Kakak: Selamat hari ibu mama! (ceria dan berlari memelukku)

Aku: Ah, terima kasih (tergaman, lupa).

Kakak: Tapi kakak takde hadiah istimewa untuk mama (sedih).

Aku: Hadiah istimewa? (buat-buat tak faham)

Kakak: Kakak nak sangat hadiahkan mama sesuatu yang dibungkus cantik.

Aku: So, kenapa tak sediakan? (provokasi)

Kakak: Macam mana nak sediakan, kakak takde duit, kalau minta pun bukan mama kasi (sebak).

Aku: Oloo sayang anak mama, senyum okey (memujuk).

Kakak: Katakanlah kakak berduit dan mampu beli hadiah, apa agaknya hadiah yang paaaling mama nak? (serius)

Aku: Mama dah dapat hadiah tu. So kakak tak perlu susah hati, ok? (selamba).

Kakak: Aaarr? Kakak tak ada bagi apa pun? (hairan)

Aku: Ya, betul. Mama dah dapat hadiah tu. Sangat mahal harganya dan sangat cantik rupanya (bersungguh).

Kakak: Aaarrr? Siapa yang beri? (takjub)

Aku: Kakak nak tahu?

Kakak: Nak! (tak sabar)

Aku: Betul nak tahu? (provokasi)

Kakak: Nak, nak tahu! (sangat tidak sabar)

Aku: Hadiahnya sangat besar dan amat bermakna. Tuhan yang bagi kat mama.

Kakak: Aarr? Apa tu? (berkerut)

Aku: Hadiah paling berharga, paling mahal, paling cantik, paling bermakna buat mama atas dunia ini ialah “KAKAK”!

Kakak: “KAKAK”? (terkejut)

Aku: Ya! Hadiah itu ada di depan mama sekarang.

Kakak: “KAKAK”, mm, .. kakak? (keliru)

Aku: Ya, kakaklah! Anak mama, nyawa mama, jantung hati mama (senyum semanis madu).

Kakak: Macam mana kakak boleh jadi hadiah? (masih keliru)

Aku: Kerana mama menjadi ibu setelah Tuhan mengurniakan kakak kepada mama. Tanpa kakak dan adik-adik, mama tidak akan dipanggil ibu, jadi apalah maknanya hari ibu buat mama? (tiba-tiba sebak dan mengalir air mata).

Kakak: Mama sedih sebab kakak tak bagi hadiah ke? (panik)

Aku: Tidak! Tidak nak. Mama sedih kerana terkenangkan tok (ibuku). Masa mama budak-budak dulu, mama tak pernah ucap “selamat hari ibu” pada tok. Malah mama juga tidak pernah menghadiahkan tok apa-apa pada hari ibu (air mata mengalir laju).

Kakak: Sob, sob (teresak, kakak sangat sensitif bila diperihalkan tentang toknya, kakak amat sayang dan sungguh rapat dengan toknya).

Aku: Kalau kakak tanya tok pun, mesti tok akan kata hadiah paling berharga buatnya ialah mama dan anak-anaknya yang lain serta semua cucu-cucunya termasuk kakak.

Kakak: Kakak sayang mama dan tok (memelukku erat, tangisnya makin menjadi).

Aku: Tok dan mama pun amat sayangkan kakak.

Kakak: Oh ya, tadi mama kata, hadiah paling cantik buat mama ialah kakak. Tapi kakak tak cantik! (tunduk)

Aku: Siapa kata kakak tak cantik? Pedulikan orang lain, bagi mama, kakaklah anugerah Tuhan yang terindah (serius).

Kakak: Tapi kalau kakak jadi hadiah, mama tak supriselah.

Aku: Kenapa?

Kakak: Sebab, kakak tak boleh dibungkus. Hadiah yang suprise, yang cantik ialah hadiah yang dibungkus (konsep hadiah yang lazim bagi kanak-kanak).

Aku: Oh, siapa kata kakak tak boleh dibungkus? (senyum)

Kakak: Macam mana pula nak bungkus kakak? Kakak kena duduk dalam kotak besarlah, dan perlu banyak kertas pembungkus? (persoalan)

Aku: Kakak tak perlu dibungkus dengan kertas pembungkus.

Kakak: Habis tu? Nak bungkus dengan apa? (teruja nak tahu)

Aku: Kalau mama bagitau, kakak sanggup tak nak bungkus diri kakak dengan bungkusan itu? (menguji)

Kakak: Lemas tak kakak nanti? (bimbang)

Aku: Tak! Kakak akan selamat, mama pasti. Bungkusan itu amat cantik dan berharga.

Kakak: Ok, kakak sanggup (bernada ragu).

Aku: Bungkusan paling indah dan paling cantik di dunia ini ialah IMAN dan TAQWA.

Kakak: Aarr? (tak faham)

Aku: Kakak bungkus dan balutlah diri kakak sepenuhnya dengan iman dan taqwa. Jadilah anak yang baik. Jangan tinggal solat dan dengar cakap mama dan papa. Itulah bungkusan paling indah, paling cantik, paling mahal, paling membahagiakan mama (emosi).

Kakak: Ooo .. (baru faham)

Aku: Boleh?

Kakak: Mama, ¡te quiero muchísimo! (I love you so much).

Aku: Yo también (Me too).

Maka berdakapanlah aku dan kakak dengan penuh emosi, penuh air mata. Saat terbayang wajah ibuku di tanah air , makin laju pula air mataku mengalir. Selamat hari ibu, bondaku tercinta. Tanpamu, tiadalah aku. Tanpa aku tiadalah anak-anakku. Tanpa anak-anakku maka tiadalah untukku ucapan “SELAMAT HARI IBU”.

Kepada bondaku tercinta Selama binti Ibrahim yang jauh di mata, aku sayang padamu. Sayang padamu!

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *