Di mana pun kita bermula dan pada usia berapa pun kita bermula, ia tetap lebih baik daripada langsung tidak bermula. Perkataan “terlambat” tiada dalam kamus seorang pejuang.

Apabila kemusafiran saya di Valladolid berjaya dijejaki menerusi blog miskin ini, maka ada sedikit rasa bahagia dan lega di jiwa saya. Saya bahagia dan lega kerana adalah juga walau sedikit manfaat blog ini kepada pembaca. Meskipun apa yang saya tulis mungkin hanya sampah pada sesetengah orang, namun ternyata kewujudan blog ini menambah koleksi kenalan, dan rujukan kepada mereka yang berhasrat ke Valladolid atas sesuatu urusan. Allah mengatur sesuatu perkara itu dengan secantik-cantik kejadian meskipun kadang-kadang kita gagal melihatnya di permulaan.

Kepada Suhaida Abdullah dan Hazlina Ali, dua insan yang dahulunya tidak pernah saya kenali, terima kasih atas silaturrahim yang diberi yang bermula dari usaha kalian untuk menjejaki saya menerusi blog ini. Saya menghargainya dan berdoa moga silaturrahim ini berpanjangan. Maha kaya Allah yang menemukan kita, maha kaya Dia juga yang telah membuka pintu hati saya untuk menukil di blog ini yang dengan sebab itu kemusafiran saya di sini dikesani lalu saya dihubungi. Alhamdulillah, pada hari kalian bertandang ke bumi Valladolid ini, saya berada dalam keadaan sihat yang maksimum yang dengan kesihatan tersebut saya mampu membantu apa yang perlu. Bantuan yang dihulur (jika layak dipanggil bantuan) adalah tersangat kecil dan minimum berbanding hikmah atau faedah yang diperolehi iaitu persahabatan dan silaturrahim.

Terima kasih kerana mempercayai saya dan terima kasih jugalah atas hadiah-hadiah yang dibawa.


 
 
 

Mereka yang ku kenal menerusi blog ini.

 

27. June 2011 · 1 comment · Categories: Dialog

Ahad yang panas, namun bahagia.

 

Aku: Chicos (guys), hari ni mama masak sup tulang, nak tak?

Papa: Yeayyyy!!! (kenyit-kenyit mata)

Kakak: Sup tulang? Daging ke ayam?

Aku: Daging laa, ayam mana nak cari tulang?

Kakak: Alaaa, tak suka aarr (cebik bibir).

Habibah: Nak, nak! Adik suka.

Abdullah: Abdullah nak sup tulang, tapi ayam.

Aku: Aarr? Sup tulang tapi ayam?

Abdullah: (angguk-angguk kepala)

Aku: Hihi, apa-apa jelah, Abdullah ya?

Habibah: Horeyyy (kepalang gembira).

Aku: Kakak? Okey tak?

Kakak: Okey laaa (tak ikhlas).

Aku: Fine! Mama masak sekarang. La la la la.. (nyanyi sambil pakai apron)

 

2 jam selepas itu.

 

Aku: Okey, papa dan anak-anak, jom makannnnn..

Papa: Jommmmm!!

Habibah: Yeehuuuuuu (terjelir-jelir lidah tidak sabar).

Abdullah: Mama, sup tulang tu ayam, kan?

Aku: Yelah, yelah. Ayam pun ayamlah. Panggilah apa pun, yang penting Abdullah makan, ya?

Abdullah: Hihi.. (sengeh).

Aku: Okey jom, makan panas-panas sedap.

Habibah: Srrlluupp, tak sabar adik nak makan ni.. (tajam mata tengok mangkuk).

Aku: Eh, mana kakak? Kaakaaaaaakkk!! Apa yang dibuat lagi dalam bilik tu, mailah makan.

Kakak: Yelahhh!! (menyahut dari dalam bilik)

Papa: Huih, sedapnya. Nak makan banyak hari ni, boleh?

Aku: Hurmm, silakan.

Kakak: Kata masak sup tulang, tapi takde isi pun? (tercegat sambil kerut dahi)

Aku: Aarr?? (garu kepala)

 

Nota:-

Kakak memang tidak suka makan daging. Dari dulu lagi aku cuba meransang dia agar sukakan daging tetapi hampa. Menurutnya, dia tidak suka daging kerana daging susah hendak ditelan. Setiap kali dihidangkan daging, ada sahaja yang tidak kena di matanya dan ada sahaja alasan diberi untuk mengelak daripada memakannya. Habibah pula tiada masalah dalam pemakanan, semua dia bedal, macam papa dan mamanya juga. Abdullah, masaklah apa pun, asal dipanggil ayam dia akan makan. Jadi, masak daging pun ayam, masak ikan pun ayam, masak udang pun ayam, masak ayam pun ayam. Takpelah Abdullah, panggilah apa sahaja, yang penting makan dan perut kenyang.

 

 

 

 

 

Sup Tulang Valladolid

 

Daging bertulang (sekilo)

Halia (seinci, diketuk)

Bawang putih (4 ulas, diketuk, kulit tidak dibuang)

Bawang merah (5 ulas, dimayang halus)

Kulit kayu manis (seinci)

Cengkih (5-7 biji)

Daun sup (setangkai, dicincang halus)

Gandum (sesudu besar)

Ubi kentang (4 biji saiz sederhana, potong empat)

Lobak merah (2 biji saiz sederhana, dipotong persegi)

Garam dan gula secukup rasa.

 

Panaskan periuk. Tumis halia dan bawang putih hingga naik bau. Masukkan bawang merah, tumis hingga garing. Masukkan kulit kayu manis dan cengkih. Masukkan gandum, kacau hingga gandum garing. Masukkan air separuh periuk. Masukkan tulang. Kecilkan api. Masak hingga naik minyak atau daging ¾ empuk. Tambah air, masukkan kentang. Bila kentang separuh empuk, masukkan lobak merah dan daun sup. Masukkan garam dan gula secukup rasa. Bila lobak sudah empuk, tutup api, dan hidang panas-panas.

Selamat mencuba!

 

Jika sebelum ini ditampilkan 10 perkara tentang Valladolid yang menyukakanku, kali ini dikemukakan pula 10 perkara yang mengjengkelkan.

 

SAMPAH. Bandar sampah. Itulah gelaran yang layak untuk bandar Valladolid terutamanya di Rondilla iaitu kawasan di mana aku tinggal. Masyarakat Valladolid khususnya Rondilla agak gemar membuang sampah merata-rata meskipun tong-tong sampah disediakan dengan secukupnya. Di bar-bar pula, sampah sarap sengaja dibiarkan bertimbun di lantai kerana itu adalah simbol kemegahan dan kehebatan bar tersebut. Semakin banyak sampah bermakna semakin ramai pengunjung.

ROKOK. Bandar perokok. Bandar Valladolid dipenuhi oleh perokok-perokok tegar samada lelaki maupun perempuan. Masyarakat Valladolid, tanpa mengira usia dan jantina, merokok di mana sahaja termasuk di dalam bangunan yang bertanda “DILARANG MEROKOK”. Perbuatan merokok seakan sudah sebati di dalam diri mereka, dan mereka dan rokok adalah dua entiti yang tidak dapat dipisahkan sama sekali.

ANJING. Bandar anjing. Bandar Valladolid dipenuhi oleh anjing-anjing peliharaan. Malah bilangan anjing di Valladolid mungkin melebihi bilangan kanak-kanak. Anjing dilayan dan disayangi sama seperti manusia malah mungkin lebih daripada manusia. Adalah lumrah di Valladolid, anjing didukung seperti baby, dibelai, didandan, dicium malah didahulukan kemahuannya melebihi kepentingan tuannya sendiri. Lagak tuan anjing yang membiarkan anjingnya berjalan di hadapan kadang-kadang mengelirukan aku. Siapa yang membawa siapa? Siapa yang memelihara siapa?

JAHIL. Bandar yang dihuni oleh orang-orang jahil. Tahap kejahilan masyarakat Valladolid agak kritikal apabila mereka bukan sahaja tidak tahu di mana Malaysia, malah tidak tahu pun yang Malaysia itu wujud. Bila disebut Malaysia, soalan mereka adalah “Malaysia itu apa?” bukan “Malaysia itu di mana?”. Malah ada yang bertanya “Malaysia tu jenama kasut kah?”. Kadang-kadang mahu ku layang sahaja kasut busukku ke muka mereka.

HIPOKRIT. Bandar yang dipenuhi oleh orang-orang yang “cakap tidak serupa bikin”. Jika anda ke Valladolid dan dipuji begini “muy bien” yang bermakna “very good” maka usahlah perasan yang anda itu bagus. Sudah menjadi habit orang-orang di sini berkata begitu meskipun apa yang ada lakukan itu langsung tidak bagus atau hampeh.

KAD PENGENALAN. Bandar yang menyenakkan otak dalam urusan kad pengenalan. Prosedur pembaharuan kad pengenalan tidak pernah sama atau konsisten setiap tahun. Peraturan diubah atau ditambah sesuka hati tanpa notis pemberitahuan. Akibatnya, berlaku pembaziran masa, tenaga dan wang apabila pemohon terpaksa berulang alik ke pejabat pendaftaran sehingga urusan pembaharuan selesai yang lazimnya mengambil masa antara 4 hingga 5 bulan.

TERTUTUP. Bandar yang tertutup dengan maksud kurang terdedah kepada bangsa, budaya dan bahasa lain, terutamanya asia. Kebanyakan masyarakat Valladolid menyangka yang Islam adalah agama untuk orang arab sahaja. Mereka juga menyangka yang semua bangsa di dunia bertutur dalam bahasa Sepanyol. Akibatnya, mereka pelik melihat orang asia bertudung dan berasa aneh apabila bangsa lain tidak dapat bertutur dalam bahasa mereka dengan fasih.

APA PUN TIADA. Bandar yang “apa pun tiada”. Rempah ratus asia seperti kunyit, halia, lengkuas, serai, daun kari, daun limau purut, cili api dan lain-lain lagi boleh ditemui di Madrid dan Barcelona tetapi tidak di Valladolid. Valladolid adalah bandar yang “apa pun tarak”. Tika kemeroyanan makanan Melayu melanda, hentam sahajalah apa yang ada dan memasak seadanya.

KOMUNITI. Bandar yang “berkomuniti”. Kewujudan komuniti di setiap kawasan penempatan agak memeningkan apabila jiran-jiran mempunyai autoriti untuk menentukan apa yang tidak boleh dan apa yang boleh diletakkan di luar rumah kita. Akibatnya, jika jiran tidak suka akan pasu-pasu bunga kita, mereka berhak meminta kita membuang atau mengalihkannya meskipun pasu-pasu tersebut diletak di halaman rumah kita sendiri yang sedikit pun tidak menganggu mereka.

KESPESIFIKKAN YANG KETERLALUAN. Bandar yang mementingkan kespesifikkan. Setiap urusan perlu dilakukan oleh mereka yang diiktiraf pakar di dalam bidangnya sahaja. Akibatnya, masa yang lama diperlukan untuk menyelesaikan sesuatu urusan meskipun ia bersifat “urgent”. Contohnya, doktor biasa tidak dibenarkan memeriksa kanak-kanak yang sakit meskipun ketika dibawa ke hospital kanak-kanak tersebut berada dalam keadaan kritikal. Contoh lain pula ialah, tukang kayu hanya boleh membaiki benda-benda yang melibatkan kayu sahaja meskipun dia berkebolehan dalam membaik pulih paip yang rosak. Jika rumah rosak, sekurang-kurangnya empat orang tukang terlibat iaitu tukang paip, tukang kayu, tukang simen, tukang cat dan mungkin juga tukang-tukang yang lain.

 

Suatu sudut di Pusat Bandar Valladolid.

Menyambung kisah semalam tentang lawatan ke Matallana. Seperti yang telah ku nukilkan semalam bahawa Matallana dahulunya adalah tapak sebuah biara. Di samping itu, ia juga adalah sebuah lembah pertanian yang subur dan masyhur. Petani-petani yang menguruskan ladang adalah mereka yang tinggal di biara tersebut yang digelar biarawan. Hal tersebut diperihalkan sebahagiannya dalam lukisan yang tertera dalam gambar di bawah.

 

Kelihatan dalam lukisan, biarawan-biarawan sedang bertani.

 

Jika dalam kisah semalam dipaparkan gambar biri-biri yang merupakan sebahagian daya tarikan di Matallana, pada kali ini ditampilkan pula gambar-gambar jam matahari atau jam solar yang digunakan pada zaman pemerintahan rom dan arab dahulu untuk menentukan waktu. Aku tidak pasti kenapa pada sebahagian jam tersebut tercatat 2008. Mungkin ia adalah tahun replika jam itu dibina disebabkan jam yang asal rosak atau uzur.

 

Keterangan tentang jam solar.

Bayang garisan itulah yang menunjukkan waktu.

Hurm, menantu Amitabh mengandung pun nak dijadikan berita, muka depan pula tu. Apa, kalau tak dihebahkan, mati ke kita rakyat Malaysia? Penting sangat ke untuk rakyat negara ini mengambil maklum bahawa si Aishwarya tu mengandung? Lainlah jika berita tentang Aishwarya atau Amitabh masuk Islam. Tak pun, tertelan pasu bunga semasa tengah menyiram. Ada juga nilai humornya. Ni, mengandung! Apa yang hendak diherankan dengan mengandung? Haa, jika Amitabh yang hamil, wajar juga menjadi tajuk utama berita. Itu memang aneh dan luar biasa.

Adakah kerana Amitabh dan Aishwarya itu artis maka kehamilan Aishwarya harus diambil peduli oleh semua rakyat Malaysia? Lebih baik mengambil tahu tentang kucing yang lekat tulang daripada memperdulikan tentang Aishwarya. Adakah dengan terwarwarnya berita tersebut maka minda rakyat kita akan berkembang berkali ganda? Adakah setelah dicongak dan dibahagi maka didapati bahawa akal fikir rakyat Malaysia akan berkembang selari dengan pengembungan perut Aishwarya? Benar kata orang, surat khabar Malaysia langsung tidak menyumbang kepada perkembangan minda yang sihat dan positif sebaliknya mengakibatkan orang ramai khayal dan terulit dengan berita-berita provokatif dan imaginatif. Kut ya pun nak meraih untung, biarlah ada sedikit rasa tanggungjawab untuk mendidik dan mengajak rakyat ke jalan yang benar.

Ketidak-wajaran meletakkan berita tentang kehamilan Aishwarya di muka depan akhbar boleh dinilai daripada beberapa perkara, antaranya:-

  1. Amitabh dan Aishwarya bukan artis atau rakyat Malaysia.
  2. Kehamilan adalah perkara biasa melainkan jika yang hamil itu lelaki.
  3. Amitabh dan Aishwarya bukan ilmuan terbilang.
  4. Amitabh dan Aishwarya tidak mempunyai apa-apa sumbangan terhadap negara kita melainkan sumbangan dalam bentuk “mengsumbangkan” lagi akhlak muda mudi malah makcik pakcik di kampung. Tengok filem Hindustan sampai lupa nak memasak atau lupa nak pi masjid?
  5. Amitabh dan Aishwarya bukanlah tokoh yang patut kita agung-agungkan. Mereka cuma penyanyi atau pelakon Hindi yang sebagaimana diketahui ramai hidup bergelumang fitnah dan kemungkaran.
  6. Amitabh dan Aishwarya bukan pejuang, meskipun di negara mereka sendiri. Adakah dengan mengambil kisah tentang mereka berdua, harga minyak dan barang-barang lain terhalang daripada naik?
  7. Amitabh dan Aishwarya bukan insan yang sesuai untuk dijadikan sumber inspirasi dan idola oleh rakyat Malaysia sekalipun oleh mereka yang bukan beragama Islam.
  8. Baik Amitabh maupun Aishwarya hanya seorang artis yang tidak layak diberi penghormatan sebegitu rupa.
  9. Berita tentang kehamilan lebih-lebih lagi dalam kalangan artis adalah terlalu biasa yang langsung tidak mengandungi nilai-nilai yang membangun moral dan minda.
  10. Media membawa imej negara. Adakah kita mahu rakyat negara lain melihat kita sebagai sebuah negara yang dipenuhi rakyat yang mengagung-agungkan artis, meletakkan artis di tempat utama melebihi perkara lain, khayal dan tidak berpijak di bumi nyata?

Wahai media, berubahlah, bangkitlah menjadi agen pembangun ummah yang berkualiti dan berminda kelas pertama, yang beriman dan juga bertaqwa kelas pertama. Adapun, Amitabh dan Aishwarya, apa keles?? Ada aku kesah??

Baca di sini:- http://www.hmetro.com.my/articles/Amitabhpalinggembira/Article

 

Sabtu lepas, 18hb Jun, 2011, aku berpeluang melawat Matallana setelah dipelawa oleh guru yang mengajar anakku untuk turut sama mengikui rombongan sekolah ke Matallana. Aku terus bersetuju apabila diberitahu bahawa lawatan itu adalah percuma. Segala kos ditaja oleh pihak kebajikan sosial dan sekolah, dari kos pengangkutan hingga ke kos makan minum semasa lawatan.

Apa itu Matallana? Matallana adalah nama sebuah tempat di Valladolid. Di manakah terletaknya Matallana? Ia terletak lebih kurang 60 km ke utara bandar Valladolid. Apakah keistimewaan Matallana? Istimewanya Matallana ini ialah pada sejarahnya. Beratus tahun dahulu (kira-kira di kurun XIX), terbina sebuah biara besar dan masyhur di situ. Apa istimewanya biara tersebut? Bagi kita yang beragama Islam, biara tidak membawa apa-apa makna tetapi bagi mereka yang beragama kristian, ia penuh bermakna. Sudah ku jelaskan di atas tadi bahawa kunjunganku ke Matallana adalah atas pelawaan pihak sekolah dan kebajikan sosial. Jika aku ingin memilih destinasi untuk melancong, mungkin Matallana tidak termasuk di dalam senarai. Dahulunya Matallana adalah sebuah lembah pertanian yang subur, yang menjadi antara sumber makanan masyarakat Valladolid. Petani-petaninya adalah mereka yang menetap dan menghambakan diri di biara tersebut. Kini, ia hanya tinggal runtuhan dan Matallana tidak lagi menjadi kawasan pertanian yang utama. Selain runtuhan biara, di Matallana ada taman permainan kanak-kanak yang diperbuat daripada kayu dan dibina dengan gaya antik, ada kuda dan kaldai, 20 jenis baka biri-biri dari seluruh dunia, ada taman herba, taman botani, kawasan membiak merpati, lagun dan lain-lain lagi. Namun, pada hari lawatan, kami hanya dibenarkan melihat biri-biri sahaja selain daripada sukaneka yang diadakan dalam kawasan runtuhan biara.

Gambar-gambar di bawah adalah gambar biri-biri yang sempat dirakam semasa lawatan. Kesemua biri-biri tersebut baru sahaja dicukur bulunya. Maaf, baka biri-biri yang terpamer tidak dapat diingat oleh ku dengan tepat. Mungkin ada yang terkhilaf. Oleh kerana Abdullah telah keletihan dan moody maka aku tidak dapat menumpukan perhatian kepada mengambil semua gambar biri-biri yang ada. Ada 20 baka, tetapi yang sempat dirakam beberapa sahaja. Itupun dalam keadaan kelam kabut dek kerana separuh perhatianku tertumpu kepada menjaga dan mengawal Abdullah yang sudah mula meragam dek kepenatan.

 

 

Baka Perancis

 

 
 

Baka Sepanyol

 

 
 

Baka Perancis

 

 
 

Baka Perancis

 

 
 

Baka Belanda

 

 
 

Baka Australia

 

 
 

Baka New Zealand

 

 
 

Baka Sepanyol

 

 
 

Baka Australia

 

 
 

Baka German

 

Baka Scotland

 

 

Biri-biri yang tidak sporting, membelakangi kamera ..

Setelah berminggu-minggu aku pening tentang data dan ke hulu ke hilir mencari orang yang sudi menjadi RA, akhirnya semalam Allah menunjukkan kepadaku jalan. Adapun, masalah yang ku hadapi begini; data kajianku terbahagi kepada dua, data Malaysia dan data Sepanyol. Respondennya adalah orang-orang Melayu dan Sepanyol. Kedua-dua data mempunyai masalah. Data dari Malaysia masih belum diterima. Dengan sebab itu urusan memperosesnya juga tertangguh. Data Sepanyol pula tidak boleh dibaca, oleh sebab itu urusan untuk menganalisisnya juga tertangguh.

Instrumen kajianku seperti yang lazim digunakan dalam kajian-kajian speech acts lain ialah DCT (Discourse Completion Test). DCT adalah kaedah yang diperkenalkan oleh Blum Kulka et. al. (1989) untuk mendapatkan data tentang speech acts. Beliau adalah antara pelopor kajian tentang speech acts. DCT adalah ujian melengkapkan wacana yang mengandungi situasi-situasi berbentuk provokasi. Responden dikehendaki membaca dan menghayati situasi-situasi tersebut dan membayangkan diri mereka berada di dalamnya lalu mengungkapkan atau menulis di ruangan yang disediakan, ujaran yang akan mereka hasilkan jika sekiranya mereka berada dalam situasi-situasi tersebut. Masalah yang ku hadapi ialah, aku tidak dapat membaca apa yang responden tulis di dalam soal selidik yang telah diedarkan. Tulisan tangan orang Sepanyol sangat berbeza dengan tulisan orang kita kerana mereka menulis dalam bentuk tulisan eropah.

Puas aku bertanya kepada orang itu dan orang ini, kalau-kalau mereka sudi menjadi tukang baca jawapan-jawapan responden itu sekaligus menjadi RA ku. Malangnya aku bertindak salah masa. Universiti sedang berada di hujung semester, pelajar tengah exam dan sibuk menyiapkan segala tugasan. Mana mungkin pelajar yang tengah sibuk gila-gila itu hendak menyibukkan lagi diri mereka dengan menjadi RA ku? Maka hampalah aku. Aku usul pula bertanya kepada kawan-kawan Sepanyol yang bukan pelajar, kalau-kalau mereka kenal sesiapa yang sudi menjadi RA ku beerti sanggup datang ke rumahku setiap hari sehingga semua data siap dibaca dan ditaip untuk kemudiannya diklasifikasikan pula dan dimasukkan dalam SPSS. Namun, jawapan yang ku terima juga hampa. Kebanyakkannya tidak sanggup datang ke rumah dan duduk berjam-jam mengadap kertas dan komputer walaupun hendak dibayar. Lagipun, orang Sepanyol bila masuk sahaja musim panas (summer) mereka sudah tidak ada mood untuk bekerja, sebaliknya mood untuk bercuti atau vacations berkobar-kobar. Maka pening dan bungkamlah aku berhari-hari, berminggu-minggu memikirkannya.

Namun, Allah itu maha adil, dan maha memakbul doa-doa hambanya yang ikhlas. Setelah setiap saat berdoa agar ditunjukkan jalan, akhirnya Allah menunjukkan kepadaku jalan. Ia berlaku dengan tidak semena-mena. Semalam, pagi aku ke bank di pusat bandar menyelesaikan beberapa urusan yang tidak kurang juga peningnya. Alahai bank! Selesai urusan di bank, aku mengajak hubby merayau dengan niat hendak melarikan seketika mindaku dari kepeningan memikirkan macam-macam perkara. Setelah puas merayau dan window shopping, aku mengajak hubby pulang. Aku berjalan pulang dalam keadaan bungkam, minda sedetik pun tidak berhenti dari memikirkan tentang data, manakala jiwa tidak putus-putus berdoa; “Ya Allah, tunjukkanlah aku jalan, hambaMu ini sungguh lemah, akan tetapi ya Allah aku tidak akan sekali-kali menyerah kalah.” Tiba di flat di mana kami tinggal, aku dan hubby menunggu pintu lift terbuka dengan sabar. Hubby nampak risau kerana aku terlalu bungkam. Diam membisu kerana jiwa terlalu runsing. Sebaik pintu lift terbuka aku terus menyerbu masuk. Bumm, badanku berlaga dengan tubuh orang. Aarr?? Oh, ada orang keluar dari lift rupanya. Jauhnya aku mengelamun hingga tidak nampak ada orang dalam lift. Rupa-rupanya orang yang ku langgar itu adalah jiran depan rumahku sendiri. Sepasang suami isteri yang kebetulan turun untuk ke pasar. Ditegurnya aku dengan ramah. Si suami bertanya kenapa aku nampak bungkam. Aku sekonyong-konyong bercerita tentang masalah yang ku hadapi. Tiba-tiba si isteri berkata, “haa, cuba tanya anak saya, dia kerja di hujung minggu sahaja, hari-hari lain dia free, lepak sahaja di rumah dengan laptopnya. Pergilah tanya dia, dia ada di rumah sekarang.” Oh, aku mula nampak sinar di hujung kegelapan ini. Aku segera naik, tekan loceng rumah jiranku itu dan terpacul anaknya yang hansem di muka pintu. Hansem satu hal, budi bahasa, masyaallah kalah kita orang Islam. Yang bestnya, dia terus setuju tanpa banyak bicara sebaik selesai ku nyatakan hajatku. Oh, leganya ya Allah, terima kasih Allah, kepadaMu jua aku meminta dan merujuk, sesungguhnya Engkau maha mengurnia ya Allah.

Memang sudah lama ku tahu yang jiranku mempunyai anak lelaki berkelulusan dalam bidang filosofi. Dia juga adalah bekas pelajar di fakulti sama di mana aku menuntut. Bidangnya juga tidak lari jauh dari bidangku cuma jurusan sahaja yang berbeza. Maka mulai hari ini dan hari-hari ke seterusnya seperti mana janjinya, dia akan datang ke rumahku pada setiap 11 pagi untuk membantuku memperoses data-data Sepanyol sehingga selesai. Alhamdulillah, sebesar syukur ke hadratMu, ya Allah. Terima kasih Allah!

 

 
 
 
 
 

Pintu rumah jiranku yang betul-betul bersetentang dengan pintu rumahku, tengah-tengah itu lift.

 

Kebelakangan ini saya sungguh sibuk dan nanar. Banyaknya hal yang nak diselesaikan; kad pengenalan (sudah acap kali berulang alik ke pejabat pendaftaran dan balai polis), bank (pemotongan aneh, pengambilan komisyen di luar makluman dan lain-lain), borang-borang sekolah anak (lazimnya bila nak cuti panjang, sekolah akan keluarkan pelbagai borang yang perlu diisi dengan teliti; borang subsidi makanan, bantuan buku sekolah, pendaftaran semester berikutnya dan lain-lain lagi) dan sudah tentu dalam sekian banyak hal, hal yang paling memeningkan ialah hal-hal berkaitan pembelajaran (data dari Malaysia belum diterima maka dengan itu masih belum boleh dianalisis sedangkan ia telah jauh melangkau waktu yang telah ditetapkan, data Sepanyol pula tidak boleh dibaca maka dengan itu terpaksa mencari pembantu berbangsa Sepanyol yang cekap membaca tulisan tangan, supervisor tidak boleh ditemui hingga entah sampai bila kerana baru sahaja menjalani pembedahan mata dan terpaksa berehat, dan lain-lain lagi). Itulah cabaran, itulah ujian. Jika tidak, tidaklah dinamakan kita ini golongan profesional. Profesionalisma itu bukan sahaja pada ilmu dalam bidang yang dikaut selama berdamping dengan ahli-ahli akademik di universiti, tetapi juga merangkumi pelbagai ilmu lain seperti, ilmu mengurus waktu, mengurus stress, mengurus masalah, mengurus rumahtangga, mengurus belanja, mengurus kejutan budaya, mengurus kejutan cuaca, mengurus aktiviti sosial, dan mengurus sejuta satu macam hal lagi, yang diperolehi selama bermusafir jauh begini. Malah, urusan-urusan yang selain daripada akademik itulah sebenarnya yang lebih susah nak diurus, yang lebih mencabar, yang lebih sukar, yang kadang-kadang sampai terfikir nak kemas baju dan beg lalu pulang sahaja ke tanah air. Pulang dengan tangan kosong? Oh TIDAK!! Pantang menyerah kerana sudah difirman Allah, bahawasanya kesukaran itu hanya dianugerah kepada mereka yang mampu meredah. Kepada mereka yang terpilih untuk mengecap sedikit sensara dalam menghadapi apa jua badai yang melanda, maka berbanggalah kerana anda sebenarnya adalah insan-insan yang telah diketahui Allah mampu menghadapinya.

Kentallah wahai jiwa, akan perjalanan masih jauh, masih jauuuhhh sebenarnya, meskipun nanti PhD sudah di dalam tangan, kita tetap perlu terus berjalan kerana target kita adalah nuuunn negara akhirat yang kekal abadi. Bernilaikah PhD di sana nanti? Tepuk dada, tanyalah iman, tanyalah hati, tanyalah akan tujuan dan niat memburu PhD!

 

 

 

Pembaca budiman, sudilah kiranya meneka akan apakah gerangannya perkara di dalam gambar tertera. Kepada peneka yang berjaya, hadiah berupa cenderahati dari Sepanyol akan dikirim tentunya. Adapun pembaca yang berjaya akan dihubungi segera menerusi nama dan email empunya. Akan keputusan adalah muktamad, dan jawapan yang tepat akan diumumkan bersama-sama nama pemenang di suatu hari yang akan ditetap. Dalam sekian banyak keserabutan yang wujud dalam hidup kita, kita juga memerlukan sedikit ruang untuk berseloka dan bersuka-suka. Maka sudilah kiranya pembaca meneka…

 

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...