Mimi sudah lebih dari sekali kau mengirimkan kepadaku itu dan ini rempah ratus, kerepek dan beras pulut idamanku membuatku tak putus terpinga mengapa kau lakukannya?
Mimi Aku bukan seorang teman cuma bekas seorang kawan yang terpisah denganmu, oleh keadaan berpuluh tahun tidak bertemu jumpa-jumpa di muka buku setelah engkau dan aku masing-masing bergelar ibu.
Mimi Bila aku bertanya, mengapa kau lakukan ini? Jawapanmu menyentuh nurani. “saya cuma mahu awak gembira, dan bahagia di kejauhan sana!” Oh, siapa aku padamu mimi? saudara? keluarga? siapa? cuma bekas seorang kawan yang tak punya apa-apa.
Mimi di hari kirimanmu sampai sampulnya ku relai talinya ku lerai isinya ku gapai selamat semua tak ada yang terburai.
Mimi aneh bukan? sejauh itu ia berjalan tiba di tangan tanpa sedikit pun kecelaan. Mengapa? kerna kiriman yang baik dari niat yang cantik Allah permudahkan jalannya Allah segerakan tibanya Allah berkati Allah rahmati.
Mimi hasratmu telah Allah tunaikan bila mana aku amat kegembiraan menerima ia sebagai pemberian dari bekas seorang kawan yang DIA muliakan.
Mimi dahulu, aku kawanmu sebelum ini, aku bekas kawanmu tetapi hari ini engkau sahabat yang maha hebat. Setiap saat, doa ku panjat agar dirimu sentiasa dirahmat agar silaturrahim ini sentiasa diberkat agar nama kita di syurga terpahat. Amin.
Valladolid Time
Comentarios Recientes