Un cobrador llama a una casa y le abre un niño:

– Hola, bonito, ¿está tu papá?

El niño duda un momento y dice:

– No.

– ¿Y no sabes cuándo volverá?

– Es que.. no va a volver.

– ¿Y cómo sabes que no va a volver?

– Es que.. todavía no ha salido.

 

Terjemahan:-

Seorang pengutip hutang telah mengetuk pintu sebuah rumah dan keluar seorang budak:

– Hai comel, ayah ada?

Budak itu terpinga seketika lalu berkata:

– Takde.

– Tahu bila dia balik?

– Mm… dia takkan balik.

– Macam mana awak tahu dia takkan balik?

– Mm… sebab dia masih belum keluar.

 

 

Apakah perbezaan di antara orang yang kedekut wang dengan orang yang tidak cukup wang?

Orang yang kedekut wang ialah orang yang mempunyai cukup wang tetapi tidak mahu atau enggan membelanjakannya ke jalan yang hak atau sepatutnya. Manakala orang yang tidak cukup wang ialah orang yang mempunyai wang tetapi tidak cukup untuknya berbelanja meskipun ke jalan yang hak atau sepatutnya.

 

Bagaimanakah orang yang tidak cukup wang seperti aku hidup di luar negara? Untuk makluman, kos hidup di Sepanyol amat tinggi dan negara Sepanyol tidak membenarkan sama sekali samada pelajar maupun pasangan bekerja.

Mungkin orang ingat yang aku ini banyak wang. Berdasarkan kepada gambar-gambar masakan yang ku upload di FB, mungkin orang ingat itulah yang aku dan keluarga makan hari-hari di sini. Tetapi orang tidak tahu hakikat sebenar. Kadang-kadang kerana hendak jimatkan wang, aku terpaksa beli ayam yang paling kecil dan dibahagi-bahagikan pula kepada 10 bahagian untuk dimakan selama 10 hari. Barangkali juga orang tidak tahu yang selama dua tahun setengah di sini, aku dan keluarga makan nasi sekali sahaja sehari demi untuk menjimatkan lauk dan beras. Setiap hari, kami makan nasi pada pukul empat atau lima petang. Pagi, lazimnya kami makan roti atau telur. Tengahari pula, anak-anak makan di sekolah (makanan subsidi) manakala aku dan hubby sudah biasa mengikat perut sementara menunggu waktu makan. Alah bisa tegal biasa. Pakaian? Lazimnya aku menunggu waktu jualan murah atau dibeli di kedai-kedai cina yang menjual pakain dengan harga borong. Kadang-kadang aku membeli pakaian yang dilelong di kedai-kedai yang hendak gulung tikar. Ada juga orang Sepanyol yang bermurah hati mengsedekahkan kepadaku pakaian-pakaian yang sudah puas mereka pakai.

 

Bagaimanakah orang yang tidak cukup wang seperti aku menyempurnakan hajat untuk mengembara ke negara-negara lain? Atau sekurang-kurangnya menjelajah ke wilayah-wilayah lain di Sepanyol selain daripada Valladolid?

Sepertimana yang kita tahu, kos untuk travel atau mengembara lebih-lebih lagi ke negara luar adalah tinggi (flight, hotel, teksi, keretapi, bas, makanan, tiket untuk masuk ke museum-museum, zoo atau bangunan-bangunan bersejarah dan lain-lain). Dalam konteks aku dan keluargaku misalnya, keinginan untuk travel telah menyebabkan kami terpaksa mengorbankan beberapa perkara, misalnya; sanggup tidur di airport sahaja jika terpaksa transit meskipun lama, menyewa bilik paling murah di hotel atau hostel murah meskipun terpaksa tidur dalam keadaan kurang selesa atau kurang kemudahan (tak cukup selimut, bantal, bilik buruk, berbau, bilik air kecil, bocor dan lain-lain), makan nasi berlaukkan sardin semata selama travel (nasi masak di hotel, periuk nasi dan sardin dibawa dari rumah), travel di musim sejuk kerana harga hotel dan flight melambung di musim panas, sanggup berjalan kaki ke setiap destinasi dalam lokasi yang dilawati (kami berlima, bayangkan kosnya jika setiap kali hendak keluar atau hendak ke mana-mana kami naik bas atau suburban train atau teksi) dan membeli cenderahati yang kecil-kecil sahaja (pertama, harga yang kecil lebih murah, kedua, senang untuk dibawa balik) meskipun hati amatlah teringin untuk membeli barang yang besar-besar dan cantik-cantik.

Oleh yang demikian, jika ada dalam kalangan pembaca terserempak denganku, hubby dan tiga orang kenit kami tidur bergelimpangan di lantai airport (ada ketikanya bangku penuh, ramai rupanya tidur di airport), atau ketemu kami sedang menjamu nasi kosong di mana-mana, atau terjumpa kami di hostel atau rumah tumpangan murah, atau ternampak kami lima beranak berjalan kaki dalam keadaan keletihan, dalam tempoh travel, maka fahamilah bahawasanya; KAMI TIDAK CUKUP WANG, BUKAN KEDEKUT WANG!

 

Namun, TIDAK CUKUP WANG bukanlah alasan untuk berkata TIDAK pada keinginan untuk berjalan mengenal negara orang. Bukan juga alasan untuk TIDAK berasa bahagia!

 

Mengimbau kenangan di pantai Santander, Sepanyol, ogos, 2009 (di musim panas/summer).

KS = Kawan Sepanyol

 

Aku: Wuaa, cantiknya pantai.

KS: Yup, cantik. Santander memang terkenal dengan pantainya yang cantik.

Aku: So, mana kita nak duduk?

KS: Sana, kita lepak kat sana.

Aku: Haa, jom.

KS: Eh, tengok tu, semua mata pandang awak.

Aku: Huhu, biarlah. Buat tak kisah jerr.

KS: Bukaklah tudung tu.

Aku: Aarr?

KS: Bukaklah. Semua orang pandang awak.

Aku: Biarlah! Dia orang nak pandang, pandanglah. Ada saya kisah?

KS: Elok awak bukak aje tudung tu. Rimas saya dibuatnya. Semua orang dah tak pandang ke laut lagi, semua pakat pandang awak.

Aku: Hurm, nape, pelik sangatkah saya ni?

KS: Memang pelik! Mungkin awak orang pertama ke pantai pakai tudung.

Aku: Oh, ye ke? Pecah rekod dunia la ni?

KS: Pecah, tak pecah. Entah-entah besok, terpampang gambar awak kat muka depan akhbar-akhbar Sepanyol.

Aku: Fuyoo, bagus arr. Glamer apa?

KS: Kat pantai selalunya ada wartawan tau?

Aku: Ye ke? Baguslah.

KS: Besok, keluar muka awak kat muka depan, “manusia pertama bertudung di pantai negara Sepanyol”.

Aku: Fuhhh, glamer. I like!

KS: Baik awak bukak aje tudung tu.

Aku: Tak mau. Saya nak muka dan berita tentang saya keluar surat khabar, hehe..

KS: Bukaklah. Suami awak bukan tahu.

Aku: Isskk! Saya pakai tudung bukan arahan suami tapi Tuhan. Suami memang tak nampak, tapi Tuhan nampak.

KS: Mana tahu Tuhan nampak?

Aku: Awak rasa Tuhan tak nampak?

KS: Entah!

Aku: Kalau tak nampak, maknanya bukan Tuhanlah. Kalau Tuhan mesti nampak.

KS: Suka hatilah.

Aku: Jom makan.

KS: Eh, nak makan dah? Mandilah dulu.

Aku: Awak mandilah, saya nak lepak kat sini aje.

KS: Eh, awak tak nak mandi ke?

Aku: Tak nak!

KS: Laa, apa guna datang ke pantai kalau tak mandi?

Aku: Wajib ke mandi ?

KS: Peliklah nanti orang tengok, datang tak mandi.

Aku: Ahh, biarkan.

KS: Nah, tukar baju. Jom ikut saya mandi (lempar bikini kepadaku).

Aku: Aarr? Eh, ni kan bikini awak, pakailah, saya tak mau.

KS: Pakailah. Saya memang bawa dua. Satu untuk saya, satu untuk awak. Pakai!

Aku: Aarr? Tak mau!

KS: Nape lak?

Aku: Saya tak mau mandi, buat apa pakai?

KS: Laa, tak ke malu orang tengok nanti? Kalau ye pun tak mau mandi, pakai jelah jugak bikini tu. Pakai macam yang awak pakai ni pelik sangatlah. Takde dibuatnya orang. Hah, awak tengok, semua orang pakai bikini.

Aku: Ada yang langsung tak pakai apa-apa. Itu lagi pelik.

KS: Eh, mana ada pelik. Biasalah. Dah nama pun pantai. Memang macam tulah pakainya.

Aku: Eiiyy, tak maulah, malu.

KS: Nak malu dengan siapa? Kita dan orang lain ada benda yang sama, kan? Perlu apa malu? Tuhan dah buat macam tu. Tuhan buat kita cantik-cantik tiba-tiba nak pi tutup lak.

Aku: Takpelah, awak pakailah, saya tak akan pakai. Tak mau.

KS: Pakailah. Saya dah bawakan untuk awak.

Aku: Maaf. Saya tak mau.

KS: Awak tak teringin ke nak mandi? Air laut tenang dan jernih, cantik tau.

Aku: Saya dah puas mandi laut. Kampung saya di Malaysia memang terletak di persisir laut. Dari kecil saya mandi laut. Saya membesar bersama deru angin laut.

KS: Haa, kat kampung sendiri awak tak malu pula pakai bikini?

Aku: Aarr? Siapa kata saya pakai bikini? Tak pernah sentuh malah tak pernah memiliki walau sehelai bikini pun!

KS: Tadi kata mandi laut sejak dari kecil?

Aku: Memang! Dari kecil saya mandi laut. Tapi saya tak pernah pakai bikini pun.

KS: Habis tu pakai apa?

Aku: Pakai seluar panjang dan T shirt. Bila dah besar sikit pakai sekali tudung mandi laut.

KS: Hah?? Seluar, T shirt dan tudung?

Aku: Nape terkejut? Cam nampak hantu je muka?

KS: Tak merbahaya ke?

Aku: Merbahaya apa?

KS: Baju kan berat? Tak lemas? Tak mati ke?

Aku: Mana ada lemas atau mati! Kalau mati, camne leh ada kat sini? Borak-borak ngan awak ni ha?

KS: (sengeh).

 

Nota:-

Fuhh, haru betul bila kawan Sepanyol itu beria-ria menyuruhku memakai bikini dan ikut sekali mandi.

Santander terletak di utara negara Sepanyol dan terkenal dengan pantainya yang cantik. Jarak antara Santander dan Valladolid adalah 3 jam perjalanan dengan bas atau keretapi. Aku ke sana bersama rombongan yang dianjurkan oleh persatuan wanita Rondilla Valladolid. Sebaik menjejakkan kaki ke pantai, seluruh mata memandangku hingga ada antara mereka yang beralih posisi dari memandang ke arah laut ke memandang ke arahku dek peliknya melihat manusia ke pantai dengan berpakaian lengkap dan bertudung. Yeaa, pecah rekod dunia lagi, yuhuuu …..

 

 

Salah sebuah kampung di Santander.

 

 Ada beberapa keping gambar pemandangan pantai Santander, tapi aku lupa kat dalam file mana. Nanti bila jumpa aku upload kat sini, ok?

 

 

 

  • Bandar yang aman. Valladolid bukan bandar perlancongan, oleh yang demikian ia tidak dikunjungi oleh ramai orang seperti Madrid, Barcelona dan bandar-bandar perlancongan yang lain.

 

Ayuntamiento (Bangunan Pentadbiran Valladolid).

 

  • Tidak bingit. Valladolid tidak bingit seperti kota Madrid atau Barcelona. Tidak banyak pusat hiburan dan bandarnya agak tenang.

 

Itulah bangunan tertinggi di Pusat Bandar Valladolid.

 

  • Bukan syurga shopping. Oleh kerana Valladolid bukan bandar tumpuan pelancong, maka tidak banyak shopping kompleks di sini. Ia bukan tempat yang sesuai untuk mereka yang suka membeli belah. Namun, ia amat baik untukku, kerana keadaan itu menyelamatkan fitrah kewanitaanku daripada bermaharajalela tanpa kawalan seterusnya menghindarku daripada terjerumus ke lembah inflasi.

 

Corte Inglés, Shopping Mall terbesar di Valladolid.

 

  • Dipenuhi orang-orang tua atau warga emas. Valladolid terkenal sebagai bandar berwarga emas. Antiknya Valladolid bukan sekadar pada bangunan dan monumen-monumennya tetapi juga pada orang atau penghuninya. Di Valladolid, bilangan kanak-kanak amat sedikit berbanding jumlah mereka yang berada di usia emas. Di sana sini kita akan melihat atau berjumpa orang-orang tua, samada yang lepak di bangku-bangku di pusat bandar, yang mengunjungi kedai-kedai atau supermarket-supermarket atau mereka yang lepak santai di taman-taman di seluruh bandar. Suasana yang amat baik untukku mengingati hari tua dan mati. Juga banyak pelajaran yang boleh diperolehi daripada mereka jika ramah dan rajin bertanya terutamanya tentang tip-tip mengekalkan kecergasan dan kejelitaan.

 

Antara bangunan lama di Plaza Universidad.

 

  • Tidak berpantai. Valladolid tidak ada pantai. Pantai terdekat kira-kira 3 jam perjalanan dengan bas atau keretapi. Ia bagus untuk mengelakkan dosa memandang adegan-adegan berenang di atas darat yang lazimnya dilakukan oleh bangsa orang putih di tepi-tepi pantai di musim panas. Ia baik untuk mengelakkan dosa memandang aurat mereka.

 

Parquesol, salah sebuah kawasan di luar pusat bandar.

 

  • Orang-orangnya ramah. Penduduk Valladolid jauh lebih ramah berbanding penduduk kota Madrid atau Barcelona. Sepatah yang ditanya, sekitab yang dijawab.

 

 

Salah sebuah lorong di Pusat Bandar.

 

  • Bukan lokasi perusuh. Valladolid bukan lokasi pilihan perusuh. Selalunya rusuhan besar-besaran diadakan di Madrid dan Barcelona. Jika wujud pun demonstrasi, ia di bawah kawalan dan diadakan dalam keadaan aman dan tenang.

 

 

Salah satu sudut di Plaza Mayor (Main Square).

 

 

  • Bebas bencana alam. Valladolid bukan kawasan bencana alam. Tiada gunung berapi, tiada gempa bumi dan kedudukannya yang amat jauh dari pantai menghindarkannya daripada bencana tsunami.

 

 

Río de Pisuerga (Sungai Pisuerga), sungai utama di Valladolid.

 

  • Sejuk. Valladolid adalah antara kawasan tersejuk di Sepanyol kerana kedudukannnya yang terkepung oleh bukit-bukit kecil. Meskipun kesejukkannya di musim sejuk agak azab tetapi ketika mereka yang tinggal di kawasan-kawasan lain menggelupur kepanasan di musim panas yang amat panas dan kering, kami di Valladolid masih boleh bernafas dalam udara yang nyaman.

 

 

Salji di Valladolid, view di waktu malam dari jendela rumah lamaku.

 

  • Masyarakatnya agak tertutup. Oleh kerana tidak ramai orang asia di Valladolid terutamanya mereka yang beragama Islam, maka kewujudan aku sebagai mungkin antara orang asia Islam pertama di Valladolid dengan imej bertudung telah membuatkan aku dikenali dan dipandang sebagai artis. Fuhh, bila lagi nak rasa jadi artis? Acehh ..

 

Flat di pusat bandar.

Jumaat yang bahagia. Apa kata hari ni kita main masak-masak, nak? Masak apa? Masak apa sahaja yang boleh dimakan. Adapun, yang tak boleh dimakan, masak pun tak guna, tetap tak boleh dimakan. Misalnya, masak ikan, sayur, ayam, puding, daging atau apa-apa sajalah, janji bila masak boleh ditelan. Kalau masak sup pam basikal atau tom yam tukul besi, nanti kan terkehel lak gusi atau gigi nak memamahnya.

Hurm, pasal semalam ada beli ikan anchoa (bilis besar), jadi apa kata kita masak anchoa celup tepung? Fuhh, bukan nak puji diri sendiri, tapi anchoa goreng celup tepung dari air tangan makcik memang senantiasa laris. Tak pernah jualan tak habis, licin sokmo. Kalah ikan celup tepung pok long di pantai Teluk Ketapang Darul Iman. Sekilo beli, sekilo goreng, sekilo habis, nah 3 kilo naik berat badan. Nasib baik makcik mengidap penyakit metabolisma, so lepas makan terus buang, maka takdelah sampai 5 kilo naiknya.

 

Anchoa celup tepung.

 

Resepi anchoa celup tepung? Eh takkan tak tahu? Tepung beras? Eh, tak, takde tepung-tepung berasnya. Mana nak cari tepung beras di Valladolid Darul Nothing ni? Ada beras pun syukur. Kalau tak, makan pizzalah hari-hari. Ahaks, pizzalah sangat! Makcik tak pernah guna tepung beras selama berkecimpung sebagai penggoreng anchoa di sini. Dah tu pakai tepung apa? Tepung gomok? Tepung gandumlah, tepung gomok gimana rupa pun makcik tak tahu! Alaa, tepung gandum biasa, campur secubit garam dan air paip. Pastikan air paip sebab kalau diguna air mati, dia tak mau, dia tak umpphh! Sebab air mati kerana namanya “air mati” maka ia turut mematikan atau menamat-riwayatkan keinginan untuk gandum-gandum itu naik dan ranggup. Hurm, ni teori makciklah, boleh terai kalau tak percaya.

Okeh, macam biasa mula-mula baca bismillah dulu, kemudian barulah diletak kuali di atas dapur. Hidupkan api, tonggeng botol minyak (makcik guna perkataan tonggeng sebab botol minyak makcik besar, kalau botol kecik, guna perkataan tuang), dan tunggu hingga minyak panas. Sebelum itu, selamkan anchoa ke dalam bancuhan tepung, garam dan air paip hingga kesemua anchoa lemas. Pastikan anchoa benar-benar lemas kerana jika ia tidak benar-benar lemas maka ia akan terpekik terlolong di dalam kuali nanti dek kepanasan. Bila minyak dah panas membara, bolehlah ditohok (minta maaf, makcik guna perkataan tohok demi untuk memertabatkan lagi bahasa ibunda makcik) anchoa-anchoa yang kelemasan itu tadi ke dalam kuali.

 

Ranggup dan enak.

 

Macam mana nak tahu anchoa-anchoa itu telah masak? Apakah tanda-tanda dan petunjuk-petunjuknya? Jika nak bersalin, antara tandanya ialah pecah ketuban. Tetapi jika ketuban pecah tika anchoa sedang di kuali itu maknanya dah dekat sangat nak bersalin dan tidak perlulah tunggu hingga anchoa masak. Terus ke klinik swasta berdekatan. Pertama, kenapa swasta? Ahh, makcik sebenarnya trauma dan teramat fobia dengan klinik-klinik atau hospital-hospital kerajaan. Banyak pengalaman buruk bersalin di situ. Menyesal makcik kerana dulu pergi menyerah diri ke klinik-klinik dan hospital-hospital kerajaan. Baik pergi ke klinik-klinik dan hospital-hospital pembangkang. Fuhh!! Kedua, kenapa berdekatan? Eh, kalau berjauhan, nanti bersalin dalam lift! Dak pun atas tangga (in case lift hospital rosak).

Oh ya, berbalik kepada cerita anchoa tadi, makcik suka balik-balikkan anchoa di dalam kuali tanpa menunggu hingga ia masak sebelah-sebelah dulu (minta maaflah kalau tak faham ayat ni, sebab makcik sendiri pun rasa keliru, eheh..). Bila sentiasa dibalik-balikkan, anchoa-anchoa tersebut akan rata garingnya, maka terelaklah ia dari hangit atau hangus sebelah. Bila dah masak, angkat pelan-pelan dengan penuh tertib terening (minta maaf, sekali lagi makcik guna perkataan klasik “terening” demi untuk mendaulatkan bahasa ibunda makcik dan demi cinta kasih makcik yang tak berbelah bahagi terhadap bahasa ibunda makcik). Bercakap tentang bahasa ibunda ni kan, jangan ingat bila makcik dah bermusafir sejauh ini maka makcik jadi lupa diri, terus bermata biru termasuklah dengan otak-otaknya sekali biru. Isshhkkk, takde! Takde maknanya tu. Di mana bumi makcik pijak, maka di situlah pakcik makcik junjung. Eh, salah, langit. Maafkan makcik, dah tua-tua ni, nyanyuk. Makcik tetap rindukan budu meski hari-hari hidung makcik duk hidu bau keju. Makcik tetap berkomunikasi terutamanya dengan pakcik dalam bahasa ibunda makcik hingga makcik perasan, jiran-jiran pun dah mula reti menyebut budu, belacan, petai, sodek dan takmboh.

 

Jangan lupa, air lada atau "colek".

 

Wokey, anchoa-anchoa tu kan, bila dah masak, letak dalam pinggan arcopal di atas alas meja zara dan, … hey tunggu apa lagi, makan lerr… Opss, baca bismillah dulu dan jangan lupa doa makan. Selamat mencuba dan kepada kaum adam, jangan lupa pergi masjid ya, hari ini hari Jumaat! Balik jumaat, haa, makan anchoa. Polok, jangang dok polok!

 

Rombongan orang panjang ke pusat bandar.

 

2 minggu lepas, kota Valladolid kecoh dengan kehadiran orang-orang panjang. 5 orang panjang yang terdiri daripada 3 orang lelaki dan 2 orang perempuan termasuk seorang berkerusi roda telah keluar membeli belah di pusat bandar Valladolid. Kehadiran mereka telah menarik perhatian orang ramai termasuk aku yang kebetulan berada di situ untuk membeli beberapa barang keperluan.

Keadaan menjadi bertambah kecoh dan kelam kabut apabila orang-orang panjang tersebut telah bergaduh sesama sendiri dengan suara yang membelah bumi tentang barang-barang yang perlu mereka beli. Aksi dan gelagat selamba mereka telah menyebabkan orang ramai yang lalu lalang berhenti dan mengelilingi mereka untuk mengetahui apakah yang sedang berlaku. Aku turut menyelit di celah-celah orang ramai itu, malangnya bateri kamera tidak cukup untukku merakam aksi-aksi mereka, tetapi sempatlah snap beberapa keping gambar untuk tatapan pembaca.

 

Diekori orang ramai.

 

OPKU (Orang panjang kurang upaya).

 

Berarak ke kedai. Orang panjang nak shopping.

 

Kerusi roda gergasi!

 

Tiba-tiba berlaku rompakan. Ni lerr perompaknya.

 

Menunggu seorang lagi yang sesat entah ke mana.

 

Rupa-rupanya dilarikan peminat.

 

Orang-orang panjang di atas sebenarnya adalah pelakon-pelakon teater yang sedang melakonkan suatu sketsa bagi menambah-meriahkan lagi minggu pesta Valladolid. Yang uniknya ia tidak dilakonkan di pentas khas sebaliknya dilaksanakan secara spontan dan semulajadi di tengah-tengah orang ramai yang pada mulanya terkejut dan terpinga-pinga dengan kehadiran mereka. Orang Sepanyol sangat gemar berpesta. Macam-macam pesta diadakan di sepanjang tahun. Di Valladolid, pelbagai pertunjukkan diadakan di sepanjang seminggu pesta dilangsungkan. Ada pertunjukkan silap mata, teater, musik, tayangan filem, nyanyian dan lain-lain lagi yang boleh ditonton oleh sesiapa sahaja secara percuma.

 

Stesen TV turut membuat liputan. Ermm, macam ada yang tak kena aje dengan wartawan TV tu? Pe dia?

 

 

Dia cuma seekor ibu ITIK

Tetapi aku melihat di dalam dirinya, KEINSANAN.

Dia cuma seekor ibu ITIK

Tetapi aku melihat di dalam dirinya, KEPERIHATINAN.

Dia cuma seekor ibu ITIK

Tetapi aku melihat di dalam dirinya, KASIH SAYANG.

Dia cuma seekor ibu ITIK

Tetapi aku melihat di dalam dirinya, KESABARAN.

Dia cuma seekor ibu ITIK

Tetapi aku melihat di dalam dirinya, PENGORBANAN.

 

Dia cuma seekor HAIWAN

tetapi, di dalam dirinya,

penuh nilai-nilai

KEMANUSIAAN.

 

Sabar melayan anak-anak.

 

Tidak lari jauh dari anak-anak.

 

Mata sentiasa mengawasi anak-anak.

 

Hingga ke saat dia mengajak anak-anaknya beredar pun, matanya masih memandang kamera, bukti dia memerhati dan mengamati sekeliling demi keselamatan anak-anaknya.

 

Sebagai manusia yang juga seorang ibu, aku tertanya-tanya, adakah aku ini memiliki cukup nilai-nilai keinsanan? Adakah selama ini aku perihatin terhadap jeritan batin anak-anakku? Adakah aku meluahkan kasih sayang dengan cara yang mereka faham bahawa itu adalah kasih sayang? Adakah aku cukup sabar dalam menghadapi karenah mereka seperti sabarnya ibu itik itu melayan karenah anak-anaknya? Adakah selama ini pengorbanan yang aku lakukan cukup untuk mengstatuskan aku sebagai ibu yang penuh dengan nilai-nilai kemanusian?

Kesempatan melihat gelagat ibu itik dan anak-anaknya itu, bukan sekadar suatu kebetulan. Barangkali, Tuhan menggerakkan hati itik itu untuk terkedek-kedek datang kepadaku dan menggerakkan pula hatiku untuk ralit memerhati tindak tanduknya, adalah untuk mencabar minda manusiaku, adalah untuk menjentik naluri keibuanku, agar mengambil contoh daripada seekor ibu haiwan yang di dalam dirinya begitu tebal nilai-nilai kemanusiaan; sebaliknya di dalam diri segelintir manusia hari ini, kita melihat nilai itu semakin menipis, malah menebal pula sifat-sifat kebinatangan.

 

Layan suami seperti “pelacur kelas pertama” agar rumah tangga bahagia? Hurm, benarkah? Kenyataan di atas membuatkan minda kerdil saya lumai dek diterjah pelbagai persoalan. Antaranya:-

  1. Sudah tidak ada benda lain lagikah di dunia ini yang boleh dijadikan model untuk rumah tangga bahagia hingga golongan pelacur diangkat sebagai contoh terbaik?
  2. Apakah definisi “pelacur” dari segi bahasa dan syarak?
  3. Apakah pula definisi “pelacur kelas pertama”?
  4. Apakah perbezaan di antara “pelacur biasa” dengan “pelacur kelas pertama”?
  5. Apakah ruang lingkup tugas atau pekerjaan seorang pelacur?
  6. Apakah hukum menjadi pelacur?
  7. Apakah hukum mereka yang menyokong atau terlibat dalam kegiatan pelacuran samada secara langsung maupun tidak langsung?
  8. Apakah persepsi/sensitiviti masyarakat terutamanya yang beragama Islam terhadap perkataan “pelacur”?
  9. Apakah kedudukan “pelacur” dari segi undang-undang di negara kita? Diiktiraf?
  10. Wujudkah dokumentasi “layanan pelacur ke atas pelanggan” dalam apa jua bentuk; rencana, artikel, rakaman dan lain-lain, yang memperincikan “layanan di ranjang” untuk tontonan orang ramai?
  11. Jika jawapan kepada soalan 10 di atas adalah “tidak wujud”, lalu, bagaimanakah pihak yang menyarankan agar suami dilayan seperti “pelacur kelas pertama” tahu akan hebatnya “layanan” tersebut? Melainkan jika; penyaran adalah pelacur itu sendiri, suami penyaran pernah melanggani pelacur lalu menceritakannya secara detail kepada penyaran (suami balik cerita kat isteri?), pelacur sendiri bercerita kepada penyaran (penyaran berkawan dengan pelacur/penyaran wartawan/penyiasat persendirian/pengkaji pelacur?), penyaran pernah menonton video “layanan pelacur”, penyaran melihat dengan mata sendiri bagaimana pelacur melayan pelanggan, penyaran menemu bual suami-suami atau lelaki-lelaki yang pernah melanggan pelacur (suami atau lelaki mana yang bangga sangat melanggan pelacur hingga dengan secara suka rela memperihalkannya pula kepada orang lain?)?

Selama saya hidup di atas muka bumi ini, sejak dari mula pandai berfikir (mungkin dalam usia 4 atau 5 tahun) hingga ke hari ini, saya tidak pernah mendengar orang mengaitkan pelacur atau pelacuran dengan hal-hal yang positif, melainkan negatif belaka. Pertama, menjadi pelacur itu hukumnya adalah haram kerana ia melibatkan zina yang merupakan dosa besar. Rujukan “pelacur” sebagaimana yang difahami masyarakat sekian lama ialah “perempuan yang mengambil upah melayan/melakukan hubungan seks/memuaskan nafsu seks, lelaki yang bukan suaminya”. Bila bukan dengan suami maka ia menjadi zina yang haram dan hina. Dalam Islam, larangan terhadap zina itu jelas hingga usahkan berzina, mendekati zina sahaja sudah berdosa. Islam menegah bukan sahaja zina, bahkan juga bibit-bibit zina. Larangan atau tegahan tersebut sudah cukup untuk menggambarkan betapa hinanya zina dan buruknya akibat atau kesan daripada berzina. Macam mana pula pelacur yang sah-sah tidak dapat dipisahkan erti atau dunianya daripada zina itu dijadikan perumpamaan atau model untuk rumah tangga bahagia? Layanlah suami seperti pelacur melayan pelanggannya wahai sang isteri andai kamu mahu agar rumah tanggamu aman dan jitu? Begitu?

Saranan di atas adalah saranan yang dangkal. Mengambil yang hina sebagai model untuk sesuatu kebaikan adalah pincang. Mengapa memilih pelacur, mengapa tidak memilih atau menjadikan isteri-isteri rasulullah sebagai model? Atau sekurang-kurangnya isteri-isteri kepada mereka yang rumah tangganya diketahui cemerlang dan berkualiti? Mengapa pelacur? Hasil yang diperolehi daripada menjadikan pelacur sebagai model rumah tangga sebenarnya adalah kehancuran, bukan kebahagian! Marilah bersama memikirkannya wahai pembaca. Pelacur melayan pelanggan semata-mata kerana wang, kerana melacur itu adalah sumber pendapatannya, adalah pekerjaannya. Kerana itulah juga dia dipanggil pelacur. Adakah pelacur melayan pelanggan dengan kasih sayang meskipun berlaku hubungan seks sesama mereka? Hubungan seks tidak semestinya berlaku atas dasar kasih sayang. Analoginya, seorang perogol yang berjaya merogol mangsanya dalam erti kata berjaya melakukan hubungan seks dengan mangsanya, adakah hubungan itu terjadi atas dasar kasih sayang? Atas dasar kewajipan? Atas dasar tanggung jawab? Pelacur hanya mempersembahkan tubuh badannya samata untuk dinikmati lelaki tetapi tidak jiwa dan hati. Pelacur tidak melayan lelaki dengan roh, dengan hati, dengan jiwa, sebaliknya yang diberi hanya tubuh semata-mata. Adakah kita mahu menyarankan kepada isteri agar melayan suami begitu? Pelacur hanya akan “berkhidmat” jika diberikan wang, jika tidak, berputih mata sahajalah. Jika isteri juga menetapkan wang sebagai syarat untuk “berkhidmat”, makin tinggi bayaran, makin baik “servisnya”, no money no “servis”, maka tidakkah itu akan menghancurkan rumah tangga? Seperkara lagi, Islam yang syumul telah mengajar penganutnya tentang akhlak dan adab-adab dalam melakukan hubungan suami isteri. Adakah pelacur melayan pelanggannya mengikut adab-adab yang disarankan agama? Kalau sudah pelacur itu sendiri adalah pekerjaan yang tidak diterima agama, yang tidak bermoral, yang tidak bermaruah, maka hingga ke tahap mana kita boleh bertanggapan bahawa mereka yang melacur itu mempunyai akhlak, moral dan adab yang baik? Kalau sudah mahkota atau maruah diri dijadikan bahan dagangan, maka di manakah kemuliannya? Menggalakkan isteri melayan suami seperti pelacur adalah suatu malapetaka kepada rumah tangga. Layanlah suami seperti Khadijah atau Aisyah melayan Rasulullah!

Usulan dangkal itu juga telah mencetuskan beberapa persoalan lain seperti; Adakah rumah tangga dibina atas dasar seks semata-mata? Adakah fungsi isteri tidak lebih daripada hanya menjadi pemuas nafsu seks suami semata-mata? Adakah kebahagian atau kerukunan rumah tangga hanya boleh dicapai dengan kepuasan seks semata-mata? Adakah seks adalah segala-galanya? Ketidak-puasan seks mungkin boleh menjadi bibit perpecahan dalam rumah tangga, itu diakui. Namun, seorang suami yang menjadikan seks sebagai alasan perpisahannya dengan isteri jelas menunjukkan bahawa tujuan beliau mendirikan rumah tangga juga adalah semata-mata kerana seks . Tidakkah si suami itu terfikir, mengapa agaknya si isteri dingin di ranjang? Tidakkah dia berusaha untuk mencari sebab atau puncanya terlebih dahulu sebelum dengan angkuh menyalahkan si isteri atau meninggalkannya? Adakah kedinginan isteri diranjang boleh dijadikan alasan untuk si suami mencari hiburan di luar seperti melanggan pelacur, berzina dengan perempuan simpanan atau dengan mana-mana perempuan murahan? Suami bukanlah seorang budak kecik yang tidak tahu halal haram sesuatu perbuatan. Adakah logik geram dengan isteri keluar cari pelacur? Tidak puas hati dengan layanan isteri, lari buat benda haram? Kalau betul sekalipun tidak puas dengan isteri, perlu ke cari pelacur? Apa, sudah tidak ada jalan lain lagi kah? Kenapa yang haram juga yang dicari? Dan, persoalan paling utama ialah; Mengapa suami tidak berusaha untuk menjadi suami yang soleh terlebih dahulu sebelum mengharapkan isterinya menjadi isteri yang solehah? Mengapa suami tidak terlebih dahulu melayan isteri seperti seorang puteri jika mahu isterinya pula melayannya  seperti bidadari? Kita nak isteri layan kita macam bidadari, yang kita pula layan isteri tak ubah seperti hamba abdi? Bolehkah? Tahukah para suami bagaimana Rasulullah melayan isteri-isteri baginda?

Kesimpulannya, menyarankan kepada golongan isteri agar melayan suami seperti pelacur, tidak kiralah kelas apa pelacur itu (makin tinggi kelas pelacur bukankah bermakna makin senior atau makin jalang pelacur itu?) adalah salah sama sekali. Usulan yang dangkal! Model terbaik untuk kita sebagai umat Islam dalam apa jua perkara termasuk rumah tangga adalah Rasulullah dan para isteri baginda. Pelacur, lebih-lebih lagi kelas pertama? Nauzubillahiminzaalik! Bak kata mak bedah dalam drama swasta; simpang malaikat 44!

http://www.bharian.com.my/bharian/articles/Layanmacampelacur_/Article/

Timun Sepanyol mengandungi virus E-Coli? Mungkin ia dan mungkin juga tidak. Negara German bersungguh mengiakan, manakala Sepanyol pula bersungguh menafikan. Sebaliknya, Sepanyol mengatakan bahawa tuduhan German itu adalah merupakan satu propaganda yang sengaja di adakan untuk melumpuhkan ekonomi negara Sepanyol. German pula berkeras mengatakan bahawa produk sayur-sayuran Sepanyol memang tidak selamat untuk dimakan dan ia patut dipulau oleh negara-negara lain. Akibatnya, beberapa negara, antaranya Qatar telah menghentikan serta-merta  sayur-sayuran import dari Sepanyol. Negara Sepanyol telah menuntut agar German memohon maaf dan menarik balik tuduhan tersebut, namun respon yang diperolehi adalah di sebaliknya apabila wakil dari German berkata; “Tidak ada sebab mengapa kami perlu memohon maaf, sebaliknya mereka di luar sana perlu berterima kasih kepada kami atas pendedahan ini”.

Sebagai langkah berhati-hati, buat sementara ini aku dan keluargaku tidak akan memakan timun malah akan mengurangkan memakan sayur-sayuran lain juga seperti tomato, kobis dan salad yang didakwa German turut mengandungi virus E-Coli. Namun, untuk tidak memakan langsung sayur-sayuran  seperti tidak patut pula. Oleh itu, setiap sayur yang dibeli akan dibasuh sebersih-bersihnya dahulu dan dimasak sebelum dimakan. Itulah antara langkah yang boleh diambil untuk mencegah daripada terjadi perkara-perkara yang tidak diingini. Selebihnya, pada Allah kami berserah.

 

Antara sayur-sayuran yang dijual di Valladolid.

 

Samada buah atau sayur, pastikan ia dibasuh bersih.

Aku: Hurm, dengar sini semua. Hari ni mama nak buat roti canai, ok?

Kakak: Hah? Apa? Roti canai??

Habibah: Mama nak buat roti canai??

Abdullah: Aarr? Roti canai??

Papa: Roti canai??

Aku: Aarr? Nape semua terkejut? Gembira sangat, eiy?

Kakak: Betul mama nak buat roti canai?

Aku: Betul!

Habibah: Biar betul?

Aku: Betul!

Kakak: Mama nak buat roti canai? Oh, tidakk!!

Habibah: (geleng-geleng kepala)

Abdullah: (tutup muka)

Papa: (senyum)

Aku: Aarr?? Apa pasal kau orang semua ni? Mengalahkan nampak hantu!

Kakak: Mama, sungguh mama nak buat roti canai?

Aku: Yup! Hari ni mama tak masak nasi, kita makan roti canai.

Kakak: Alamak!! Kalau sungguh bagai dikata, makan bola besbol lagi lah kita! (pandang adik-adiknya dan papa)

Habibah & Abdullah: (tunduk, geleng-geleng kepala)

Papa: Alaa, kasi can lah kat mama, mana tau hari ni kita berpeluang makan bola rugbi lak! Hak hak hak … (gelak sinis)

Aku: Ooo, takpe, takpe, kita tengok nanti, bola besbol ke, bola apa. Apa-apa pun sebelum mama mula menguli, sain kontrak dulu, kena makan sampai habis, ok?

Kakak, Habibah, Abdullah: Hahh???? (gigit jari)

Papa: Azab! (tepuk dahi)

 

Nota:-

Tak pernah seumur hidupku aku buat roti canai. Yelah, perlu apa bersusah payah buat kalau dah kedai roti canai bersepah di sana sini, order dan bayar aje. Namun, bila dah terdampar jauh di kota Valladolid yang apa pun takde ini, terpaksalah aku buat sendiri bila rasa nak makan apa-apa, termasuklah bila meroyan nak makan roti canai. Pertama kali buat, ermm hasilnya agak dramatik, sekeluarga termasuk aku yang kebuluran dari pagi, terpaksa makan bola besbol. Roti canaiku tak boleh ditebar maka terpaksa digoreng bulat-bulat yang kerasnya ermm, macam bola besbol, itu pasal di panggil bola besbol. Cubaan kali kedua iaitu pada hari dialog di atas berlangsung, berakhir dengan kami sekeluarga terpaksa makan kulit karipap selama seminggu, yelah sekali uli sekilo. Huhu. Namun aku tak putus asa, aku cuba lagi kali ketiga. Alhamdulillah, walaupun tak juga jadi roti canai, tapi ok sikitlah bila ia menjadi kueh cakoi yang ermm agak keras, hehe. Tetapi, betullah kata orang, nak seribu daya, usaha tangga kejayaan. Cubaan kali keempat mendatangkan hasil bila akhirnya dapat juga kami sekeluarga memakan roti canai yang boleh tahan enaknya hasil air tanganku sendiri di kota Valladolid, Sepanyol. Dan yang paling manis, sah-sahlah aku dah cipta 2 rekod dunia iaitu orang Melayu pertama di dunia buat roti canai di Valladolid dan sebelumnya orang Melayu pertama di dunia buat roti canai tak jadi di Valladolid! Bravooo….

 

Dah siap diuli

 

Kemudian, dibebolakan.

 

Di hidang untuk santapan sekeluarga.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...