Masyaallah, empat hari terbaring di katil buat aku sedar akan pentingnya menjaga kesihatan diri dan menghargai waktu sihatku. Alhamdulillah hari ke lima aku sudah boleh bangun, sudah boleh ke dapur, sudah boleh bukak buku dan baca sikit-sikit.

Ya, ada orang kata demam itu perlu kerana ia ibarat proses membuang minyak hitam dari sebuah kereta. Bila demam, segala atau sebahagian toksin dalam badan akan dikeluarkan, dikumuhkan menerusi proses menggigil, berpeluh dan sebagainya. Demam juga adalah waktu untuk segala enjin-enjin dalaman kita berehat, ye lah bila kita lesu dan lemah maka kita hanya akan terbaring di katil sahaja lalu ketika itulah enjin dalaman kita berpeluang untuk berehat buat seketika setelah setiap hari ia digunakan untuk pelbagai aktiviti. Untuk hidup sihat, seseorang itu perlu demam sekurang-kurangnya sekali setahun. So, janganlah risau jika hanya demam biasa, demam yang bukan implikasi kepada sakit-sakit dalaman yang lain. Sebaliknya, kita harus berasa runsing jika bertahun-tahun kita hidup tanpa demam, kerana mungkin itu menunjukkan yang sistem tubuh kita telah tidak bertindak balas dengan sempurna atau dengan baik dengan persekitaran kita. Mungkin ada enjin di bahagian dalam yang rosak atau tidak lagi berfungsi.

Demam juga adalah peluang yang Allah bagi percuma untuk kita memuhasabahkan diri kita. Antaranya, ia membuatkan kita berasa menyesal kerana telah gagal menjaga kesihatan dengan baik ketika sebelum sakit. Ketika terbaring lesu, baru kita teringat akan banyak lagi benda yang belum kita buat dan lakukan atau telah dibuat tetapi belum selesai. Maka timbulah rasa menyesal atas kealpaan kita untuk mengambil atau menggunakan sepenuhnya kesempatan yang Allah bagi di waktu sihat untuk menyempurnakannya. Ketika sihat kita mungkin bertangguh itu ini, bertangguh untuk menyiapkan itu dan ini. Bila sakit mula kita terfikir; Ahh, napelah masa sihat hari tu aku tak buat cepat-cepat, tak siapkan betul-betul, kalau tak, ia mungkin dah selesai, ni sakitlah pulak! Bila otak tidak tenang menghadapi keadaan badan yang tidak sihat, kita akan menjadi semakin lesu dan tidak bermaya.

Ya, setiap yang Allah timpakan atau kurniakan pada kita itu sebenarnya mengandungi sejuta hikmah, yang nyata maupun yang tersembunyi. Antara hikmah yang akal kerdilku sebagai hamba mampu memikirkannya di sebalik musibah demam ini ialah;

1) Usahakan agar segala kerja dibereskan ketika masih sihat.

2) Jaga kesihatan diri, makan yang sihat-sihat sahaja, rehat cukup dan tenang-tenangkanlah diri.

3) Kasih sayang dan kesetiaan keluarga (suami dan anak-anak) teruji dan terserlah ketika kita sakit.

4) Rehat yang panjang dari menyentuh bab-bab pelajaran telah mendatangkan rindu yang mendalam untuk kembali  fokus pada pengajian dengan baik.

Alhamdulillah, aku sudah semakin sihat dan sudah tidak sabar-sabar hendak meneruskan penulisan tesisku dan menyelesaikan bahagian-bahagian yang masih belum selesai. Terima kasih Tuhan kerna memberikan aku signal atau amaran ini. Sesungguhnya Engkau wahai Tuhan, amat sayang padaku!

Oh sudah dua hari bermula semalam saya demam. Tidak pasti puncanya, adakah terkena virus selsema kerana tekak amat perit dan kerap bersin? Atau demam kerana urat-urat atau otot-otot yang bengkak kerana terlalu ghairah bersukan tanpa terlebih dahulu melakukan warm-up yang mencukupi?

Kenapa tiba-tiba saya bersukan? Ceritanya begini; Kebelakangan ini atau sejak dua, tiga bulan ini badan saya amat tidak cergas hingga saya sering lesu dan tertidur di sofa hampir setiap petang. Kalau sekadar tertidur untuk recharge tenaga tidak mengapa, tetapi keadaan amat pelik apabila sekali saya tertidur saya tidak akan berjaya bangun lagi hingga ke besok pagi. Saya mula perasan saya terkena badi itu sejak saya datang ke Spain. Dahulu, saya tidak pernah begitu. Malah, saya adalah seorang yang amat benci tidur di siang hari terutamanya di sebelah petang.

Bayangkan berapa banyak masa yang terbuang begitu sahaja akibat daripada keadaan saya yang begitu. Tidur dari petang hingga ke pagi mengalahkan bayi kecil. Seringkali keesokkan harinya badan saya menjadi bertambah lesu dan tidak bermaya, mungkin akibat terlebih tidur. Oleh itu saya fikir, saya perlu melakukan sesuatu untuk mengelakkan diri saya daripada tertidur sebegitu rupa lagi. Lantas, saya terfikir untuk bersukan. Saya mengambil keputusan untuk bermain badminton kerana antara sekian banyak sukan, badminton adalah satu-satunya sukan yang saya boleh bermain dengan baik dan saya amat meminatinya.

Setelah keputusan dicapai, saya terus ke kedai sukan berdekatan, membeli segala peralatan yang diperlukan (banyak jugalah duit yang habis) dan hari pertama saya mulakan dengan membuat latihan-latihan fizikal di gim terbuka di kawasan belakang penempatan saya. Di sepanyol, kita tidak perlu berhabis duit untuk menjadi ahli gim demi untuk menggunakan segala peralatan senaman di situ kerana terlalu banyak disediakan gim-gim terbuka untuk orang ramai bersenam tanpa mengira jantina, usia dan status. Bolehlah disimpulkan bahawa negara sepanyol adalah negara yang amat mesra kesihatan.

Saya membuat segala latihan fizikal tanpa mendapatkan nasihat dari sesiapa terlebih dahulu. Kerana terlalu ghairah dek sudah lama tidak bersenam, sekali ke gim saya all out melakukan segala senaman, dari angkat berat, berkayuh, dan segala bagai. Pada hari pertama melakukannya saya masih okey, rasa segar dan sihat semacam. So saya fikir, rancangan saya sudah berjaya dan hasrat saya untuk menjadi cergas akan tercapai.

Seterusnya hari kedua saya mula bermain badminton. Siapakah lawan saya? Sudah tentu lah tiada lain tiada bukan kekasih hati saya sendiri. Memang saya ada buat warm-up sebelum bermain tetapi saya dan kekasih yang agak jahil bab-bab bersukan ni telah melakukannnya dengan kadar yang amat sedikit, ternyata ia tidak mencukupi untuk suatu permainan berat yang dilaksanakan dengan bersungguh-sungguh seperti badminton. Saya berlawan sesungguh hati, menggunakan seluruh tenaga yang saya ada, dan ia ibarat kambing yang terlepas kandang kerana setelah dua tahun lebih saya berada di sini, itulah sebenarnya pertama kali saya bersukan. So saya main gila-gila hingga akhirnya muncul juara apabila berjaya menewaskan lawan saya itu dengan beberapa set (adalah dalam 7 set kami main, aiyoo).

Lepas main saya buat regangan di gim terbuka dan saya amat yakin ketika itu yang saya akan memiliki badan yang amat cergas, seterusnya boleh menumpukan pada pelajaran dengan baik. Dalam perjalanan pulang ke rumah saya rasa okey, menambahkan lagi keyakinan bahawa segalanya akan okey. Namun sebaik tiba di rumah terutamanya selepas mandi, saya berasa amat sakit di seluruh badan terutamanya di bahagian bahu dan tangan kanan yang telah digunakan untuk memegang dan menghayun raket. Oh sakitnya tidak tertahan lalu saya terus tarik selimut, baring dan tidur dalam keadaan langsung tidak memperdulikan pelajaran.

Saya bertekad akan terus bermain dan yakin sakit-sakit itu akan beransur hilang jika saya teruskan dengan semangat untuk bersukan. Keesokkan harinya, saya ke gelanggang lagi dan bermain bersungguh-sungguh, gila-gila sama seperti sebelumnya dan ternyata kejuaraan masih berpihak kepada saya. Selesai bermain seperti hari sebelumnya saya membuat regangan di gim terbuka. Kali ini agak keras, dengan mengangkat berat dan regangan di bahagian perut dan segala bagai. Pada masa itu saya lupa yang saya ini ada sejarah operation, ye lah macam yang saya tulis di atas tadi, saya ibarat kambing yang terlepas kandang.

Malamnya, saya mula berasa sakit, perit, pedih dan ngilu-ngilu di bahagian pembedahan. Saya tertanya-tanya adakah selepas empat tahun pembedahan itu berlaku, kita masih tidak boleh melakukan sukan berat? Oh saya tidak pasti, yang pasti malam itu saya rasa ada benda keras timbul di bahagian parut pembedahan dan saya mula rasa takut. Oleh kerana keluarga jauh untuk mengadu dan berbincang, saya mengambil keputusan untuk tidur sahaja bagi menghilangkan rasa bimbang dan takut yang diharap-harap akan ditelan oleh mimpi indah. So malam itu sekali lagi saya tidur tanpa sedikit pun memperdulikan pelajaran. Hari ini saya demam dan saya masih bimbang adakah ia kesan bersukan yang memberi kesan pula kepada bekas pembedahan yang telah berusia empat tahun itu? Entah, hanya Allah yang maha mengetahu. Yang pasti hasrat untuk memiliki badan cergas dan minda pantas belum kesampaian kerana saya terpaksa berehat pula mungkin seminggu kerana demam ini. Apapun, yang pasti, ada hikmah dari Allah yang saya tahu Allah amat mengasihi saya. Terima kasih Allah!

Lepas solat dia menadah tangan ke langit tanpa menyedari yang aku memerhatikannya di balik pintu. Dengan perlahan dia berkata;

Ya Allah, panjangkanlah umur mamaku, bagilah mama ku kaya supaya dia dapat belikan aku gaun di Corte Inglés (shopping kompleks) yang sangat cantik itu.

Ya Allah, bukakanlah pintu hati mama agar belikan aku patung Barbie, pliss ya Allah, aku nak sangat patung tu, comel sungguh.

Ya Allah, bagilah aku dapat sobresaliente (excellent) dalam pelajaran, mana aci asyik Diego (rakan sekelas) je dapat nombor satu, aku nak jugak ya Allah.

Ayat akhirnya agak menyentuh hatiku apabila dia berkata;

Ya Allah, bagilah mama aku juga dapat sobresaliente di sekolahnya, bagilah cekgu dia sayang dia supaya mama boleh habiskan sekolah dia cepat-cepat dan luangkan masanya untuk aku pula, ni asyik duduk depan laptop jeh ya Allah.

Dan ya Allah, boleh tak jangan bagi mama dan ayah mati? Pliss ya Allah sebab kalau mama dan ayah mati, sape nak kejutkan aku pagi-pagi? Sape nak siapkan sarapan, sape nak suruh aku solat, sape nak beli susu untuk Abdullah? Dan sape nak belikan aku gaun kat Corte Inglés dan patung Barbie yang comel tu?

Por favor (pliss) ya Allah …

Hari ini hujan, saya tidak dapat turun menangkis. Tetapi tidak mengapa, ada banyak perkara lagi yang boleh saya tangkis di dalam rumah ini. Menangkis rasa malas adalah perkara pertama yang harus dilakukan. Kedua, menangkis ketagihan pada hal-hal yang mengalpakan. Ketiga, menangkis rasa marah apabila kehendak tidak dituruti dan keinginan untuk rehat dicabuli. Keempat dan keseterusnya adalah menangkis segala yang bertag negatif, yang buruk, yang teruk, yang namanya kawan-kawan makhluk terkutuk. Yah, hidup perlu sentiasa menangkis, jika tidak, tersungkurlah kita kecundangan kepada hawa nafsu sama seperti kecundangnya pemain yang kalah dalam perlawanan bulu tangkis!

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...