Budaya memberi hadiah adalah universal yakni ia wujud di semua negara dan diamalkan oleh semua bangsa. Hadiah boleh diberi oleh sesiapa jua kepada sesiapa jua, dalam apa jua bentuk dan rupa, pada bila-bila masa, atas apa jua sebab dan alasan atau boleh juga tanpa sebarang motif. Hadiah boleh diterima daripada seorang yang lebih dewasa atau sebaliknya, oleh lelaki atau sebaliknya, oleh mereka yang berstatus lebih tinggi atau sebaliknya, oleh mereka yang tidak dikenali atau sebaliknya, oleh mereka yang kaya atau sebaliknya, malah oleh sesiapa jua kepada sesiapa jua. Hadiah boleh bersifat konkrit atau abstrak, boleh berupa material atau moral, boleh dilihat dan disentuh atau sebaliknya, malah senyuman dan doa juga boleh menjadi hadiah. Hadiah boleh diberi atas apa jua alasan, kejayaan, kejuaraan, kemenangan, sokongan, motivasi, galakan, rangsangan, ikatan, kegembiraan, kebahagiaan, kepercayaan, malah hadiah juga boleh diberi tanpa sebarang alasan. Namun, hadiah lazimnya dikaitkan dengan kegembiraan atau sesuatu yang berunsur positif.

Apa yang hendak aku nukilkan di sini sebenarnya ialah perbezaan di antara dua budaya, Melayu dan Sepanyol dalam konteks menerima hadiah. Seperti yang telah aku nyatakan di atas, amalan memberi hadiah wujud dalam kedua-dua budaya, malah wujud dalam semua budaya yang ada di dunia ini. Namun, ada sedikit perbezaan dari sudut penerimaan hadiah atau lebih tepat lagi perbezaan dari segi cara penerima menunjukkan penghargaan atau rasa terima kasihnya kepada si pemberi atas hadiah yang telah diterima. Perbincangan ini adalah terhad kepada pemberian hadiah berupa material yang lazimnya dibungkus atau dibalut bertujuan menimbulkan kesan kejutan atau tertanya-tanya di pihak penerima, atau boleh jadi ia dibungkus untuk mengelakkan rasa malu atau rendah diri di pihak pemberi jika hadiah itu tidak seberapa dari segi rupa dan nilai kebendaannya.

Seperti yang diketahui, membuka bungkusan hadiah di hadapan si pemberi dalam budaya Melayu, adalah dianggap sebagai tidak sopan atau tidak beradab. Masyarakat Melayu mengaitkan hal tersebut dengan kegelojohan, kebendaan, ketamakkan, ketidak-sabaran dan seupamanya. Ia bukan sahaja memberi imej buruk kepada penerima hadiah, malah juga boleh mengaibkan pemberi hadiah. Bayangkan, jika si pemberi adalah seorang miskin yang hanya mampu membeli barang murah untuk dihadiahkan kepada si penerima dan hadiah tersebut dibuka di hadapan orang lain termasuk pemberi sendiri, maka keadaan itu boleh mengaibkan pemberi atau boleh membuatnya berasa rendah diri. Membuka hadiah secara terus sebaik berpindah tangan terutamanya dalam majlis yang dihadiri ramai orang adalah amat tidak sopan. Ia tidak lebih dari menunjukkan ketidak-pekaan penerima terhadap perasaan orang lain dan juga seolah-olah seperti hendak membanding-bandingkan hadiah yang diberi oleh seseorang dengan seseorang yang lain. Ia boleh menjatuhkan air muka pemberi. Berbeza halnya dengan amalan yang dilakukan oleh pengantin masa kini yang membuka hadiah-hadiah yang diterima selepas selesai upacara persandingan kerana ia dilakuan setelah kesemua jemputan pulang. Lazimnya ia dilakukan di hadapan ahli keluarga dan sanak saudara terdekat untuk menambah meriahkan lagi suasana.

Namun, keadaan adalah di sebaliknya dalam budaya Sepanyol. Hadiah yang tidak terus dibuka di hadapan pemberi akan melukakan hati pemberi. Masyarakat Sepanyol berpendapat bahawa hadiah perlu dibuka di hadapan pemberi kerana ia melambangkan kepercayaan, penghargaan, kegembiraan, kebahagian, kesyukuran dan seumpamanya di pihak penerima. Seseorang itu akan dianggap tidak sopan dan tidak beradab jika tidak terus membuka bungkusan hadiah sebaik menerimanya daripada pemberi. Jika hadiah tersebut tidak terus dibuka, pemberi akan berasa yang dirinya seolah-olah seperti tidak berharga dan hadiah yang diberi seolah-olah seperti tiada nilainya. Bagi mereka, tergesa-gesa membuka hadiah di hadapan pemberi adalah suatu kemuliaan kerana ia menunjukkan bahawa si penerima begitu gembira hingga tidak sabar-sabar hendak melihatnya. Semakin rakus si penerima membuka bungkusan, semakin si pemberi berasa bangga dan gembira kerana itu menunjukkan yang si penerima begitu menghargai hadiah tersebut dan amat bersyukur menerimanya. Sebaliknya pula, jika hadiah yang diberi itu diletak ketepi atau dibawa masuk ke bilik atau disorokkan dahulu, maka si pemberi akan berasa rendah diri dan keciwa kerana beranggapan ia tidak istimewa dan tidak dihargai oleh si penerima.

Maka, andai suatu hari anda menerima apa-apa hadiah daripada mana-mana orang Sepanyol, maka bukalah bungkusannya cepat-cepat di hadapan si pemberi itu sendiri kerana itulah sebesar-besar penghargaan dan terima kasih yang boleh anda tunjukkan atas kesudian dan susah payah mereka memberikan anda hadiah. Dan apabila tiba giliran anda pula memberi hadiah kepada mereka, janganlah pula terkejut atau berasa pelik jika hadiah itu dibuka dengan gelojohnya di hadapan anda atau orang lain kerana itulah caranya mereka menunjukkan rasa terima kasih dan penghargaan kepada anda yang telah memberikan mereka hadiah.

Staf A: Selamat pagi.

Aku: Selamat pagi.

Staf A: Sila duduk.

Aku: Terima kasih (tarik kerusi, satu untuk aku, satu untuk hubby).

Staf A: Ya, ada apa puan ke mari?

Aku: Nak perbaharui kad pengenalan (resident card).

Staf A: Dokumen-dokumennya?

Aku: Ini dia cik (hulur file dokumen)

Staf A: Borang dah isi?

Aku: Dah! Semua ada dalam file tu.

Staf A: (Buka file, periksa dokumen satu persatu).

Aku: (Harap-harap semua dokumen lengkap).

Staf A: Hurm, tak lengkap.

Aku: Aarr?? Apa maksud cik? (keciwa).

Staf A: Ada beberapa dokumen yang tidak dilampirkan.

Aku: Dokumen apa tu? (penuh yakin semua dokumen sudah lengkap).

Staf A: Salinan muka depan buku akaun tidak dilampirkan dan tidak ada letter of repatriation.

Aku: Apa? Tahun-tahun lepas takde diminta pun semua tu?

Staf A: Itu tahun lepas, tahun ni diperlukan semua dokumen tu.

Aku: Syarat berubah setiap tahun ke?

Staf A: Yup, berubah bila ada kepentingan.

Aku: Kenapa tak dihantar surat atau sebarang notis memaklumkan perubahan?

Staf A: Puan kenalah datang bertanya. Pemohon berjuta, takkan nak hantar surat.

Aku: (Aduss, nak datang tanya, macamlah office awak tu sebelah rumah saya)

Staf A: So, puan balik, lengkapkan dokumen dan datang semula.

Aku: Adeh. Ok, apa lagi yang perlu saya bawa? Esok-esok saya datang, ada lagi yang tak lengkap kan. Rumah saya dengan pejabat ni, bukan dekat cik. Dahlah saya takde kereta, mai jalan kaki.

Staf A: Oh ya. Puan juga perlu bawa kesemua anak-anak bersama.

Aku: Aarr?? Bawa semua anak-anak?

Staf A: Yup!

Aku: Biar betul.

Staf A: Betul!

Aku: Ni pun syarat baru ke?

Staf A: Eh, takdelah. Memang kena bawa anak-anak. Sebab puan bukan nak perbaharui kad puan saja kan, untuk seisi keluarga juga, kan? So, semua ahli keluarga kena datang.

Aku: Biar betul. Tahun-tahun lepas tak disyaratkan membawa anak-anak pun. Ibu ayah sahaja yang diwajibkan datang. Budak-budak tu sekolah, kalau dibawa ke sini maknanya mereka kena ponteng sekolahlah? Macam mana tu?

Staf A: Terpaksalah. Kalau tak, kita tak boleh proses permohonan tu.

Aku: Haih, pening saya macam ni.

Staf A: (Angkat bahu sambil memulangkan semula file dokumen kepadaku).

Aku: Terima kasih, adios.

Staf A: Adiós.

 

Seminggu kemudian (setelah semua dokumen lengkap dan setelah berjaya memujuk ketiga-tiga anakku agar ponteng sekolah).

Staf B: Selamat pagi.

Aku: Selamat pagi.

Staf B: Sila duduk.

Aku: (tercengang, kami berlima, kerusi satu)

Staf B: (buat-buat tidak tahu, muka masam kelat).

Aku: Hurmm (duduk, hubby dan anak-anak bediri).

Staf B: Ya, ada apa?

Aku: Perbaharui kad pengenalan.

Staf B: Dokumen?

Aku: Ini dia, semua ada dalam file (hulur file dokumen).

Staf B: (mata melilau memandang anak-anakku)

Aku: (memberi isyarat kepada anak-anakku agar duduk diam-diam).

Staf B: Hurm,tiga-tiga ni anak puan? (masam)

Aku: Yup, anak-anak sayalah (apa kes nak bawa anak-anak orang lak?)

Staf B: Puan tak perlu bawa budak-budak. Dia orang kan sekolah. Mana boleh ponteng sekolah. Puan dengan hubby sahaja datang cukup! (serius).

Aku: Aarrr? Apa??? (hampir pitam, geram).

 

Nota:-

Proses memperbaharui kad pengenalan (resident card) di Sepanyol amat memeningkan kepalaku dan meremuk-redamkan jiwaku. Prosedurnya amat berbelit-belit dan staf-staf di pejabat pendaftaran pula sangatlah tidak mesra alam dan amatlah putar alam.

Untuk tahun 2011, hampir sebulan aku bertungkus lumus menyediakan segala dokumen yang diperlukan untuk permohonan pembaharuan kad tersebut. Bila dah dihantar pada tarikh yang ditetapkan, dikatakan tidak lengkap pula. Ada tambahan syarat baru yang notis pemberitahuannya tidak dikeluarkan atau diwarwarkan. Disuruh pula bawa anak-anak yang mereka tahu bahawa anak-anak itu perlu ke sekolah setiap hari. Telah kupersoalkan tentang suruhan tersebut memandangkan tahun-tahun sebelumnya ia dilakukan tanpa perlu membawa anak-anak, hanya aku dan hubby sahaja yang diminta datang. Namun Staf A telah bertegas mengatakan “perlu”. Bayangkan perasaan aku dan anak-anakku sendiri apabila staf B mempersoalkan aku yang datang dengan anak-anak dengan berkata “tak pelu bawa budak-budak”, setelah aku bersusah payah selama seminggu memujuk anak-anakku dan juga pihak sekolah agar membenarkan mereka ponteng dan ikut aku ke pejabat pendafataran?

Atas ketidak-mesraan alam dan keputar-alaman yang nyata di pihak pejabat pendaftaran Sepanyol, maka aku memberi mereka markah 1 sahaja dari markah penuh 10. Markah 1 itupun, aku berikan kepada tandas mereka yang agak bersih dan tidak berbau. Akan sistem, prosedur dan sikap kakitangan mereka, hampeh!

Aku dan tiga orang kawan antarabangsaku (orang Sepanyol, Bolivia dan Venezuela) telah mengadakan pot luck. Maka berlangsunglah dialog antara kami berempat seperti di bawah:-

Kawan Sepanyol: Awak bawa apa?

Kawan Venezuela: Kek. Saya buat sendiri kek ni tau.

Aku: Cantik dan nampak amat enak. Boleh saya tahu bahan-bahannya?

Kawan Venezuela: Gandum, telur, majerin, gula, serbuk penaik dan keju. Itu sahaja.

Aku: Oo, tak sabar saya nak rasa (fuhh, lega).

Kawan Sepanyol: Eh, awak pula bawa apa?

Aku: Saya bawa agar-agar santan.

Kawan Sepanyol, Venezuela & Bolivia: Agar-agar santan? Apa tu?

Aku: Bahan-bahannya cuma agar-agar, gula dan santan. Mudah dan murah, tapi sedap.

Kawan Bolivia: Oh, nampak menarik, saya tak sabar nak rasa.

Kawan Venezuela: Makanan tipikal Malaysia, ek?

Aku: Ya, lazimnya dinikmati sebagai pencuci mulut. Boleh juga dimakan sebagai sarapan. Terpulanglah.

Kawan Venezuela: Awak, bawa minuman kan?

Kawan Sepanyol: Ya, seperti mana yang kita persetujui semalam, tugas saya ialah membawa minuman. So, saya bawa air orange dan coca cola. Buah pun ada.

Kawan Venezuela: Awak? Apa awak bawa dalam periuk tu? Dengan periuk-periuk dibawanya sekali.

Kawan Bolivia: Oh, lupa nak bagitau. Saya masak seperiuk daging babi. Semua saya bawa ke mari.

Aku: Aarr? Daging babi????

Kawan Venezuela: Daging babi? Bukankah semalam kita dah putuskan takkan bawa apa-apa makanan berdaging sebagai menghormati kawan kita (aku) yang tak makan daging?

Kawan Bolivia: Aisey (tepuk dahi)! Saya lupalah. Maaf, saya langsung tak ingat. Saya tengok dalam peti ada daging babi, terus saya masak dan bawa ke mari. Maaf!

Aku: Takpe, dah bawa, awak semua makanlah. Saya makan agar-agar dan kek sahaja. Cukuplah.

Kawan Venezuela: Alaa, tak bestlah macam ni. Tujuan kita buat pot luck ini ialah untuk bertukar-tukar menu dan saling rasa merasa menu dari negara masing-masing, kan?

Aku: Takpe, relek aarr. Seperti yang saya katakan tadi, saya boleh makan kek dan agar-agar yang saya bawa. Alaa, lain kali kita boleh buat lagi dan pastikan kita bawa makanan yang semua boleh makan, ok?

Kawan Sepanyol: Seperiuk ni daging babi? (sambil membuka tudung periuk).

Kawan Bolivia: Ya, tapi ada juga biji-biji jagung. Saya masak babi sekali dengan biji-biji jagung tu.

Kawan Sepanyol: So, maknanya kawan Malaysia kita tetap boleh rasa masakan awak. Dia makan jagung aje, toksah makan babi.

Kawan Venezuela: A´a kan. Awak makan jagung saja (memandang ke arahku).

Kawan Bolivia: Yup! Betul tu. Awak makan jagung saja ya. Nanti saya kutip letak dalam piring (biji-biji jagung dari dalam periuk diceduk ke dalam piring kertas).

Aku: Eh, takpe. Tak perlu susah-susah sendukkan untuk saya (bersungguh membuat isyarat tidak dengan tangan).

Kawan Bolivia: Alaa, apa pula susahnya, setakat nak tolong sendukkan, takde masalah langsung (menghulurkan piring berisi biji-biji jagung kepadaku)

Aku: Aarr? (panik dan serba salah)

Kawan Sepanyol: Ambilah, dia dah sendukkan untuk awak tu.

Aku: Oh, minta maaf, saya terpaksa menolak. Saya tidak mahu (menolak dengan lembut).

Kawan Bolivia: Tak nak? (masih menghulurkan piring kepadaku)

Kawan Venezuela: Awak tak suka atau tak makan jagung juga kah?

Kawan Sepanyol: Ambilah. Kecik hati dia nanti awak tak sudi rasa masakan dia.

Aku: Err, hurm. Saya minta maaf sangat-sangat. Saya memang tak boleh makan jagung tu.

Kawan Bolivia: Awak tak makan jagung? Orang Islam tak makan jagung jugakah? (hairan)

Aku: Bukan. Jagung takde masalah. Masalahnya ialah, ia telah dimasak bersama-sama babi yang memang orang Islam tidak boleh makan, hatta sentuh pun tak boleh. Maaf ya.

Kawan Sepanyol: Laa, apa kena mengena jagung tu dengan babi? Kan dua sumber yang berbeza tu?

Aku: Betul, tapi ia telah dimasak bersama-sama babi di dalam satu bekas. Ia telah bercampur dengan daging babi.

Kawan Sepanyol: Walaupun di masak sekali, tetapi jagung itu tetap satu entiti yang berbeza daripada babi. Macam awak dan kami semualah. Kita berbeza agama, tetapi adakah dengan duduk bersama macam ni, awak boleh masuk ke agama saya dan saya boleh masuk ke agama awak?

Aku: Kita lain. Kita manusia. Walaupun kita berbeza agama tetapi kita berkongsi bumi yang sama. Meskipun kita duduk bersama, berdekatan, bersentuhan hatta berpelukkan sekalipun, tetapi secara fizikalnya kita tidak boleh menyerap masuk di antara satu sama lain. Lain halnya dengan bahan-bahan makanan yang dimasak sekali di dalam satu bekas. Sudah tentu air dari satu bahan akan menyerap ke bahan yang satu lagi. Nama pun di masak, supaya segala bahan-bahan tersebut mesra dan bersatu rasa, kan?

Kawan Venezuela: A´a kan. Betul tu. Bila dah dimasak di atas api, akan berlaku perubahan bentuk dan semua bahan yang dimasak akan berubah warna, rasa dan bentuk menjadi suatu benda baru. Bila bahan-bahan yang berbeza di masak bersama, mereka akan bergabung lalu terhasilkan suatu masakan daripada gabungan itu (menyokongku).

Aku: Tepat sekali!

Kawan Bolivia: Oklah kalau macam tu. Saya bukan apa, cuma kasihankan awak sahaja. Tak dapatlah awak rasa apa-apa yang saya bawa ya. Aiisshh, camne saya boleh lupa (sesal).

Kawan Sepanyol: Kalau saya jadi awak, saya makan aje jagung-jagung tu. Yang orang Islam tak boleh makan, babi sahaja. Jagung tidak! (tidak setuju).

Kawan Bolivia: Takpe. Saya faham. Mm, so, boleh tak saya nak rasa agar-agar awak tu? (tukar topik)

Aku: Eh, silakan. Banyak saya buat ni tau. Nak bungkus bawa balik nanti pun boleh (menghulurkan bekas agar-agar).

Kawan Venezuela: Eh jom, lapar aarr (membahagi-bahagikan keknya).

Aku, kawan Bolivia dan Sepanyol: Jomm!

Majlis pot luck berlangsung dalam suasana ceria dan penuh ria meskipun salah seorang ahli telah melanggar perjanjian yang telah termeteri. Sehari sebelum itu, kami telah berbincang untuk mengadakan pot luck dan masing-masing telah bersetuju untuk tidak membawa masakan berdaging atau sebarang masakan bercampur arak demi untuk menghormatiku. Selesai majlis tersebut, masing-masing berkemas dan saling bertukar-tukar masakan yang dibawa untuk dibawa pulang kepada ahli keluarga. Oleh kerana rumahku dan rumah kawan Sepanyol terletak di kawasan yang sama, maka aku dan dia telah berjalan pulang bergandingan. Yang lain-lain pula membawa haluan masing-masing. Dalam perjalanan pulang itu, kawan Sepanyol telah menyuarakan rasa tidak puas hatinya kepadaku.

Kawan Sepanyol: Seronok kan buat pot luck antarabangsa camni.

Aku: Yup! Seronok sangat.

Kawan Sepanyol: Satu je yang tak seronok!

Aku: Aarr??

Kawan Sepanyol. Awak tau tak, kecik hati kawan Bolivia kita tu tadi, awak taknak rasa masakan dia. Takpelah taknak makan babi, ambilah jagung sahaja.

Aku: Tapi, dia sendiri pun dah cakap tak mengapa. Saya tak fikir dia kecil hati dengan saya. Tapi saya yakin dia sangat menyesal kerana telah melanggar perjanjian yang telah dibuat. Akibatnya, saya tidak boleh makan apa yang dia bawa. Saya rasa, dia lebih kepada kasihankan saya kerana tidak dapat merasa masakannya, bukan kecil hati.

Kawan Sepanyol: Awak langsung tidak menghormati dia yang telah bersusah payah memasak dan membawa masakannya itu dari rumah dengan periuk-periuk sekali. Memanglah dia dah langgar perjanjian, tapi dia bukan sengaja. Kan dia dah cakap dia lupa. Tak nak makan banyak, sedikit pun jadi. Makan dua tiga biji jagung tu pun cukuplah, sekadar mengambil hatinya (tidak puas hati).

Aku: Bukan tidak menghormati. Masalahnya, saya ada prinsip, ada pegangan, ada agama. Apalah gunanya saya menganut sesuatu agama jika saya tidak mahu mengamalkan apa yang agama itu suruh dan meninggalkan apa yang dilarang?

Kawan Sepanyol: Adakah agama awak menyuruh supaya awak melukakan hati orang lain? Bukankah Tuhan menyuruh kita supaya hidup dalam keadaan berkasih sayang dan hormat menghormati di antara satu sama lain? Jika kita sayangkan Tuhan, kita kena berkasih sayang sesama kita dahulu, betul tak?

Aku: Betul! Saya setuju. Tentang anjuran agama, saya tak fikir ada agama yang menganjurkan penganutnya untuk berbuat keburukan. Semua agama mengajak pengikutnya agar berbuat kebaikan. Namun, jika ada golongan yang melakukan keburukan di atas muka bumi ini, itu bukan salah agama, salah mereka sendiri. Bercakap tentang kasih sayang dan hormat menghormati, pun saya yakin itulah yang dianjurkan oleh setiap agama termasuk Islam. Sebab itu, hidup ini perlu kepada peraturan. Tujuannya ialah supaya hak-hak seseorang itu tidak dilanggari atau dicerobohi. Sebelum sesuatu peraturan diiktiraf, ia perlu digubal dan dipersetujui oleh semua ahli yang terlibat. Peraturan atau undang-undang termeteri setelah segala kesepakatan dicapai dalam kalangan ahli-ahlinya. Dalam konteks pot luck tadi, sehari sebelumnya kita telah bermesyuarat, berbincang sesama kita tentang apa yang perlu kita buat untuk menjayakannya. Kita ada tujuan tersendiri mengadakan pot luck tersebut, bukan? Antaranya ialah, untuk bertukar-tukar menu masakan dan saling merasa masakan dari negara masing-masing. Saya telah memberitahu dengan jelas bahawa sebagai muslim, saya tidak boleh memakan babi dan segala daging yang binatangnya tidak disembelih oleh orang bukan Islam. Dan saya juga telah menegaskan bahawa, jika syarat untuk tidak membawa masakan babi atau daging tidak dipersetujui, maka saya terpaksa menarik diri. Telah juga saya jelaskan bahawa Islam itu bagi penganutnya adalah kehidupan, bukan sekadar anutan. Hidup saya sebagai seorang Islam adalah tertakluk dan terikat dengan segala peraturan dan undang-undang yang memberi makna keislaman itu kepada saya. Begitu juga dengan penganut-penganut Islam yang lain. Telah saya terangkan dengan jelas begitu dan telah pun dipersetujui. Kalau nak dikira tidak menghormati, siapakah di antara kita yang terlebih dahulu tidak mengormati yang lain? Dia telah terlebih sahulu tidak menghormati saya dengan melanggar perjanjian yang telah dipersetujui bersama. Pun begitu, saya tidak marah. Saya maafkan dia kerana dia lupa. Saya tidak boikot pot luck tersebut malah meneruskannya seperti yang dirancang.

Kawan Sepanyol: Entahlah! Tapi lain kali kalau kita buat  pot luck lagi, kita kena pastikan setiap ahli mematuhi peraturan.

Aku: Setuju! Tidak ada paksaan dalam menerima peraturan. Tetapi, sekali ia telah disanggupi, maka kita terikat dengannya, kita harus mematuhinya.

Kawan Sepanyol: Ok, dah sampai pun rumah saya. Jumpa lagi ek, peluk cium untuk anak-anak (memeluk dan mencium kedua pipiku, budaya lazim orang Sepanyol).

Aku: Ok, terima kasih atas pot luck dan perkongsian rasa serta buah fikir yang sungguh indah dan bermakna tadi. Adiós.

Kawan Sepanyol: Adiós!

 

Nota:

Antara cabaran paling hebat bertamu di bumi Sepanyol ialah soal halal haram makanan. Makanan untuk dimakan oleh kita dan seisi keluarga di rumah tidak menjadi masalah. Namun, tika berada dalam situasi seperti yang dinukilkan di atas, agak payah untuk menghadapinya dan menjawab segala persoalan yang dilontar. Konsep halal haram makanan dalam Islam seperti yang lazim difahami terhad kepada arak dan babi sahaja. Mereka tidak faham tentang penyembelihan, mereka tidak faham tentang percampuran bahan. Kerap juga anak kecilku Abdullah (4 tahun) di berikan ayam di sekolah. Bila ku tahu dan ku pergi bertanya, jawapan mereka ialah: Kami bagi dia makan ayam, bukan babi!

 Ya Allah, ku pohon kekuatan untukku dan petunjuk dariMU!

Aku bukanlah seorang penggemar donut. Oleh itu, aku jarang membeli donut kerana memang aku tak teringin pun nak makan donut macam aku teringin nak makan benda-benda lain. Tapi kalau orang bagi free, aku makan aje; Pertama, kerana nak meraikan orang yang memberi, bukankah setiap pemberian itu perlu dihargai? Kedua, selalunya kalau percuma, yang tak sedap pun menjadi sedap, so aku ngggapp aje. Boleh disimpulkan bahawa, selama di tanah air aku memang amat jarang membeli dan makan donut kecuali jika anak-anakku menangis nakkan donut. Itupun jika mereka menangis beria-ria. Kalau sekadar minta biasa-biasa, aku tak akan belikan juga.

Oleh kerana aku ini manusia, maka aku juga tidak terlepas daripada berada dalam fitrah seorang manusia, iaitu; Mendambakan yang tiada dan mengabaikan yang ada. Bila berada jauh begini, terlontar ke negara yang amat asing dalam serba serbinya ini, tiba-tiba aku teringin sangat-sangat pula nak makan donut. Keteringinan itu mengalahkan keadaanku yang mengidam sewaktu mengandung dulu-dulu. Di tanah air, ketika donut berlambak di depan mata, maksudku kedai menjualnya merata dan status halalnya tak perlu ditanya, aku tak teringin pun nak memakannya. Tup, tup di Sepanyol darul jauh ini, aku boleh meroyan nak makan donut. Dari segi nak mendapatkan donut, takde masalah langsung, memandangkan ia dah jadi makanan harian orang-orang di sini, so kedai menjual donut bersepah di sana sini. Masalah besarnya ialah status halam haram donut tersebut.

Namun, kerana kemeroyanan nak makan donut telah sampai ke kemuncaknya, maka pada suatu hari yang damai, aku telah keluar merayau-rayau di kota Valladolid mencari kedai yang ada menjual donut yang halal. Oleh kerana di sini tidak ada makanan yang ditag halal, so aku merancang untuk bertanya tuan punya kedai tentang bahan-bahan yang telah digunakan untuk donutnya. Berdasarkan pengalaman lepas, jika aku bertanya secara langsung, samada ada atau tidak lemak atau minyak khinzir di dalam makanan atau kuih mereka, maka mereka (pekedai bukan Islam) akan bermati-matian mengatakan tidak, walhal ada. Ini kerana soal halal haram bukanlah masalah mereka dan sebagai orang bukan Islam, sudah tentu mereka tidak menjiwai sensitiviti halal haram itu seperti kita, umat Islam. Yang penting, makanan mereka laris. Jadi, macam mana aku nak tahu makanan yang mereka jual itu ada unsur-unsur haram?

 

Pekedai: Hola, selamat pagi.

Aku: Selamat pagi.

Pekedai: Ya puan, nak apa? Roti, donut, kek, pai?

Aku: Hehe (sengeh). Saya tengok-tengok dulu, boleh?

Pekedai: Boleh, silakan. Dah decide nanti panggil saya ya.

Aku: Ok, baik.

Pekedai: (teruskan dengan kerja-kerjanya sambil mata menjeling-jeling ke arahku)

Aku: (mengendap donut dalam cermin, teropong ingredients).

Pekedai: (terbeliak biji mata, panik melihat gelagatku).

Aku: (buat-buat tak tahu, terus mengendap, haih, takdelah pulak ingredients, garu-garu kepala).

Pekedai: Ehem, mm, puan cari apa?

Aku: Oh, hmm, sori, saya tengok semua sedap, so lama sikit ambik masa nak fikir, hehe (alasan).

Pekedai: Takpe, no hal, hehe (gelak kecil). Dah decide ke nak apa?

Aku: Mmm, saya nak beli donut. Tapi sebelum tu saya nak tanya, boleh?

Pekedai: Boleh, takde masalah. Mm, apa tu yang puan nak tahu?

Aku: Mm, ada tak kat sini donut yang bahan-bahannya ada campuran khinzir?  

Pekedai: Oh, ingatkan nak tanya apa tadi (gelak lega).

Aku: Hehe (sengeh), itu je soalan saya. Sebab saya memang mencari donut yang begitu.

Pekedai: Ohh, puan jangan risau, donut-donut kat kedai ni semuanya ada campuran khinzir! (bangga)

Aku: Hahh??? (toinggg!!)

Pekedai: Ya, betul! Kita campur lemak khinzir supaya donut tu sedap dan tahan lama.

Aku: Aarrr?? (geli-geleman)

Pekedai: So, berapa puan nak? Saya bungkus? Atau puan nak makan kat sini?

Aku: Oh, tak, tak payah bungkus. Err tiba-tiba saya rasa tak nak makan donut pulak (sengeh serba salah).

Pekedai: Oh, haha (gelak lucu). Mm, cuba pai? Tapi pai takde lemak khinzir, gandum, telur, lemak sayur dan air je. Mau?

Aku: Aarr? Err, mm, pai tu ada inti ya?

Pekedai: Yup! Inti daging, dan yang itu inti ayam? Sedap, cubalah.

Aku: Aarr?? Ermm, inti ikan takde ke?

Pekedai: Hahahaha (gelak besar). Inti ikan takde puan. Ikan mahal nak buat inti. Hahahaha (sambung gelak).

Aku: Oh ye ke? Hehe (rasa bodoh lak).

Pekedai: Cuba pai ayam, sedap (tangan tunjuk simbol best).

Aku: Ermm, takpelah, saya tak mau (geleng kepala).

Peledai: Nape? Tak suka? Puan macam takut-takut je. Cuba cerita kat saya, acu citer (bersungguh).

Aku: Err, bukan takut. Tak, takde apa-apa sebenarnya.

Pekedai: Aiishh, takkan takde apa-apa. Cuba cerita. Takpe, saya sanggup dengar (ramah terlajaklah pulak).

Aku: Ermm, sebenarnya saya tak makan daging, ayam pun (teragak-agak).

Pekedai: Oo, tu pasallah tanya pai ikan tadi tu ya. Ermm, nape puan tak makan daging atau ayam?

Aku: Sebab saya muslim, say.. (tak sempat habis ayat).

Pekedai: Eh, orang Islam tak makan ayam ke? (hairanlah sangat).

Aku: Eh, makan. Makan!

Pekedai: Dahtu?

Aku: Ermm, tapi kami makan ayam yang disembelih oleh orang Islam sahaja.

Pekedai: Oo, gitu (angguk-angguk kepala). Orang Islam sembelih ayam macam mana ya?

Aku: Kami potong di leher, di tempat tertentu, bla, bla, bla (beria buat demontrasi ayam disembelih).

Pekedai: (terlopong mulut mendengarnya).

Aku: Bla, bla, bla (sambung khutbah).

Pekedai: Oo, gitu (angguk-angguk kepala). Nape ya kena potong camtu?

Aku: Kerana itulah kaedah penyembelihan yang paling tidak menyeksa binatang (yakin).

Pekedai: Oho (tepuk tangan tiba-tiba), kalau macam tu puan takde masalahlah nak makan pai ni, puan boleh beli dan makan! (yakin)

Aku: Aarr?? (garu-garu tudung)

Pekedai: Untuk pengetahuan puan, ayam-ayam ni semua tak disembelih. Mereka dicucuk ubat tidur. So, mereka mati dalam keadaan aman dan tenang. Tiada langsung unsur penyeksaan!

Aku: Kah, kah, kah (gelak guling-guling sampai keluar air mata).

Pekedai: ????????

Aku: Kah, kah kah (cepat-cepat keluar dari kedai).

Nota: Amat susah orang bukan Islam Sepanyol nak faham kenapa orang Islam tidak boleh makan ayam atau daging yang disediakan oleh mereka. Mereka maklum bahawa orang Islam tidak boleh makan babi atau minum arak. Tetapi bila bab daging atau ayam, mereka susah nak terima. Macam-macam dipersoalkan; “Kalau ayam dan daging pun tak makan, habis sumber protein orang Islam, apa? Tak makan ayam dan daging, macam mana nak cukup zat? Macam mana anak-anak nak membesar dengan sihat?” Kalau diterangkan tentang sembelihan pun, bukan mereka faham. Akan ku perihalkan nanti pengalamanku dihidang ayam bakar yang enak oleh tuan rumah yang ku sewa sewaktu aku dan keluarga berkunjung ke rumahnya di Zamora, kira-kira 2 jam perjalanan dari Valladolid.

Entah apalah agaknya yang kanak-kanak faham tentang maksud perkahwinan. Adapun konsep perkahwinan dalam konteks anak-anak kecilku ialah; Upacara memotong kek oleh pengantin lelaki dan perempuan di depan pelamin pada hari persandingan. Konsep tersebut terbentuk setelah mereka kerap dibawa ke majlis-majlis perkahwinan yang melibatkan saudara mara terdekat di mana mereka berpeluang berada amat dekat dengan pengantin yang lazimnya akan memotong kek perkahwinan sebaik sahaja selesai bersanding. Kanak-kanak tidak faham tentang akad nikah, malah jika ditunjukkan kepada mereka upacara akad nikah sekalipun, itu tidak akan menarik mereka untuk menghayatinya berbanding upacara memotong kek yang lebih meriah. Pertama, dalam acara memotong kek yang lazimnya direalisasikan di hadapan pelamin, kanak-kanak akan tertarik dengan kek itu sendiri yang dihias dengan amat menarik dan nampak amat menyelerakan. Kedua, mereka tertarik dengan pakaian pengantin yang  cantik dan pengantin itu sendiri yang didandan dan disolek anggun. Ketiga, mereka tertarik dengan pelamin yang dihias indah dengan bunga-bungaan, warna-warna yang ceria dan lampu-lampu yang bergemerlapan. Itu semua lebih menarik perhatian mereka berbanding majlis akad nikah yang berlangsung dalam keadaan lebih sederhana. Akhir-akhir ini pula upacara akad nikah seringkali diadakan di dalam masjid yang agak tidak sesuai untuk kanak-kanak turut serta memandangkan amatlah sukarnya untuk mereka duduk diam dan mendengar kata. Dah namanya kanak-kanak, bukan?

Bertitik tolak daripada konsep perkahwinan yang telah terbentuk begitu, maka pada suatu hari, anak-anakku telah tidak semena-mena mempersoalkan tentang status perkahwinanku. Cara mereka menyoal siasat aku tak ubah seperti pegawai-pegawai JAWI yang menyoal siasat mereka yang ditangkap berkhalwat. Adeh!

Anak: Mama, bila mama nak kahwin?

Aku: Arr? (terpinga).

Anak: Bila mama nak kahwin? (ulang suara).

Aku: Aarr? Kahwin? (korek telinga, takut salah dengar).

Anak: Ya, kahwin! Bila mama nak kahwin? (beriya).

Aku: Aarr? (garu-garu kepala).

Anak: Mama tak dengar ke? Bilaaa naakkk kaaaawinnnnn! (dijeritnya betul-betul di depan telingaku).

Aku: Haisshhhh, senaklah telinga mama camni! (menepis).

Anak: Hehehe, dahtu dari tadi tak jawab-jawab, tak dengarlah tu!

Aku: Apa soalannya tadi? Kahwin? (minta kepastian).

Anak: Ya! Bila mama nak kahwin? (macam polis tanya pesalah).

Aku: Aarr? Kenapa tanya macam tu? (muka pesalah).

Anak: Macam mana ni, anak dah tiga tapi belum kahwin-kawin lagi. Ni bila nak kahwin ni? (soalan pegawai jawi).

Aku: Aarr? Tapi, mama kan dah kahwin! (jawapan pesalah).

Anak: Hah? (terkejut maha badak).

Aku: Betul. Mama dah kahwin!

Anak: Hah? Bila?

Aku: Dululah, masa mama muda-muda dulu.

Anak: Mana ada, kami tak pernah nampak pun!

Aku: Aarr? Tak pernah nampak apa tu? (nerbes).

Anak: Nampak mama kawin la. Tak pernah nampak pun!

Aku: Aarr?

Anak: Mama ni biar betul, tipu ya? (soal siasat makin dahsyat)

Aku: Ehh betul encik, haih, encik lak. Hehe, err, betul, mama dah kawin tau, tolongg (rayu).

Anak: Kalau dah kawin, apa buktinya? (membulatkan biji mata).

Aku: Aarr? Kau oranglah. Kau orang bertigalah buktinya (tersekat-sekat).

Anak: Itulah masalahnya, kita orang tak pernah nampak mama kawin! (geram).

Aku: Aarr? Dah kawin! Betul, mama tak tipu.

Anak: Dengan siapa?

Aku: Aarr? Dengan papa arr ..

Anak: Apa? Dengan papa? (berpaling ke arah papa)

Aku: Ya, papa tu kan suami mama!

Anak: Ya lah, kami taulah papa tu suami mama, tapi bila masanya kawin? Ada pernah kawin? (tambah geram).

Aku: Aarr? Dah, pernah, dah (tergagap).

Anak: Apa dah, dah? (sergahan pegawai jawi).

Aku: Aarr? Dah kawinlah. Dah! (angguk-angguk kepala).

Anak: Mana boleh. Kami tak pernah nampak pun! (serius).

Aku: Aarr? Masa tu, kau orang semua belum lahir lagi, tu pasallah tak nampak.

Anak: Laa, nape kawin masa kita orang belum lahir? Tu la pasal kita orang tak nampak (geleng kepala).

Aku: Aarr? (garu kening).

Anak: Tak aci. Sebab yang itu kami tak nampak. Macam mana kami nak tahu betul ke tidak? (serius).

Aku: Aarr? Dah tu?

Anak: Itulah yang sedang kami tanya, bila mama nak kawin?

Aku: Aarr? Mama kena kawin ke? (huhu nak gelak pun ada).

Anak: Yup! Mama kena kawin secepat mungkin, seeloknya sebelum dapat anak ke empat!

Aku: AARRR??? Aa, aaairr, airrrrrr!!! … (semput).

Anak: (Panik. Berlari ke dapur dan masuk semula ke ruang tamu dengan segelas air), nah mama, airnya. Lepas minum, mama kawin, ek? (sambil menuang air ke mulutku).

Aku: Ouushhhhhh!! (tersembur segala air).

Sahibbul cerita, maka pada malam itu bersandinglah aku dan hubby di pelamin ciptaan kenit-kenit bertiga tersebut. Terpaksalah aku dan hubby “berkahwin” secara paksa rela demi untuk memuaskan hati mereka. Ketiga-tiganya telah menjadi pengapit pengantin yang comel. Namun, “majlis” agak kecoh bila si kenit pertama dan kenit kedua berebut nak jadi mak andam dan tukang kipas. Sebaik majlis selesai, tiba-tiba si kenit kedua berkata; “Tak lengkaplah majlis ni, sebab pengantin tak potong kek!” Jantung aku berdegup laju bila si kenit pertama pula menyampuk; “A´a kan? Tapi takpe, nanti kita suruh mama kawin lagi!”. Aiiyyyy nak kena kawin setiap tahun? Ponat deng!

 

Antara perkara yang paling aku suka di Sepanyol ialah layanan “first class” pemilik kedai baju dan pekerja-pekerja mereka terhadap para pelanggan. Walau apa pun status kedai, dari kedai baju biasa hingga ke butik-butik berjenama, layanan yang diberi adalah sama, memuaskan. Mereka amat profesional dalam menyediakan perkhidmatan dan sungguh beradab dalam memberi layanan. Sentuhlah nak sentuh apa pun baju, cubalah nak cuba sebanyak mana pun baju, pelanggan tidak akan dimarahi malah langsung tidak akan diperhati. Mereka juga tidak kisah andai pelanggan mahu mencuba kesemua baju yang ada di dalam kedai, malah menggalakkan. Jika pelanggan keluar dengan tangan kosong, yakni tidak membeli apa-apa, mereka pula yang akan meminta maaf berkali-kali, kerana itu tandanya mereka telah gagal memuaskan hati atau menyempurnakan apa yang dihajati pelanggan. Jadi, bolehlah dikatakan bahawa, aktiviti membeli belah di sini tidak mempunyai unsur-unsur tekanan, menyebabkan jiwa pelanggan menjadi riang dan tenang. Bukan itu sahaja, baju yang dibeli juga boleh ditukar atau dikembalikan. Malah, sebahagian kedai tidak menetapkan tempoh pemulangan, bermakna pelanggang boleh menyimpan baju-baju yang telah dibeli selama mana yang diingini dan jika dipulangkan kemudiannya, duit akan dikembalikan sepenuhnya. Itu barulah benar-benar berketepatan dengan konsep pelanggan adalah raja.

Amatlah berbeza keadaannya dengan di Malaysia. Di tanah air kita, cara pekedai melayan pelanggan seolah-olah seperti pelanggan dijatuhkan hukuman wajib membeli. Sebaik melangkah masuk sudah diperhati seperti penjenayah. Paling berbulu ialah sikap pekedai atau pekerja-pekerja yang datang membaiki kedudukan baju ketika kita masih sedang menilik-nilik. Keadaan itu menggambarkan yang seolah-olah mereka tidak suka kedai mereka dikunjungi pelanggan. Jika begitu keadaannya, macam mana rezeki nak masuk? Itu belum lagi bab menerang atau menjawab pertanyaan pelanggan. Sudahlah pelanggan dihidangkan dengan ekspresi wajah yang tidak mesra alam, apabila ditanya itu ini, dijawab pula secara lebih kurang. Kadang-kadang cara mereka menjawab seolah-olah seperti mereka amat geram dan tidak suka dengan kehadiran pelanggan. Pelik, bukan? Paling pening, apabila wujud kedai baju yang meletakkan tanda “TIDAK DIBENARKAN MENYENTUH ATAU MENCUBA” di rak-rak baju jualan mereka. Sungguh kurang cerdik hingga anak-anak kecil pun boleh tertawa dan berkata; Hahaha, mama, kelakarlah,  tak boleh sentuh dan cuba, habis tu macam mana kita nak tahu baju tu sesuai atau tidak dengan kita? Erm, bijak sangatlah tu. Kalau dah tak boleh sentuh dan cuba, lebih baik ditulis begini, “TIDAK DIBENARKAN MEMBELI”, kemudian tutup kedai, kan senang?

10. May 2011 · 12 comments · Categories: Dialog

Pada suatu petang yang berbahang (dek teriknya mentari dan keringnya udara) anak-anakku telah bertanya kepadaku tentang faedah solat. Pertanyaan itu terbit ekoran daripada tindakanku menegur salah seorang daripada mereka yang solat terlalu laju tanpa toma´ninah.

 

Anak: Kenapa mama suruh kita orang solat?

Aku: Bukan mama yang suruh nak, mama cuma menyampaikan apa yang Tuhan suruh.

Anak: Apa faedahnya solat tu mama, kadang-kadang rasa letih bila solat (buat muka letih).

Aku: Ada sesiapa boleh beritahu mama, agaknya mengapa Tuhan suruh kita solat?

Anak: Mmm, supaya syaitan tak ganggu kita?

Aku: Tuhan boleh fardukan kita supaya membaca al-Quran sahaja kalau tak nak syaitan ganggu kita. Tapi, mengapa Tuhan fardukan sembahyang? Dan mengapa lima waktu? Mengapa tidak sekali atau dua kali sahaja?

Anak: Mmm, supaya kita boleh berdoa macam-macam kepada Tuhan?

Aku: Jika sekadar untuk berdoa, Tuhan boleh fardukan kita supaya mengangkat tangan ke atas dan kemukakan apa yang hendak dipinta sahaja tanpa perlu sembahyang. Persoalannya, mengapa Tuhan mewajibkan solat ke atas kita?

Anak: Mmm, supaya kita jadi orang yang baik?

Aku: Pandai! Supaya kita menjadi manusia yang baik. Ok, sekarang boleh terangkan kepada mama, macam mana solat boleh membentuk kita menjadi manusia yang baik?

Anak: Mmm, macam mana ya? Bila kita solat mama tak marah, tak denda kita?

Aku: Ok, beritahu mama, apa itu solat?

Anak: Mmm, solat itu sembahyanglah.

Aku: Ya, betul. Ok, beritahu mama apa perlu kita buat supaya kita dikatakan bersolat?

Anak: Mmm, angkat takbir, baca fatihah, rukuk, bangun, sujud, salam?

Aku: Pandai! Ok, sekarang beritahu mama, sebelum solat apa kita kena buat dulu?

Anak: Mmm, pakai telekung?

Aku: Betul! Ok, sebelum pakai telekung?

Anak: Mmm, wuduk?

Aku: Bagus! Boleh ceritakan pada mama, wuduk itu apa?

Anak: Mmm, bersihkan badan?

Aku: Bersihkan sebahagian anggota badan, bagus! Ok, sebelum berwuduk, apa perlu kita buat dulu?

Anak: Mmm, masuk bilik airlah?

Aku: Pandai! Ok, sebelum masuk bilik air?

Anak: Mmm, pakai tuala dulu?

Aku: Hihihi (gelak kecil). Ok, betul, pakai tuala. Sebelum tu? Maksud mama, apa yang perlu kita lihat dahulu sebelum kita ke bilik air untuk berwuduk?

Anak: Mmm, lihat jam?

Aku: Bagus, pandai! Tapi, kenapa kita perlu lihat jam?

Anak: Mmm, sebab nak tahu dah masuk ke belum waktu sembahyang?

Aku: Bijak! Tapi, kenapa kita kena tahu dah masuk ke belum waktu solat?

Anak: Mmm, supaya kita solat dalam waktu?

Aku: Pandai! Sekarang cuba beritahu mama semula, perkara-perkara yang perlu dilakukan sebelum solat, ikut turutan.

Anak: Mmm, mula-mula tengok jam. Dah masuk waktu, pergi bilik air, wuduk. Dah wuduk, pakai telekung. Dah pakai telekung, berdiri, kemudian angkat takbir, lepas tu baca fatihah, rukuk, bangun, sujud, duduk antara dua sujud, bangun, bla, bla, bla, dan seterusnya hingga salam. Lepas solat, berdoa?

Aku: Wuaa, pandai! Bagus! Ok, sekarang mari kita persoalkan satu persatu setiap tindakan yang telah disenaraikan itu. Pertama, boleh beritahu mama, jika Tuhan tidak mengfardukan solat, agak-agaknya kita kisah tak tentang waktu? Kita nak tengok tak jam kerap-kerap?

Anak: Mmm, mungkin tak!

Aku: Kedua, jika Tuhan tidak mewajibkan solat, agak-agaknya kita nak basuh tak badan kita kerap-kerap sekurang-kurangnya lima kali sehari?

Anak: Mmm, tak kut?

Aku: Ketiga, jika Tuhan tidak menyuruh hambanya solat, rasa-rasanya kita malu dan pelik tak keluar rumah dengan mendedahkan aurat?

Anak: Mmm, rasa-rasanya tak malu, dan tak pelik!

Aku: Keempat, jika Tuhan tidak memerintahkan kita bersolat, kita sanggup tak berdiri untuk satu tempoh, kemudian rukuk, kemudian sujud, kemudian duduk, kemudian bangun semula, kemudian duduk semula, berulang kali?

Anak: Mmm, tak sanggup aarr, macam penat jerr.

Aku: Bagus! Anak-anak mama semua pandai.

Anak: (Sengeh gigi kapak).

Aku: Ok, setelah menjawab semua persoalan tersebut, sekarang mari kita fikir apa yang tersembunyi di sebalik semua jawapan itu. Yang tersembunyi itulah yang dipanggil hikmah atau faedah.

Anak: Aarr? Apa tu mama? (berkerut)

Aku: Pertama, jika Tuhan tidak mengfardukan solat, mungkin kita tidak akan kisah dengan waktu. Maka hikmah solat ialah, mengajar manusia mengurus waktu. Kedua, jika Tuhan tidak memerintahkan solat, mungkin kita tidak akan menyucikan tubuh kita dengan kerap atau langsung tidak menyucinya. Hikmahnya, solat mengajar manusia tentang kebersihan. Ketiga, jika Tuhan tidak menyuruh kita bersolat, mungkin kita tidak akan berasa malu atau pelik untuk mendedahkan aurat. Maka hikmah solat, mengajar manusia agar menjaga dan menutup aurat. Keempat, jika Tuhan tidak mewajibkan solat, mungkin kita akan keberatan untuk melakukan amalan-amalan yang menjadi rukun di dalam solat yang memerlukan fokus, kesabaran dan disiplin yang tinggi. Hikmahnya, solat mendidik manusia agar berdisiplin.

Anak: (Terlopong, takjub).

Aku: Apabila manusia bijak mengurus waktu, tahu menjaga kebersihan diri, memelihara aurat dan berdisiplin tinggi di dalam hidup, maka jadilah manusia tersebut manusia yang baik. Kesimpulannya, solat membentuk manusia menjadi makhluk yang baik dan bermutu.

Anak: Ooo (angguk-angguk kepala).

Aku: Sekarang, faham kenapa Tuhan suruh kita solat? Atau faedah solat?

Anak: Faham, mama! (menjawab serentak).

Aku: Bagus! Moga Allah merahmatimu. Amin.

Anak: (Bertebaran mencari telekung).

Aku: Ehmm, wuduk dulu ya.

Anak: Eh lupa! (berlari ke bilik air).

Aku: Harr, tengok jam dulu, dah masuk ke belum waktunya?

Anak: Aisey, lupa lagi (keluar dari bilik air, berlari tengok jam).

Aku: Hahaha (gelak bahagia).

 

Kakak: Selamat hari ibu mama! (ceria dan berlari memelukku)

Aku: Ah, terima kasih (tergaman, lupa).

Kakak: Tapi kakak takde hadiah istimewa untuk mama (sedih).

Aku: Hadiah istimewa? (buat-buat tak faham)

Kakak: Kakak nak sangat hadiahkan mama sesuatu yang dibungkus cantik.

Aku: So, kenapa tak sediakan? (provokasi)

Kakak: Macam mana nak sediakan, kakak takde duit, kalau minta pun bukan mama kasi (sebak).

Aku: Oloo sayang anak mama, senyum okey (memujuk).

Kakak: Katakanlah kakak berduit dan mampu beli hadiah, apa agaknya hadiah yang paaaling mama nak? (serius)

Aku: Mama dah dapat hadiah tu. So kakak tak perlu susah hati, ok? (selamba).

Kakak: Aaarr? Kakak tak ada bagi apa pun? (hairan)

Aku: Ya, betul. Mama dah dapat hadiah tu. Sangat mahal harganya dan sangat cantik rupanya (bersungguh).

Kakak: Aaarrr? Siapa yang beri? (takjub)

Aku: Kakak nak tahu?

Kakak: Nak! (tak sabar)

Aku: Betul nak tahu? (provokasi)

Kakak: Nak, nak tahu! (sangat tidak sabar)

Aku: Hadiahnya sangat besar dan amat bermakna. Tuhan yang bagi kat mama.

Kakak: Aarr? Apa tu? (berkerut)

Aku: Hadiah paling berharga, paling mahal, paling cantik, paling bermakna buat mama atas dunia ini ialah “KAKAK”!

Kakak: “KAKAK”? (terkejut)

Aku: Ya! Hadiah itu ada di depan mama sekarang.

Kakak: “KAKAK”, mm, .. kakak? (keliru)

Aku: Ya, kakaklah! Anak mama, nyawa mama, jantung hati mama (senyum semanis madu).

Kakak: Macam mana kakak boleh jadi hadiah? (masih keliru)

Aku: Kerana mama menjadi ibu setelah Tuhan mengurniakan kakak kepada mama. Tanpa kakak dan adik-adik, mama tidak akan dipanggil ibu, jadi apalah maknanya hari ibu buat mama? (tiba-tiba sebak dan mengalir air mata).

Kakak: Mama sedih sebab kakak tak bagi hadiah ke? (panik)

Aku: Tidak! Tidak nak. Mama sedih kerana terkenangkan tok (ibuku). Masa mama budak-budak dulu, mama tak pernah ucap “selamat hari ibu” pada tok. Malah mama juga tidak pernah menghadiahkan tok apa-apa pada hari ibu (air mata mengalir laju).

Kakak: Sob, sob (teresak, kakak sangat sensitif bila diperihalkan tentang toknya, kakak amat sayang dan sungguh rapat dengan toknya).

Aku: Kalau kakak tanya tok pun, mesti tok akan kata hadiah paling berharga buatnya ialah mama dan anak-anaknya yang lain serta semua cucu-cucunya termasuk kakak.

Kakak: Kakak sayang mama dan tok (memelukku erat, tangisnya makin menjadi).

Aku: Tok dan mama pun amat sayangkan kakak.

Kakak: Oh ya, tadi mama kata, hadiah paling cantik buat mama ialah kakak. Tapi kakak tak cantik! (tunduk)

Aku: Siapa kata kakak tak cantik? Pedulikan orang lain, bagi mama, kakaklah anugerah Tuhan yang terindah (serius).

Kakak: Tapi kalau kakak jadi hadiah, mama tak supriselah.

Aku: Kenapa?

Kakak: Sebab, kakak tak boleh dibungkus. Hadiah yang suprise, yang cantik ialah hadiah yang dibungkus (konsep hadiah yang lazim bagi kanak-kanak).

Aku: Oh, siapa kata kakak tak boleh dibungkus? (senyum)

Kakak: Macam mana pula nak bungkus kakak? Kakak kena duduk dalam kotak besarlah, dan perlu banyak kertas pembungkus? (persoalan)

Aku: Kakak tak perlu dibungkus dengan kertas pembungkus.

Kakak: Habis tu? Nak bungkus dengan apa? (teruja nak tahu)

Aku: Kalau mama bagitau, kakak sanggup tak nak bungkus diri kakak dengan bungkusan itu? (menguji)

Kakak: Lemas tak kakak nanti? (bimbang)

Aku: Tak! Kakak akan selamat, mama pasti. Bungkusan itu amat cantik dan berharga.

Kakak: Ok, kakak sanggup (bernada ragu).

Aku: Bungkusan paling indah dan paling cantik di dunia ini ialah IMAN dan TAQWA.

Kakak: Aarr? (tak faham)

Aku: Kakak bungkus dan balutlah diri kakak sepenuhnya dengan iman dan taqwa. Jadilah anak yang baik. Jangan tinggal solat dan dengar cakap mama dan papa. Itulah bungkusan paling indah, paling cantik, paling mahal, paling membahagiakan mama (emosi).

Kakak: Ooo .. (baru faham)

Aku: Boleh?

Kakak: Mama, ¡te quiero muchísimo! (I love you so much).

Aku: Yo también (Me too).

Maka berdakapanlah aku dan kakak dengan penuh emosi, penuh air mata. Saat terbayang wajah ibuku di tanah air , makin laju pula air mataku mengalir. Selamat hari ibu, bondaku tercinta. Tanpamu, tiadalah aku. Tanpa aku tiadalah anak-anakku. Tanpa anak-anakku maka tiadalah untukku ucapan “SELAMAT HARI IBU”.

Kepada bondaku tercinta Selama binti Ibrahim yang jauh di mata, aku sayang padamu. Sayang padamu!

Dialog di bawah berlangsung di antara aku dan perempuan arab Morocco (selepas ini ditulis PM), sejurus sebelum mesyuarat persatuan wanita Rondilla (kawasan di mana aku tinggal) bermula. Kebetulan ketika itu, aku dan dia duduk bersebelahan.

 

PM: Macam tak ramai je datang.. (mata melilau).

Aku: Kan, agaknya mereka tak terima surat kut (meneka dalam kesamaran).

PM: Mungkin gak. Oh ya, budak-budak sihat? Tinggal kat rumah?

Aku: Ada, di bilik sebelah (setiap kali mesyuarat diadakan akan disediakan seorang pengasuh. Anak-anak yang dibawa bersama akan ditempatkan di bilik bersebelahan bersama pengasuh).

PM: Oo, anak-anak saya tak ikut, ada di rumah dengan papa mereka (anak-anaknya satu sekolah dengan anak-anakku).

Aku: Ok lah tu, anak-anak saya mesti nak ikut (anak-anakku memang suka dengan pengasuh, hubby pun suka, opsss!!).

PM: Oh ya, Habibah anak awak, kan? (di Valladolid, mungkin hanya anakku bernama Habibah).

Aku: Ya, anak nombor dua.

PM: Betulkah namanya Habibah? Atau saja dipanggil Habibah? (wajah nak tahu tahap kritikal)

Aku: Eh, betul. Nama dia memang Habibah. Dari lahir itulah nama yang diberi.

PM: Kenapa bagi nama arab?

Aku: Aarr? Maksud awak? (sedikit tercengang)

PM: Takdelah, Habibah tu nama arab, bahasa arab.

Aku: Ya, betul. Itu saya tahu (ingat aku tak tahu ka).

PM: Kenapa guna nama arab? Bukankah awak orang Malaysia? (maklum yang aku dan famili berasal dari Malaysia).

Aku: Aarr? (terpinga)

PM: Maksud saya, kenapa tak guna nama Malaysia? (soalan apakah ini).

Aku: Nama Malaysia? Nama melayu, maksud awak?

PM: Ya, ya, itulah yang saya maksudkan. Kenapa tak guna nama melayu?

Aku: Eh, bukankah awak dah tahu yang saya dan keluarga, muslim?

PM: Ya, saya tahu. Tapi Habibah tu bahasa arab. Memang bahasa arab!

Aku: So?

PM: Apa, rakyat negara awak bertutur dalam bahasa arab jugakah?

Aku: Kami bertutur dalam bahasa melayu. Ada yang boleh bertutur dalam bahasa arab. Tapi tak ramai. Bahasa arab bukanlah bahasa utama atau bahasa pertuturan di sana.

PM: Haa, so? Kenapa guna nama arab? Kenapa tak guna nama melayu? (soalan apakah ini, volume 2).

Aku: Salahkah kami guna nama arab? Orang arab tak sukakah? (soalan geram-geram ayam)

PM: Takdelah, cuma saya rasa pelik (berkerut dahi).

Aku: Eh, apa peliknya. Bukankah orang Islam lazimnya menggunakan nama-nama dari al-Quran? Bukankah Quran kitab bagi seluruh umat Islam, tanpa mengira bangsa dan negara? Islam tidak terhad kepada bangsa arab sahaja, bukan? (bab menerang, mintak maaf aku memang tak reti summarize).

PM: Aarr? Begitukah? (takjub)

Aku: Ya, memang begitu.

PM: Tapi, tidak adakah nama-nama melayu?

Aku: Ada.

PM: Contoh?

Aku: Mm, bunyinya mungkin pelik pada awak sebab ia memang nama melayu sejati.

PM: Apa nama-namanya? (aisey, bersungguh nak tahu versus aku yang tak tahu, bab ni aku kantoi)

Aku: Semek dan Awang! Setahu saya nama melayu dua itu sahaja. Selebihnya memang orang melayu guna nama-nama arab. Mungkin ada banyak lagi, tapi dua tu sajalah yang biasa saya dengar. Tu pun, orang dah tak pakai zaman ni. Ia sangat klasik (goreng, dah itu je yang aku tahu, nak telefon mak kredit tak cukup, aiyy).

PM: Ooo.. ermm, bagus juga ya kita berkawan, banyak benda baru saya belajar.

Aku: Betul. Itulah hikmah silaturrahim, lebih-lebih lagi antara benua berbeza. Banyak hal yang boleh dikongsi bersama.

PM: Eh, pengerusi dah nak mula.. (separuh berbisik).

Aku: Ya, mari kita tumpukan pada agenda meeting kita kali ini (buka diari, keluarkan pen, angkat muka dan sengeh ke arah pengerusi dan sekalian hadirin).

 

Nota:-

Kebanyakan orang arab Morocco yang berhijrah ke Valladolid adalah daripada golongan berpendidikan rendah yang sukar memperoleh pekerjaan di negara mereka sendiri. Pengetahuan am mereka amatlah sempit dan sedikit, termasuklah tentang Islam dan penganutnya di seluruh dunia. Itu belum lagi bab memberi salam “Assalamualaikum” dan “solat” yang mereka sangka hanya bangsa mereka sahaja yang arif tentangnya. Akan ku perihalkan mengenainya dalam dialog-dialog yang seterusnya di blog ini.

Suatu hari di persimpangan lampu isyarat (Rondilla, Valladolid).

 

Makcik Sepanyol: Nakk, tunggu! (suara separuh menjerit)

Aku : Aarr?  .. (masuk gear 5, speed)

Makcik Sepanyol: Heh, tunggu, tunggu! (berlari-lari ke arahku)

Aku: Aarr? Makcik panggil saya ke? (brekk mengejut)

Makcik Sepanyol: Ya, tunggu nak, tungguu, herherh .. (semput)

Aku: Aarr? (risau)

Makcik Sepanyol: Jangan takut nak, makcik bukan orang jahat, herherh .. (semput belum hilang)

Aku: Tenang makcik, tenang. Nak saya tolong bawakan barang tu? (bermanis muka dalam keraguan)

Makcik Sepanyol: Bukaannn, tak payah. Makcik cuma nak tanya soalan. (semput mula reda)

Aku: Soalan? (pelik)

Makcik Sepanyol: Ya, soalan. Makcik ada beberapa soalan. (dah tak semput, semangat)

Aku: Ermm, soalan apa tu makcik? (perlahan)

Makcik Sepanyol: Dah lama makcik perhati, dah lama nak tanya (wajahku ditenung)

Aku: Aarr? .. (suspen)

Makcik Sepanyol: Anak asal mana? (ditiliknya aku atas bawah)

Aku: Oh, itu rupanya makcik nak tahu. Saya berasal dari Malaysia. (bangga)

Makcik Sepanyol: Malaysia tu kat mana ekk? (teruja nak tahu)

Aku: Malaysia tu jauuuuhhhhhh makcik! (muncung mulut sebut jauuuhh)

Makcik Sepanyol: Kat mana tu? (ternganga)

Aku: Tengah-tengah di antara Thailand dan Singapura. (kuliah geografi)

Makcik Sepanyol: Kat mana tu? (kerut dahi)

Aku: Emm, makcik tahu tak German kat mana? (muka serius)

Makcik Sepanyol: Haa, tahu, tahu, … (angguk-angguk kepala)

Aku: Haaa, Malaysia bukan kat situ lah! Hehe (sengeh kerang)

Makcik Sepanyol: Ooo, ok. (angguk-angguk kepala walaupun dahi berkerut seribu)

Aku: Kan, makcik paaaandai, hehe (gelak kecil)

Makcik Sepanyol: Tapi bukan itu sebenarnya yang makcik nak tahu .. (senyum mewek)

Aku: Hah? (pulak dah)

Makcik Sepanyol: Yang makcik nak tahu, nape anak pakai tudung? (tunjuk tudung kat kepalaku)

Aku: Oh, oo, saya pakai tudung sebab saya muslim. (lembut)

Makcik Sepanyol: Muslim? (berkerut dahi)

Aku: Ya, saya seorang muslim. (hairan kenapa makcik hairan)

Makcik Sepanyol: Tapi muka anak tak macam orang arab pun? (hairan)

Aku: Memanglah, sebab saya bukan orang Arab, saya orang Melayu, hahahaha (gelak)

Makcik Sepanyol: Eh tadi kata muslim? (heran amat)

Aku: Ya lah, saya muslim tapi saya bukan orang arab, saya orang melayu. (serius)

Makcik Sepanyol: Kalau bukan orang arab macam mana boleh muslim? (maha serius)

Aku: Aarr? Kenapa makcik? (maha konfius)

Makcik Sepanyol: Ya lah, tadi kata muslim pastu kata bukan arab lak, haih tak fahamlah makcik. (geleng-geleng kepala)

Aku: Makcik, siapa pun boleh jadi muslim, bukan orang arab sahaja, malah orang arab pun ada yang bukan muslim. Agama Islam tidak terhad kepada orang arab sahaja. Siapa-siapa pun boleh menganutnya. (bersungguh menerang)

Makcik Sepanyol: Haih, makin tak fahamlah makcik. Takpelah nak, makcik nak ke pasar, kita sembang lagi lain kali ekk. (geleng-geleng kepala)

Aku: Okeh, takde masalah, lain kali kalau jumpa, makcik tegurlah saya ya. (senyum)

Makcik Sepanyol: Ahaa, ya lah, makcik mintak diri dulu ekk, maaf kerana mengganggu.

Aku: Eh takpe, seronok sembang ngan makcik.. (sengeh gedik)

Makcik Sepanyol: Ya, makcik pun. Adiós! (angkat tangan dan berlalu pergi)

Aku: Adiós!

 

Nota: Kebanyakan orang Sepanyol di Valladolid faham bahawa Islam itu ialah agama untuk orang arab sahaja. Mereka sangat hairan melihat aku yang berwajah ala-ala siam memakai tudung litup. Ke mana pun aku pergi akan ada mata-mata yang memerhati. Kekadang aku rimas, kekadang aku suka. Suka bila diri diperhati, macam artis, ahaks!

 

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...