyol: Eh tidak, Saya beragama Kristian tapi saya banyak membaca cerita yang dikaitkan dengan nabi Muhammad. So, adakah awak berpuasa dan membaca Quran seperti yang Muhammad ajarkan itu? (aku terkejut lagi, dia tahu tentang puasa dan Quran).

Aku: Ya, saya berpuasa di bulan Ramdhan dan membaca Quran, tetapi itu bukan suruhan Muhammad, itu adalah suruhan Allah, Muhammad menyampaikannya sahaja kepada umat manusia.

Orang Sepanyol: Awak mempercayai Muhammad? Awak yakin Muhammad itu benar?

Aku: Ya, orang Islam wajib mempercayai Muhammad dan mempercayai kebenaran yang disampaikannya.

Orang Sepanyol: Saya tertarik dengan ajaran Islam tetapi saya tidak mempercayai Muhammad.

Aku: Mengapa begitu? Mengapa awak tidak mempercayai Muhammad?

Orang Sepanyol: Islam nampak seperti mengajar sesuatu yang betul, tetapi Muhammadlah yang mengajar benda-benda yang salah. Muhammadlah yang banyak merosakkan Islam itu sendiri (dalam hatiku berkata; oh yakinnya dia bercakap seolah-olah dia lebih tahu dari penganut Islam sendiri).

Aku: Boleh awak terangkan lebih lanjut mengapa awak menuduh Muhammad begitu? Kerana dalam Islam, tidak mempercayai nabi Muhammad sama lah juga seperti tidak mempercayai Allah sebagai Tuhan.

Orang Sepanyol: Saya ada membaca sebuah buku yang ditulis oleh seorang perempuan Islam Somalia. Buku itu menceritakan tentang penderitaan perempuan tersebut yang terpaksa tunduk pada kehendak keluarganya yang kuat mengamalkan ajaran nabi Muhammad. Antaranya ialah, bapanya telah memaksa dia berkahwin dengan lelaki yang tidak disukainya ketika dia berumur 12 tahun. Dan yang lebih keji ialah sebelum dia dikahwinkan secara paksa, bibir farajnya telah digunting kemudian dijahit agar suaminya berasa nikmat yang teramat di malam pertama perkahwinannya. Perempuan itu telah menderita zahir dan batin apabila pada malam pertama tersebut dia telah mengalami kesakitan yang amat sangat di bahagian farajnya malah telah berlaku pendarahan teruk tetapi si suami dan keluarganya sendiri telah tidak mengendahkannya dan mengatakan bahawa itu adalah perkara biasa (aku terlopong mendengarnya, ralit, dan orang Sepanyol meneruskan ceritanya dengan bersemangat). Setelah beberapa tahun dia dijadikan hamba oleh suaminya sendiri, pada suatu hari perempuan tersebut telah berjaya melarikan diri dari rumah suaminya seterusnya melarikan diri ke sempadan negara hingga dia diselamatkan oleh pihak gereja dan dihantar berlindung di Belanda. Di sana, dia telah dipelihara dan dijaga oleh pihak gereja hingga dia pulih dan mampu berdikari. Di Belanda beliau telah menerima ancaman bunuh dari puak pelampau Islam hingga akhirnya beliau dilarikan ke Amerika Syarikat dan dilindungi oleh negara tersebut pula. Di Amerika Syarikat beliau telah berjuang untuk membela nasib wanita-wanita Islam Somalia dan juga berjuang untuk kebebasan wanita Islam seluruhnya. Akhirnya beliau telah diangkat menjadi senator di dalam parlimen Amerika Syarikat dan dari situ beliau semakin aktif memperjuangkan hak-hak wanita dalam Islam. Sehingga kini beliau masih beragama Islam dan terus lantang berjuang untuk keadilan bagi perempuan Islam. Awak lihat, betapa kejamnya nabi Muhammad mengajar penganut Islam untuk melakukan perkara-perkara yang tidak masuk akal begitu (merujuk kepada kawin paksa dan faraj di jahit). Sebab itu saya kata, Islam itu okey tetapi ajaran Muhammadlah yang telah memesongkan Islam.

Aku: Wahai kawanku, dengar, saya adalah seorang Islam yang bukan memilih untuk menganut agama Islam ketika saya berumur belasan tahun atau puluhan tahun, tetapi saya memang dilahirkan Islam, ibu bapa, nenek moyang dan keturunan saya kesemuanya adalah beragama Islam. Saya lahir di sebuah negara yang agama rasminya adalah agama Islam dan pemimpin utamanya adalah seorang Islam. Saya adalah seorang perempuan. Jika benar, Muhammad mengajar begitu dan ia adalah ajaran Islam, maka sudah tentu saya, ibu saya, nenek-nenek dan moyang-moyang perempuan saya juga akan mengalami pengalaman yang serupa iaitu digunting bibir faraj, kemudian dijahit semula dan dikahwinkan secara paksa. Saya malah tidak pernah mendengar amalan itu dilakukan oleh sesiapa pun di dalam Islam. Saya berpendapat dan percaya bahawa apa yang dialami oleh perempuan Somalia tersebut sebagaimana yang diceritakan di dalam bukunya adalah amalan-amalan kaum tertentu atau etnik tertentu di negara mereka yang kebetulannya beragama Islam. Saya sama sekali menyanggah atau tidak bersetuju jika dikatakan ia adalah ajaran nabi Muhammad atau Islam. Nabi Muhammad tidak mengajar begitu malah ia juga tidak tertulis di dalam Quran. Buktinya, adalah diri saya sendiri yang tidak pernah mengalami pengalaman yang serupa.

Orang Sepanyol: Benarkah? Faraj awak tidak pernah digunting kemudian dijahit?

Aku: Tidak sama sekali! Bukan saya sahaja malah semua perempuan Islam tidak pernah mengalami itu (walaupun dalam Islam ada khatam untuk perempuan tetapi saya sengaja tidak mahu menceritakan kepadanya tentang hal itu bagi mengelakkan dia lebih keliru dan salah sangka).

Orang Sepanyol: Tetapi dalam Islam, perempuan sentiasa ditindas, lelaki adalah dominan dan ini tidak adil. Perempuan sentiasa perlu tunduk pada lelaki dan dinafikan hak dan kebebasan untuk berbuat apa yang mereka suka.

Aku: Tidak benar sama sekali! Malah perempuan mempunyai tempat yang amat mulia di sisi Islam, hingga Syurga pun diibaratkan berada di bawah telapak kaki seorang perempuan, iaitu ibu.

Orang Sepanyol: Tetapi sistem di negara-negara Islam menindas kaum perempuan, lihat di Somalia, perempuan mereka tidak dibenarkan bersekolah tinggi-tinggi, dinafikan hak mereka untuk memperolehi pendidikan yang secukupnya.

Aku: Apa yang berlaku di Somalia tidak boleh digeneralisasikan sama sekali ke seluruh negara-negara Islam yang lain. Seperti yang telah saya katakan sebelum ini, barangkali itu cuma amalan-amalan etnik kaum mereka, bukan amalan berdasarkan ajaran Islam. Jika benar Islam menindas wanita, sudah tentu saya tidak akan berada di sini, piknik bersama-sama awak di tepi kolam renang ini, bersembang mesra di atas tikar ini.

Orang Sepanyol: Ermm, tidak ada langsungkah penindasan ke atas wanita di negara awak?

Aku: Tidak ada sama sekali! Kalau ada pun ia bukan dari ajaran Islam atau nabi Muhammad, ia berlaku kerana kelemahan dan kejahilan individu yang kebetulannya beragama Islam. Bukan agama yang salah, tetapi penganutnya.

Orang Sepanyol: Awak datang ke mari, siapa yang hantar?

Aku: Dengar, agama rasmi negara saya adalah Islam, pemimpin utama adalah Islam. Jika Islam menindas wanita, tidak mungkin saya diberikan jawatan tinggi dalam kerajaan malah diberi biasiswa pula untuk ke Sepanyol ini menyambung pelajaran. Sedangkan suami saya hanya mempunyai ijazah pertama, saya pula diberi biasiswa untuk membuat PhD. Jawatan suami saya lebih kecil dari jawatan saya. Dalam rumahtangga kami, saya berhak untuk menyuarakan apa yang saya rasa benar, malah dalam banyak keadaaan suami menyerahkan kepada saya untuk membuat keputusan, atau dengan kata lain saya lebih dominan terutamanya dalam hal-hal yang suami kurang arif seperti menentukan hiasan dalam rumah, perbelanjaan keluarga, pendidikan anak-anak dan sebagainya. Tidak timbul langsung penindasan. Malah saya berasa amat selamat menjadi seorang wanita Islam kerana Islam mengajar bahawa isteri adalah di bawah kewajipan seorang suami untuk menyara dan melindunginya. Kerana itu juga suami saya diberi cuti walaupun tanpa gaji untuk mengikut saya ke mari agar beliau boleh melindungi dan menjaga saya, bukan menindas!

Orang Sepanyol: Mengangguk-nganggukkan kepala dengan muka yang berkerut. Entahlah, tetapi apa yang ditulis oleh perempuan Somalia itu di dalam bukunya amat memberi kesan kepada saya.

Aku: Buku itu bukan satu-satunya buku yang ada di dunia ini. Awak patut membaca lebih banyak buku terutamanya buku-buku tentang kejayaan wanita-wanita Islam di dunia. Sambil berseloroh aku berkata; Nantilah bila buku tentang kejayaan saya siap suatu hari nanti, saya akan hadiahkannya kepada awak untuk dibaca. Hayatilah, dan awak akan nampak betapa indahnya Islam dan betapa benarnya Muhammad.

Orang Sepanyol: (senyum), eh dah lama budak-budak tu kat dalam kolam sana, saya rasa eloklah saya pergi menjenguk mereka sambil saya pun nak mandi manda juga.

Aku: Silakan kawan, jangan lupa tolong tengokkan anak-anak saya sekali (oleh kerana aku tidak mengenakan baju mandi atau bikini maka aku dilarang daripada mendekati kolam renang, hanya duduk-duduk di atas tikar di bawah bayang pokok dari kejauhan sahaja).

Dari celah-celah dedahan pohon ku lihat balam-balam matahari terik dan aku nampak seolah-olah matahari tersenyum padaku. Terima kasih Tuhan atas kurnian pengalaman yang berharga ini. Moga aku terus diberi kekuatan.

Orang Sepanyol bertanya kepadaku; Ermm mengapa awak menutup kepala awak?

Aku bertanya kembali kepada orang Sepanyol; Mengapa pula awak tidak menutup kepala awak?

Orang Sepanyol menjawab; Suka hati saya lah. Ini adalah kehidupan saya, hak saya.

Dan aku menjawab; Saya bukan sesuka hati menutup kepala kerna jika mengikut hati, saya tidak mahu menutupnya. Saya melakukannya kerana Allah. Saya dan kehidupan saya ini adalah milik Allah, maka hak saya ke atas diri saya juga tidak boleh melebihi hak Allah ke atas saya.

Seterusnya orang Sepanyol bertanya; Mengapa awak sanggup mengorbankan kehendak hati awak hanya kerana agama? Adakah awak sendiri bahagia melakukannya?

Aku menjawab; Kerana Allah sebagai Tuhan telah begitu bermurah hati mengurniakan kepada saya nyawa dan kehidupan. Jadi, mengapa pula saya harus sombong padaNya? DIA telah mencipta saya, meminjamkan dunia ini kepada saya dan saya harus berterima kasih padaNya. Sebagai hamba saya bahagia hanya apabila Tuhan merestui saya. Adakah awak fikir, Tuhan akan merestui saya jika saya membelakangiNya?

Orang Sepanyol mengangkat bahu lalu berkata; Entahlah, susah saya nak faham dan susah saya nak terima, kehidupan orang Islam nampak begitu susah dan menyusahkan.

Aku berkata; Lautan luas yang dipandang dari daratan memang menakutkan. Cubalah belajar menyelam dan  terjunlah ke dalamnya dahulu. Di dalam sana barulah awak boleh nampak segala keindahan.

Orang Sepanyol menyambung kata; Tetapi, saya lihat ramai yang lemas di dalam lautan itu.

Aku menjawab ringkas; Mereka yang lemas adalah mereka yang terjun tanpa ilmu berenang dan menyelam.

Akhirnya orang Sepanyol berkata; Ayuh kita pulang kerna hari pun sudah senja.

Dan aku berkata; Ayuh, jalan pulang senantiasa terbentang!

Semalam, aku dikejutkan oleh berita kematian sepupuku di tanah air. Sangat-sangat aku terkejut, juga berasa amat sedih dan pilu. Pertama, kerana kematiannya mengejut, bukan kerana sakit, atau mengidap apa-apa penyakit tetapi kerana terlibat dalam kemalangan jalan raya yang tragis. Kedua, kerana dia masih muda, baru genap 30 tahun usianya pada hari kematiannya, baru 2 tahun berkahwin dan baru menimang seorang cahaya mata berusia 11 bulan, yang masih menyusu badan. Ketiga, kerana dia amat terkenal dalam kalangan ahli keluarga kami malah dalam kalangan kawan-kawannya juga, samada kawan sekolah, kawan semasa menuntut di universiti hatta kawan-kawan di tempat kerjanya, sebagai seorang yang amat baik, berhati murni, sentiasa senyum dan tidak pernah marah. Dan keempat, yang membuatkan aku paling pilu ialah kerana aku berada terlalu jauh untuk pulang menatap wajahnya buat kali terakhir sebelum jenazahnya dikebumikan. Malah untuk menziarahi kuburnya pun aku terpaksa menunggu 2 tahun lagi. Kalaulah aku mampu terbang..

Arwah meninggal pada hari lahirnya, yang juga hari ulang tahun perkahwinannya yang ke 2. Pada pagi hari kejadian, arwah sempat menghadiahkan sehelai baju kepada suami tercinta sebagai hadiah ulang tahun perkawinan mereka. Arwah seorang guru yang dedikasi, disayangi oleh semua murid-muridnya, disenangi oleh rakan-rakan sekerjanya, dan seorang yang sangat amanah dalam melaksanakan tugas yang dipikulkan ke bahunya. Pemergiannya ditangisi oleh seluruh murid-muridnya, malah juga oleh seluruh rakan-rakan sekerjanya termasuklah guru besar sekolahnya, malah turut ditangisi oleh tukang kebun dan tukang sapu sekolahnya. Sikap ramah dan mudah mesra arwah membuatkan dia disayangi dan disenangi oleh semua. Tiada siapa pun boleh menafikan hal ini. Berduyun-duyun murid-muridnya datang menziarahi jenazahnya, berebut-rebut dan merayu-rayu mereka meminta izin ahli keluarganya untuk mencium arwah sebelum dia dikapan dan disembahyangkan. Air mata yang mengalir di setiap pipi mereka yang mengenalinya terutamanya mereka yang hadir melawat jenazahnya, tidak terseka. Seluruh hadirin sebak dan teresak-esak kerana mereka termasuk aku yang menerima berita pilu ini dari jauh amat terasa akan kehilangannya. Akan dia insan yang mulia, dijemput Tuhan mendahului kita.

Aku mempunyai terlalu banyak kenangan bersama arwah meskipun jarak usia kami agak jauh. Oleh kerana hubungan ibunya yang merupakan ibu saudaraku, denganku amat rapat dan mesra, maka hubungan aku dengan arwah dan adik beradiknya juga amat rapat dan mesra. Sikap arwah dari kecil memang amat menyenangkan. Arwah seorang yang tidak suka bergaduh, mainlah apa pun dengannya pasti dia yang mengalah. Itu cerita antara aku dan dia semasa kami kecil-kecil dahulu. Malah ketika dia besar dan menginjak remaja hatta ketika dia menuntut di universiti, bekerja dan berkahwin pun, sikap mulianya tidak pernah berubah. Yang paling diingati oleh semua dalam kalangan ahli keluarga kami ialah tugasnya sebagai pembancuh minuman yang tetap kepada siapa pun jua tetamu yang hadir di rumahnya. Setiap kali aku dan keluargaku berkunjung ke rumahnya, pasti dialah yang sibuk menyediakan minuman di dapur untuk dihidang pada para tetamu. Kalau kebetulan ke rumahnya sewaktu dia tiada, rasa tidak lengkap kerana pembancuh minuman yang sedap tiada. Kini, segalanya itu hanya akan tinggal dalam lipatan kenangan dan tiadalah lagi pembancuh minuman agung jika kami ke rumahnya selepas ini. Tiada siapa pun boleh menggantikan sikap ramah dan mudah mesranya yang amat disenangi oleh sesiapa jua. Itulah arwah!

Arwah seorang yang sangat mudah menghulur bantuan kepada sesiapa jua yang memerlukan walaupun terpaksa membelakangi kepentingannya sendiri. Masih ku ingat, ketika aku menetap di Kuala Lumpur dahulu dan arwah ketika itu menuntut di UiTM Shah Alam, aku sering meminta tolongnya menjaga dua orang anakku yang masih kecil jika aku mempunyai sesuatu urusan yang tidak dapat dielakkan. Contohnya, arwah sanggup datang seorang diri dari Shah Alam ke rumahku di Kerinchi semata-mata untuk menjaga anak-anakku kerana aku dan suami terpaksa ke Taiping Perak untuk menghadiri temuduga di UPSI. Seharian ku tinggalkan anak-anakku bersama arwah dari seawal subuh hinggalah ku pulang lewat petang yang mencecah waktu maghrib. Tidak ada sedikit pun riak resah atau hendak marah di wajahnya, walaupun terpaksa berulang kali membacuh susu, menyuap makan, membasuh dan memandikan anak-anakku yang kedua-duanya ketika itu masih menyusu dan memakai lampin (seorang berusia 2 tahun, seorang setahun). Walaupun ketika itu arwah belum mempunyai anak saudara dan tidak mempunyai pengalaman langsung mengurus budak kecil, tetapi dia telah melaksanakan amanah itu dengan jaya kerana dia sangat ikhlas dan melakukannya penuh suka rela. Itulah arwah!

Kali terakhir aku bertemu arwah ialah sewaktu aku pulang ke Malaysia tahun lepas antara bulan april hingga jun. Sebelum itu, aku tidak sempat menghadiri majlis kahwinnya kerana sewaktu ia dilangsungkan aku telah pun terbang ke mari, ke bumi Sepanyol ini. Ketika aku pulang ke Malaysia, arwah sedang sarat mengandung anak sulong. Maka sempatlah aku melihat puteri sulung arwah yang sungguh comel, malah sempat aku meriba dan mendukung bayinya di depannya dalam kunjungan aku ke rumah arwah menziarahinya yang baru bersalin. Alhamdulillah, bukan sekali aku berkunjung ke rumahnya di Gong Badak untuk menziarahinya yang dalam pantang, malah sempatlah 4, 5 kali. Puaslah aku menatap wajah puterinya yang sungguh comel dan puaslah aku menatap wajahnya dan bergurau senda dengan arwah. Kerana baiknya dan kerana ramahnya, dalam pantang pun arwah masih sudi melayan lawak-lawak senario aku yang memang sangat suka menyakatnya sejak dari kecil lagi. Arwah seorang yang berhati kebal, katalah apa pun padanya, berguraulah apa pun dengannya, arwah tidak pernah ambil hati, tidak pernah menyimpannya di dalam hati. Arwah seorang yang tidak tahu berdendam, malah tidak tahu marahkan orang. Itulah arwah!

Hakikat kebaikan dan kemulian arwah diakui oleh semua, bukan aku mengada-ngadakan cerita kerana dia adalah sepupuku. Aku mempunyai terlalu ramai sepupu, dan antaranya ramai pula yang telah pergi menemui Ilahi. Tetapi perasaanku tidak sesedih dan sehiba menghadapi pemergian arwah. Aku benar-benar berasa kehilangan meskipun baru sehari arwah pergi dan meskipun aku berada jauh di bumi asing ini. Meskipun jasad kami telah terpisah hampir setahun (dari tarikh terakhir aku melihatnya di bulan mei 2010), tetapi kerana kebaikan dan kemuliannya, maka arwah sentiasa berada dalam minda dan hatiku. Hampir aku tidak dapat menerima hakikat kehilangannya sewaktu dimaklumkan oleh ayahku menerusi telepon. Terduduk aku tanpa sedar, dan air mata laju menuruni pipi pucatku saat mendengar suara ayah menyebut “arwah telah tiada´´ di corong telepon. Tanpa sedar terpacul dari mulutku, “mengapa dia?´´.

Oh, ku pohon ampun darimu ya Allah, bukan aku tidak redha atas takdirmu ya Allah, bukan aku terlalu jahil untuk mengerti bahwa mati itu pasti ya Allah, tetapi aku terlalu terkejut, dan ia keluar secara spontan dek kerana otakku seperti tidak berfungsi sewaktu menerima perkabaran itu. Ampunilah aku ya Allah atas rapuhnya imanku, atas nipisnya sabarku, atas rendahnya kekuatanku, atas kecil dan kerdilnya aku dalam menghadapi ujianMu. Ya Allah, aku baru diuji oleh kematian seorang sepupu, bagaimana pula nanti jika Engkau mengujiku dengan kematian ibu bapa, adik beradik, anak-anak dan suami? Ya Allah, aku bermohon dengan segenap jiwaku, dengan seluruh hatiku, kurniakanlah aku kekuatan, kurniakanlah aku kekuatan, kurniakanlah aku kekuatan. Andai aku tersasar kembalikanlah aku ke pangkal jalan. Aku mahu redha menghadapi mereka yang pergi yakni redha  menerima takdirMu. Dan aku juga mahu pergi dalam redhaMu. Ya Allah, tempatkanlah roh arwah dalam kalangan hamba-hambamu yang beriman, yang soleh, yang engkau janjikan syurga. Kurniakanlah kekuatan kepada bonda dan ayahndanya, adik beradiknya, sanak saudaranya, sahabat handainya, rakan-rakan dan kenalannya, dalam menghadapi pemergiannya. Dan ya Allah, Engkau rahmatilah kehidupan zuriat tunggalnya, Fathimah. Amin. Akhir kata, Al fatihah untuk arwah Nor Rosniah Binti Hj. Sudin.

Arwah telah selamat kembali ke rahmatullah, sedikit peringatan kepada kita yang masih bernyawa di bumi Allah; Andai telah jauh menyimpang, sesungguhnya jalan pulang sentiasa terbentang. Andai telah berbuat banyak dosa, sesungguhnya pintu taubat masih terbuka. Siapa kata esok masih ada, sedangkan maut tidak menanti sesiapa. Segerakanlah taubat kerana ajal tidak tertangguh walau sesaat. Mati tidak mengenal usia, rupa, maupun harta. Ia juga tidak menunggu kita. Jika bukan sekarang juga, bilakah hendak insaf agaknya? Hendak menunggu tua, ramai sekali yang mati muda. Hendak menunggu sakit dahulukah baru hendak bertaubat sedangkan di masa sihat pun sudah tidak larat? Atau, hendak menunggu waktu susah kerana ketika senang hati menjadi buta, tidak nampak malah tidak gerun akan kebesaran Allah? Mari kita renungkan bersama sementara Allah masih meminjamkan kita nyawa.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...