Suatu petang, di ruang makan rumahku. Semua orang sudah mengambil tempat duduk masing-masing di meja makan, kecuali, Habibah (anak dara keduaku).

 

Aku: Eh, mana Habibah?

Kakak: Dalam bilik.

Aku: Habibah!

Habibah: (sepi)

Aku: Habibah!!

Habibah: (sepi)

Aku: Habibah!!! (suara ditinggikan)

Habibah: (sepi)

Aku: Eh, mana pergi budak ni? Habiiiiiiibah! (7 harakah)

Habibah: (sepi)

Aku: Habibah, mama panggil ni, tak menyahut berdosa!

Habibah: (berterusan sepi)

Aku: Apasal tak menyahut ni? Habiiiiiiiiiiiiiiiiiiibah!! (15 harakah)

Habibah: (sepi)

Aku: Habibah, mama panggil tak jawab, eh?

Habibah: (sepi)

Aku: Ok, tak nak menyahut takpe, mama masuk bilik tahulah dia (ugut-ugut ayam).

Habibah: Ya, mamaaa! Adik takleh jawab sebab adik tengah solat, baru rakaat kedua.

Aku: Aarr? Habibah?

Habibah: Adik kata adik tengah solat, macam mana nak jawab!

Aku: Aarr? Dah sudah belum solatnya? (konfius)

Habibah: Belum! Tu la pasal adik tak jawab, baru rakaat kedua.

Aku: Aarr? Tengah solat? Dah tu kenapa adik jawab? Batallah solat.

Habibah: Dah tu adik tak jawab, mama panggil jugak?

Aku: Laa, kalau tengah solat, tak perlulah jawab.

Habibah: Dah, kalau tak jawab, mama marah!

Aku: Laa, apa nak marah kalau adik memang tengah solat.

Habibah: Tadi adik dengar mama kata “tahulah dia”, adik takut!

Aku: Ishk, mana mama tahu adik tengah solat? Kalau mama tahu, tak mungkin mama cakap macam tu.

Habibah: Itulah yang adik bagitahu tu, “adik tengah solat”! Ok, adik nak sambung rakaat ketiga lak, tadi baru dua.

Aku: Aarr? Adik!!

Habibah: (terus sambung solat, terkumat kamit mulutnya)

Aku: ????

 

Nota:-

Peristiwa di atas telah mengingatkanku kepada zaman kanak-kanakku dahulu. Suatu hari ketika aku sedang solat, ayahku telah memanggilku bertalu-talu. Kalau tak silap aku, ketika itu aku bersekolah dalam darjah enam. Panggilan pertama, kedua dan ketiga tidak disahut olehku kerana aku memang ingat pesan ayah bahawa ketika solat kita dilarang bercakap-cakap hatta menyahut panggilan sekalipun. Jika tidak, solat batal. Namun, panggilan keempat telah disahut olehku tanpa ragu-ragu kerana ia mengandungi ugutan yang lebih kurang serupa dengan ugutan yang telah aku kenakan terhadap anakku. Ayahku yang pada mulanya berang kerana panggilannya tidak disahut, telah ketawa berdekah-dekah. Manakala aku pula, terpinga-pinga. Dalam hati berkata; “Hai, menyahut salah, tak menyahut salah, menyahut kena gelak, tak menyahut kena tempelak”. Aku tidak pasti, adakah anakku juga turut mengatakan benda yang sama terhadapku di dalam hatinya? Yang nyata, anakku lebih “rock” dariku kerana dia telah dengan yakin dan selambanya menyambung semula solatnya yang menurutnya masih berbaki 2 rakaat, manakala aku dahulu telah mengulang semula solat daripada mula dalam keadaan bengang dan geram. Hahaha…

31. May 2011 · 1 comment · Categories: Dialog

Perbualan di antara anak dara dengan mak dara (dara? erm, dara!) di rembang petang.

 

Kakak: Mama, bila kakak besar besok-besok, kakak kena pakai tudung tak?

Aku: Kena. Pasti!

Kakak: Tapi cekgu cakap kalau pakai tudung tak nampaklah rambut yang cantik.

Aku: Memang tak nampak.

Kakak: Kenapa kita kena pakai tudung mama?

Aku: Tuhan suruh!

Kakak: Kenapa Tuhan suruh kita pakai tudung?

Aku: Cuba kakak fikir, kenapa agaknya?

Kakak: Entah!

Aku: Anak mama kan bijak, takkan tak boleh fikir?

Kakak: Mm, entah!

Aku: Ok, jawab soalan-soalan mama, boleh?

Kakak: Boleh!

Aku: Mama perempuan muslim, kan?

Kakak: Yup!

Aku: Katakanlah, mama duduk dalam kalangan perempuan-perempuan bukan Islam dalam satu dewan. Apa yang membezakan mama dengan mereka?

Kakak: Mama pakai tudung, mereka tidak.

Aku: Pandai.

Kakak: (senyum)

Aku: Katakanlah, mama duduk dalam satu dewan yang penuh dengan lelaki, mama sorang je perempuan. Apa yang membezakan mama dengan mereka?

Kakak: Mama pakai tudung, mereka tidak.

Aku: Pandai.

Kakak: Hihi, takkanlah lelaki nak pakai tudung.

Aku: Tapi kalau mama tak pakai tudung, pakai pula seluar, rambut pendek, dan berada di posisi membelakangi kakak. Agak-agaknya senang tak kakak nak bezakan di antara mama dengan lelaki-lelaki tersebut?

Kakak: Mm, susah sikitlah, kalau tengok dari depan mungkin..

Aku: Ya, mama faham apa yang kakak maksudkan. Pandai.

Kakak: Hihi, tapi ada juga perempuan yang badan dia sebiji macam lelaki.

Aku: Haa, tula pasal, kalau tak pakai tudung, tak ada bezalah dia dengan lelaki, kan?

Kakak: (angguk-angguk kepala)

Aku: Soalan seterusnya, kakak tahu disko, kelab malam, pup, kan?

Kakak: Tahu! Tempat-tempat hiburan.

Aku: Bagus tak tempat-tempat macam tu?

Kakak: Tak!

Aku: Kenapa?

Kakak: Sebab ada rokok, ada arak, ada dadah, ada judi, ada musik, ada tarian, ada lelaki dan perempuan peluk-peluk, buang masa dan buang duit.

Aku: Bijak!

Kakak: Hehe (sengeh dipuji).

Aku: So kakak rasa, perempuan bertudung sesuai tak masuk ke tempat-tempat macam tu?

Kakak: Erm, tak sesuai langsung!

Aku: Yup, tak sesuai. So, tudung boleh membantutkan keinginan kita untuk ke tempat-tempat begitu sekaligus mencegah kita daripada kemungkinan terjebak ke lembah maksiat.

Kakak: Oo (angguk-angguk kepala).

Aku: Kakak tengok, tudung sesuai tak dipakai dengan baju yang seksi, yang terdedah sana sini?

Kakak: Eiii, mana sesuai! (cebik bibir)

Aku: Yup! Tak sesuai. Maknanya, tudung mencegah kita daripada berpakaian seksi seterusnya menyelamatkan kita daripada fitnah dan bala yang lebih besar, seperti dicabul, dirogol dan sebagainya.

Kakak: Oo (takjub hingga ternganga).

Aku: Dan banyak lagi hikmah-hikmah lain.

Kakak: Apa dia hikmah-hikmah lain tu mama? Beritahulah, kakak nak tahu.

Aku: Bagus! Anak mama nak tahu benda baik, mama suka.

Kakak: (senyum comel)

Aku: Tudung juga boleh menyelamatkan kita daripada menjadi bahan ejek orang lain.

Kakak: Aarr? (berkerut dahi)

Aku: Katakanlah, kakak ada sebarang kecacatan di kepala, rambut semulajadi botak, rambut tak cantik, atau bentuk kepala pelik atau ada kudis besar samada di kepala atau di leher, Kakak rasa malu tak nak keluar rumah?

Kakak: Malu! Nanti orang ejek?

Aku: Yup, malu. Sudah fitrah manusia apabila ternampak benda yang pelik, mereka akan memandang dengan penuh jelek. Kita tak suka orang ejek kita kan?

Kakak: Yup, tak suka sangat!

Aku: Tapi kalau kita pakai tudung, segala kecacatan dan ketidak-sempurnaan itu dapat disembunyikan sekaligus mengelak orang ramai daripada mengejek.

Kakak: Tapi, orang lelaki yang kepalanya cacat? Macam mana? Takkan nak kena pakai tudung juga?

Aku: Soalan yang bagus. Anak mama memang pandai.

Kakak: ??? (tak sabar nak tahu).

Aku: Sayang, Allah mencipta lelaki dengan mental dan jiwa yang jauh berkali ganda kuatnya daripada wanita. Secara umumnya lelaki lebih tahan diejek berbanding wanita. Jiwa lelaki tidak sesensitif dan selembut jiwa wanita. Lelaki tidak mudah menangis dan lebih kental berbanding wanita.

Kakak: Oo (mulut terpelohong).

Aku: Dengan memakai tudung juga, rambut terhindar daripada sinar matahari sekaligus menghindar ia daripada rosak dan kusam. Bila rambut kekal cantik, suami tengok pun suka dan bertambahlah sayang, kan?

Kakak: Hihihihi (malu-malu, tutup mulut).

Aku: Sekarang kakak faham kenapaTuhan suruh wanita bertudung?

Kakak : Faham!

Aku: Beritahu mama, apa kakak dapat dengan bertudung?

Kakak: Dapat pahala, dapat masuk syurga!

Aku: Yup! Dah tentu.

Kakak: (senyum mewek)

Aku: Apa faedah kakak dapat dengan bertudung?

Kakak: Mm, bila kakak pakai tudung, orang lain boleh bezakan kakak dengan perempuan bukan Islam. Bertudung juga boleh membezakan kakak dengan lelaki. Kalau kakak pakai tudung, takkanlah kakak tergamak nak masuk disko? Isskk, nauzubillah! Kakak juga tak akan pakai seksi jika bertudung sebab ia nampak pincang. Bila kakak tak pakai seksi, kakak terselamat daripada dikacau lelaki. Tudung juga boleh menyembunyikan kudis-kudis di kepala atau leher atau kecacatan di rambut yang boleh mengundang perhatian orang. Kalau pakai tudung, rambut kakak akan terpelihara daripada matahari, so tak cepat rosak. Bila rambut kakak cantik, suami kakak saaayanggg sangat dekat kakak. Opss, (tutup mulut, malu bila sebut suami).

Aku: Pandai! Anak mama memang pandai.

Kakak: Tapi mama jangan salah sangka pula, kakak taknak kahwin lagi tau (serius).

Aku: Eh, ya ka? Bukan dah ada boypren? (provokasi)

Kakak: Maaaaammaaaaaaaaaa!!!! (nak nangis)

Aku: Ok! Kecik lagi mana boleh kahwin?

Kakak: (senyum, tak jadi nangis)

Aku: Kesimpulannya, tudung mempunyai sejuta hikmah. Tuhan suruh kita bertudung sebab Tuhan amat sayangkan kita. Mungkin ada banyak lagi himah bertudung yang akal kerdil kita tidak sampai untuk memikirkannya. Tapi, samada kita nampak atau tidak hikmahnya, ia tetap wajib dilaksana kerana ia merupakan perintah dari Tuhan. Ingat, ia perintah dari Tuhan! Mama bertudung bukan sebab papa, bukan sebab tok atau tokki. Mereka cuma menyampai dan mengingatkan sahaja, suruhan itu datangnya dari Tuhan yang Esa. Samalah juga dalam konteks mama dengan kakak. Mama cuma menyampaikan apa yang Tuhan suruh kerana kakak adalah anak mama, amanah Tuhan kepada mama. Ok, anak mama bila besar nanti kena pakai tudung. Taknak pakai toksah jadi anak mama, boleh?

Kakak: Ok, kakak memang nak pakai tudung cuma kat sini cekgu tak bagi pakai kat sekolah.

Aku: Takpelah, nak buat macam mana, lagi pun kakak kecil lagi, belum baligh lagi.

Kakak: Ok, mama. Kakak nak mandi. Te quiero (I love u).

Aku: Yo también, te quiero muchísimo (mama pun, saaayang sangat-sangat kat kakak).

Kakak: (memelukku erat)

 

Nota:-

Ketika di tanah air dahulu, kepala kedua orang anak dara kecilku tidak pernah lekang dari tudung. Dalam rumah hatta tidur pun mereka pakai tudung. Pada masa itu mereka berumur 8 dan 7 tahun, bersekolah di sekolah rendah agama pintar. Ketika mula datang ke Sepanyol, mereka juga memakai tudung dan berhasrat untuk terus memakainya di sekolah. Malangnya sekolah di sini tidak membenarkan kanak-kanak memakai tudung langsung, malah skaf kecil juga tidak dibenarkan. Memandangkan mereka berdua masih kecil (8 & 9 tahun), maka tidak ada masalah untuk dipatuhi peraturan itu demi untuk membolehkan mereka bersekolah dan  mendapat pendidikan seperti kanak-kanak lain. Sekolah swasta lagi teruk, bukan setakat tidak boleh memakai tudung malah semua pelajar diwajibkan mengikuti kelas agama kristian. Di sekolah.-sekolah kerajaan, kanak-kanak Islam dikecualikan daripada mengikuti kelas agama kristian.

Adapun kakak, adalah anakku yang sulong yang amat gemar berdialog dan berdebat denganku. Sikap suka bertanya dan suka mempersoalkan sesuatu yang ada di dalam dirinya sejak dari kecil telah menjadikannya seorang yang matang berfikir meskipun berbadan kecil dan secara sepintas lalu dia dilihat seperti seorang yang suka terpinga-pinga.

30. May 2011 · 2 comments · Categories: Dialog

 

 

Abdullah = 4 tahun

Aku = Biarlah rahsia!

 

Abdullah: Mama, esok kita pergi Itali nak?

Aku: Aarr?

Abdullah: Kita pergi Itali nak?

Aku: Apa? Esok hari ahad, isnin Abdullah sekolah.

Abdullah: Yelah, kita pi kejap pastu kita balik arr..

Aku: Mana sempat Abdullah.

Abdullah: Sempat!

Aku: Aarr? Sempat?

Abdullah: Sempat, Abdullah rasa sempat.

Aku: Aarr? Nak pergi naik apa? Mama takde helikopter peribadi.

Abdullah: Laa kita pergi dengan kapal terbang lah atau keretapi, macam selalu kita travel?

Aku: Aarr? Mana sempat nak balik semula pada hari yang sama?

Abdullah: Abdullah kata sempat, sempatlah! (beria).

Aku: Sayang, dengar sini. Mula-mula, naik bas ke stesen keretapi Valladolid. Lepas tu, naik keretapi ke Madrid. Lepas tu, keretapi bawah tanah ke airport. Lepas tu, naik kapal terbang ke Itali. Lepas tu, ambil teksi ke hotel. Lepas tu, masuk hotel. Lepas tu, terus check out. Lepas tu, ambil teksi  ke airport. Lepas tu, naik kapal terbang semula ke Madrid. Lepas tu, ambil keretapi bawah tanah. Lepas tu, naik keretapi ke Valladolid. Lepas tu, ambil bas ke rumah. Susah kan? Mana sempat dalam satu hari?

Abdullah: Sempat! (tak percaya)

Aku: Aarr? Abdullah ingat Itali tu dekat ke?

Abdullah: Jauh? (hairan)

Aku: Jauh!

Abdullah: Abdullah tengok dekat jerr.. (bersungguh).

Aku: Aarr? Abdullah tengok kat mana?

Abdullah: Kat peta!

Aku: Abdullah? (tutup mulut, nak gelak)

Abdullah: ????

 

Nota:-

Memang aku nak ke Itali pun, tapi…, nantilah. Bukan jauh sangat pun dari Spain. 2 jam flight, sampailah. Insyaallah kaki kembang (saiz 39) ku ini akan memijak jua bumi rom. Amin.

29. May 2011 · 2 comments · Categories: Dialog

 

 

Suatu petang di hari sabtu. Aku baru saja nak buka laptop setelah bersantai-santai di depan tv, bila…

Kakak: Mama!

Aku: Yup!

Kakak: Mama!! (volume ditingkatkan)

Aku: Yup!! (turut meningkatkan volume)

Kakak: “Yup” tu apa maknanya mama?

Aku: Yup! Takde makna.

Kakak: Nape orang sekarang jawab “yup” bila dipanggil?

Aku: Yup!

Kakak: Nape tak jawab “ya”?

Aku: Yup!

Kakak: Haa, kan dah kata?

Aku: Aarr? Kata apa?

Kakak: Tu? Yup, yup, yup ..

Aku: Yup! Eh, sori (tutup mulut dengan tangan).

Kakak: Huh, mama rupanya pelopor.

Aku: Yup! Eh, alamak. Sori sekali lagi, tak sengaja (tutup mulut dengan tangan sekali lagi).

Kakak: Entah apa-apa arr mama ni (jebek geram).

Aku: Yup! Entah apa-apa, apa?

Kakak: Yup, yup tu, tak fahamlah kakak.

Aku: Oo, yup! Tak perlu faham, itu evolusi slanga yang tidak diketahui siapa pemula dan dari mana ia bermula. Yup!

Kakak: Alaa lagilah kakak tak faham! (mula nak menangis)

Aku: Aarr? Apa sebenarnya yang kakak nak tanya mama? Apa yang kakak nak tahu sebenarnya? (panik)

Kakak: Kakak lapar, bila mama nak masak? (sambil menangis)

Aku: Laa, cakaplah lapar. Eh, tapi, apa kaitan lapar dengan “yup”?

Kakak: Yup! Dah kakak panggil mama sahut “yup”. Kat FB pun ramai orang tulis “yup”. Yup sana yup sini.

Aku: Oo, itu gaya menyahut tak formal yang terkini.

Kakak: Yup!

Aku: Ok, now nak suruh mama masak apa?

Kakak: Yup! Apa-apa jelah.

Aku: Eh, mana boleh apa-apa jelah. Mama tak pernah dengar pun makanan nama “apa-apa jelah”.

Kakak: Mamaaaaaaaaaaaaa!!!! (geram sangat)

Aku: Yuuuuuuuuuppppppp!!! (geram-geram ayam)

Kakak: Mama, cepatlah .. (menangis)

Aku: Dah tu cakaplah nak makan apa? Nanti mama masak tak makan pula, tak sukalah, tak sedaplah, tak ummplah, macam-macam.

Kakak: Yup!

Aku: Cakaplah..

Kakak: Yup! Telur mata kerbau ngan kicap.

Aku: Aarr? Itu aje? Tak berbaloi pakai apron.

Kakak: Yup!

Aku: Ayam tak nak?

Kakak: Yup! (geleng-geleng kepala)

Aku: Udang?

Kakak: Yup! (geleng makin laju)

Aku: Ikan?

Kakak: Yup! Tak mau.

Aku: Apa hal yang semua yup, yup, yup ni?

Kakak: Yup! (angkat bahu, lari masuk bilik)

Aku: ???? (tangan pegang sodek kayu)

 

Nota:-

Anak-anak adalah cerminan diri kita. Mereka adalah golongan peniru agung yang sangat cekap meniru segala tutur kata dan tindak tanduk kita. Mereka tidak melakukan apa yang disuruh, mereka melakukan apa yang diperhati. Ku perhatikan anak-anakku, jika disuruh membaca, mereka buat derk aje. Sebaliknya, jika aku sibuk di meja study ku, membaca dan sebagainya, secara automatic mereka akan ke meja study mereka, membaca dan menelaah tanpa perlu diperintah.

Anak-anak adalah cerminan diri kita, peringatan kepada diri sendiri yang sering lupa.

28. May 2011 · 2 comments · Categories: Dialog

KLL = Kawan Lelaki Libya (Muslim)

Perbualan menerusi Yahoo Messenger di suatu Jumaat yang nyaman.

 

KLL: Salam.

Aku: Salam.

KLL: Pss, apa khabar?

Aku: Khabar baik. Awak?

KLL: Baik.

Aku: Famili? Isteri, baby, semua sihat?

KLL: Sihat semuanya.

Aku: Alhamdulillah.

KLL: Mm, awak..

Aku: Apa cita?

KLL: Nak tanya sikit?

Aku: Apa?

KLL: Sebelum mendaftar tesis dahulu, awak buat apa dulu?

Aku: Proposal!

KLL: Oo. Panjang tak? Agak-agak dalam berapa muka surat?

Aku: Dalam 4,5 muka surat..

KLL: Awak punya?

Aku: 5 muka surat.

KLL: Oo. Kena tulis apa ek?

Aku: Tak tau ke?

KLL: Blurr ..

Aku: Tajuk, intro, penyataan masalah, objektif, bla, bla, bla ..

KLL: Oo. Awak ada salinan tak?

Aku: Salinan apa?

KLL: Salinan proposal awak.

Aku: Ada. Nape?

KLL: Send kat saya boleh?

Aku: Nape?

KLL: Nak tengok, nak buat contoh. Jangan bimbang, sure tak tiru punya, bidang kita kan tak sama?

Aku: Ok, tapi tunggu jap. Saya kena cari filenya dalam laptop ni dulu, banyak ni..

KLL: Ok, saya tunggu.

Aku: Nak sekarang?

KLL: Yup, supervisor suruh hantar besok lusa. Blur, tak reti.

Aku: Ok, tunggu, nak kena cari dulu.

KLL: Ok. Eh, hubby awak ada?

Aku: Takde.

KLL: Pi mana?

Aku: Masjid. Hari ni kan jumaat.

KLL: Lama dah pi?

Aku: Lama dah.

KLL: Hahahahaha…

Aku: Aarr? Nape gelak?

KLL: Awak ni lucu tau..

Aku: Apa yang lucu?

KLL: Lucu betul, hahahahahahahaha ..

Aku: Eh, panjangnya gelak, apa yang lucu sangat?

KLL: Suami pi masjid boleh, suami nak pi tempat lain tak boleh, hahahahahaha..

Aku: Aarr? Peliknya!

KLL: Apa yang pelik?

Aku: Sangat pelik! Kalau awak cakap camni tak pelik sangat; suami nak pi masjid tak boleh, pi tempat-tempat lain boleh lak.

KLL: Tang mana yang peliknya?

Aku: Hari ni kan hari jumaat, muslim lelaki kan kena sembahyang jumaat, jumaat kan kena sembahyang kat masjid, so apa yang lucunya? Dah memang wajib pergi masjid, kan? Takkan saya tak benarkan pula? Tempat-tempat lain, wajib atau haruskah pergi? Ini bukan negara kami, bukan kampung halaman kami. Dia bukan ada kawan, ada saudara mara pun kat sini. Nak kerja pun tak boleh. Lebih baik dia duduk di rumah, tengok anak-anak. Itu lebih afdal. Hari jumaat pula memang kena pi masjid kan? Sembahyang jumaat, kan? Tak timbul masalah boleh atau tidak!

KLL: Ok, ok cik puan. Erm, filenya mana? Dah jumpa?

Aku: Yang awak tu tak pergi masjid, kenapa? Tengah-tengah orang lain sedang berjumaat, awak duk chatting dengan saya. Hah? Isteri awak tak bagi?

KLL: Erm, hurm, saya rasa tak nak pergilah hari ni.

Aku: Boleh ikut rasa camtu? Bukankah kena pergi? Kecuali atas sebab-sebab yang tidak boleh dielakkan seperti hujan terlalu lebat, bencana alam, takutkan si piutang, ancaman bunuh dan sebagainya?

KLL: Erm, mm, ya saya tau, tapi.., eh, dah jumpa belum filenya?

Aku: Belum.

KLL: Lambatnya?

Aku: Ini semua salah awak. Gelakkan saya pasal suami pi masjid. Yang awak tu, tak segan silu pula berchatting dengan saya di kala muslim lain sedang kusyuk berjumaat di masjid?

KLL: Erm, ok. Lupakan. Saya minta maaf. Minta diri dulu ya.

Aku: Eh, file?

KLL: Erm, lain kalilah. Adiós.

Aku: Aarr? Adiós.

 

Nota:-

Kawan lelaki Libya (KLL) di atas adalah rakan sepengajianku di Universiti Valladolid. Beliau adalah orang arab Libya, berusia 37 tahun, sudah beristeri dan mempunyai dua orang anak. Meskipun dia dan aku mula mendaftar sebagai pelajar di Universiti Valladolid pada tahun dan semester yang sama, tetapi dia agak ketinggalan berbandingku kerana telah kantoi di tahun kedua. Ketika ini, beliau masih lagi terkial-kial dengan proposalnya sedangkan aku sudah jauh ke hadapan. Yea, pompuan menang!

PKS (Pakcik Kedai Sepanyol) adalah seorang pekedai runcit berusia 65 tahun. Aku adalah antara pengunjung setia kedainya kerana ia terletak berhampiran rumahku.

 

Aku: Hola, selamat petang pakcik. (senyum)

PKS: Hola, selamat petang. (senyum)

Aku: Saya nak reloard kad telefon.

PKS: Ok, berapa?

Aku: 10 euro.

PKS: Nombor?

Aku: 678905453

PKS: Kejap. Ok, dah.

Aku: Ini duitnya pakcik.

PKS: Terima kasih.

Aku: Sama-sama. Ok, pakcik, adiós, hasta luego (see you).

PKS: Eh, nanti!

Aku: Aarr? Ya, pakcik? Ada apa?

PKS: Bukaklah.

Aku: Aarr? Bukak apa pakcik? (suspen dan panik)

PKS: Bukaklah tudung tu.

Aku: Apa? Bukak tudung? (terkejut)

PKS: Ya! Bukaklah tudung tu.

Aku: Eh, nape lak? (buang tabiat ke apa pakcik ni)

PKS: Bukaklah tudung tu. Pakcik tengok anak ni tak cantiklah, tak comel pakai tudung. Lagipun, dah 2 tahun lebih anak kat sini, dah sampai masanya bukak tudung. Bukak, cantik. (tunjuk simbol best)

Aku: Nape? Menyusahkan pakcik ke?

PKS: Takdelah. Tapi, tak cantik anak pakai tudung. Bukak, bukaklah, comel tau nanti (beria).

Aku: Weii pokcik, dengor sining molek. Saya paka tudung ni bukang suka-suka, bukang saja-saja. Hok suruh saya paka tudung bukang menteri kesihatang, tapi Tuhan. Kalu perdana menteri suruh sekalipun tapi agama dok suruh, saya dok paka. Tapi tadok arohlah hok suruh tu, Tuhan. Pangkat Tuhan ngang saya, bukang kawang-kawang. Bakpe, saya paka tudung selama kening, nyusoh ke pokcik ke? Tudung duduk atah pale saya, bukang duduk atah pale pokcik. Saya beli tudung pong dok mitok pitih ngang pokcik seseng. Bende kaitang ngang pokciknyer? Gini pokcik, pokcik doksoh caralah ke saya, pokcik duduk jaga anok bini pokcik molek-molek sudoh, biar selamat, biar sempurna. Saya ning, bukang di bawoh tanggungjawak pokcik. Maka pokcik dok perlu ambik kisoh. Kang saya dok mari beli lasung keda pokcik kang. Dohlah keda pokcik duduk cerok, dok wape laku. Okey pokcik?

PKS: (kelu, tecengang, terpinga, garu-garu kepala)

Aku: Adiós pakcik.

Nak tahu kenapa PKS kelu dan terpinga-pinga? Kerana aku menghemburnya di dalam bahasa Terengganu pekat lagi ori.

 

Nota:-

Bertudung adalah antara perkara yang dipandang aneh di Valladolid. Kebanyakan orang Sepanyol faham, tudung dipakai wanita Islam kerana arahan suami, bukan Tuhan. Acap kali juga aku dipujuk agar menanggalkan tudung setiap kali keluar dengan kawan-kawan Sepanyol; “Eh, bukaklah tudung tu, suami awak kan takde.”

Antara faktor yang menjadikan mereka berfikiran begitu ialah jawapan yang diberi oleh wanita Islam sendiri yang tidak bertudung apabila dipersoalkan oleh orang Sepanyol; “Mengapa awak tak pakai tudung manakala dia pula pakai, sedangkan dua-dua Islam?” Yang tidak bertudung cepat-cepat menjawab; “Oh, sebab suami saya tak kisah, suami izinkan, dalam Islam kita kena ikut suami. Dia pakai sebab suami dia suruh!”

Aku sendiri telah mengalami pengalaman tersebut ketika menemani seorang rakan muslim yang tidak bertudung membeli belah di kota Valladolid. Perasaan sedih dan keciwa menyelubungi diri kerana apabila umat Islam sendiri naif dan menjawab dengan cara yang salah, maka gambaran yang diterima oleh orang bukan Islam terhadap Islam adalah buruk dan negatif.

22. May 2011 · 2 comments · Categories: Dialog

KS: Awak ni kan, ke hulu ke hilir dengan suami.

Aku: Eh biarlah, suami kita. Kalau berkepit dengan suami orang? Atau lelaki lain? Boleh?

KS: Maksud saya, tak boleh ke kalau awak ke mana-mana seorang?

Aku: Boleh!

KS: Dahtu?

Aku: Saya suka suami ikut, rasa lebih selamat dan selesa.

KS: Tapi sebab sebenarnya bukan kerana awak suka, tapi awak terpaksa, kan?

Aku: Yalah. Kerana nak keselamatan terjamin, terpaksalah bawa suami. Lebih terjamin daripada jalan sorang-sorang.

KS: Tapi, sebenarnya dia yang paksa awak, kan?

Aku: Aarr? Maksud awak?

KS: Dia yang nak ikut, kan? Dia yang paksa awak ajak dia, kan?

Aku: Eh, mana ada. Saya yang paksa dia. Saya tak selesa jalan sorang-sorang dan takut.

KS: Bohong!

Aku: Betul! Tapi kalau dia paksa pun, apa masalah? Dia berhak.

KS: Haa, kan dah kata. Dia yang tetapkan peraturan, kan?

Aku: Peraturan?

KS: Dia yang tentukan bahawa awak mesti ke mana-mana dengan dia, kan?

Aku: Ya, dan tidak!

KS: Kenapa ya dan tidak lak?

Aku: Ya, dalam konteks; sebagai suami dia ada hak ke atas saya. Tidak, dengan maksud; walaupun dia ada hak, tapi dia bukan jenis mengongkong.

KS: Betul ke tak mengongkong?

Aku: Laa, suami saya, saya tau la.

KS: Habis, yang ke hulu ke hilir dengan dia tu, apa?

Aku: Sebenarnya, saya yang nak dia temankan saya. Saya takut nak pi mana-mana sorang.

KS: Alasan! Apa nak takut?

Aku: Laa, Spain ni bukan kampung saya, bukan tanah tumpah darah tok nenek moyang saya, dah tentu saya takut.

KS: Takut apa?

Aku: Laa, saya kan orang asing kat sini, jalan sorang-sorang apa-apa hal kan susah?

KS: (cebik bibir)

Aku: Dah suami ada, baiklah jalan dengan suami. Lagipun suami tak kerja. Duduk rumah sorang-sorang pun bosan gak. Baik dia ikut saya.

KS: Tapi saya penuh yakin sebab sebenarnya ialah kerana dia mengongkong awak. Dominan ke atas awak. Dia tak nak lepaskan awak bebas buat apa yang awak suka. Dia tak bagi awak keluar dengan kawan-kawan awak, kan?

Aku: Tidak benar! Dia tidak pernah mengongkong saya, sebaliknya di sini, sayalah yang lebih banyak mengongkong dia. Maksud saya, kerana risaukan saya dan anak-anak, dia sanggup tidak keluar berpeleseran, malah setiap masa bersama saya.

KS: Ahh! Keadaan sebenar tidak begitu. Saya tahu sangatlah orang Islam ni. Saya dah berkawan lama dengan ramai orang Islam dan dah lama saya perhatikan kehidupan mereka. Lelaki Islam suka menindas wanita, suka mendominasi wanita dan memandang rendah pada wanita.

Aku: Oh, itu tidak benar, tidak benar sama sekali!

KS: Awak pun macam tu. Tengok, ke hulu ke hilir diikutnya awak. Hingga awak mai jumpa saya pun dia ikut. Tak boleh ke dia biarkan awak bebas melakukan aktiviti yang awak suka dan bebas keluar dengan siapa sahaja yang awak suka?

Aku: Aarr? Kalau dah seorang isteri boleh buat apa sahaja yang dia suka dan bebas pula keluar dengan siapa sahaja yang dia suka tanpa perlu merujuk suami, apa gunanya lagi suami dalam hidupnya? Apa maknanya lagi suami kepada dia? Apalah sangat fungsi suami? Untuk apa dia bersuami?

KS: Jika suami berhak ke sana ke mari sesuka hati, mengapa isteri tidak? Mengapa isteri perlu mendapat keizinan suami sedangkan tidak sebaliknya?

Aku: Siapa kata suami boleh keluar sesuka hati? Siapa cakap suami boleh buat sesuka hati? Agama mana mengajar begitu? Islam tidak begitu!

KS: Tapi itulah yang sering saya perhatikan dalam kehidupan keluarga Islam, dalam kehidupan rumahtangga Islam.

Aku: Awak perhatikan siapa? Keluarga mana? Bilangan mereka yang awak perhatikan itu cukup ke tidak untuk mewakili seluruh umat Islam? Peratusnya valid atau tidak untuk dibuat kesimpulan yang semua orang Islam begitu?

KS: Sudah berpuluh-puluh tahun, sejak dari muda lagi saya bergaul dengan orang-orang arab Morocco yang berhijrah ke sini. Saya sudah masak dengan perangai mereka.

Aku: Yang awak perhatikan itu adalah mereka yang berhijrah ke Sepanyol sahaja. Adakah awak turut memerhati atau mengkaji mereka yang tidak berhijrah, yakni, orang-orang Morocco yang duduk menetap di tanah air mereka sendiri? Seperti yang kita maklum, orang-orang Morocco yang berhijrah ke sini adalah daripada golongan berpendidikan rendah, atau dengan lain perkataan, mereka yang berstatus rendah. So, bolehkah dibuat kesimpulan atau digeneralisasikan apa yang awak nampak atau perhati itu ke atas seluruh umat Islam di dunia ini? Awak tak pernah tengok atau perhati kehidupan orang-orang Islam lain di negara-negara lain. Malah pemerhatian awak ke atas orang-orang Islam Morocco itu sendiri pun terhad kepada mereka yang berhijrah ke mari sahaja. Kehidupan mereka yang di Morocco sana terlepas daripada pemerhatian awak.

KS: Tapi, dari dahulu hingga sekarang saya perhatikan sama sahaja. Lelaki atau suami Islam tetap dominan dan menindas kaum wanita atau isteri. Malah ada yang mengurung isterinya di rumah, tidak membenarkan isteri keluar walau untuk bergaul dengan jiran-jiran berdekatan.

Aku: Mungkin itu adalah kes-kes terpencil, yang sebab musabab mereka berbuat begitu hanya mereka sahaja yang tahu. Mungkin itu dilakukan atas sebab-sebab tertentu. Jika kita tidak tahu keadaan sebenar kita tidak boleh serkap jarang. Melainkan kita bertanya dan mereka mengesahkan atau memberitahu begitu.

KS: Apapun secara keseluruhannya, saya tetap melihat lelaki Islam sebagai amat dominan, lebih berkuasa dan menindas wanita.

Aku: Itu pendapat peribadi awak yang awak simpulkan daripada sudut pandangan awak sendiri. Awak berhak untuk mempunyai apapun tanggapan berdasarkan apa yang awak lihat dan perhati. Namun, adalah salah untuk membuat kesimpulan sedangkal itu kerana sebagai orang Islam yang memang dilahirkan Islam saya tidak pernah melihat itu berlaku dalam kehidupan sebenar kebanyakkan keluarga Islam. Hal seperti yang awak perkatakan itu bukanlah hal yang dianjur atau dituntut Islam. Tanggungjawab seorang lelaki atau suami dalam Islam itu jelas. Ia amat besar dan berat. Kesilapan yang dilakukan oleh segelintir suami Islam yang penghayatannya ke atas agama tidak begitu mendalam telah disalah tafsir sebagai kehidupan usulan Islam, walhal Islam yang sebenar tidak begitu. Sudah fitrah dunia, kerana seekor kerbau membawa lumpur, habis semua terpalit. Kerana setitik nila, habis rosak susu sebelanga.

KS: Hurm, awak sendiri yakin yang awak tidak dikongkong?

Aku: Yakin 100%! Awak tak boleh buat kesimpulan dengan melihat keadaan hidup saya dan suami di sini. Di sini, kami orang asing. Jika ada pilihan untuk ke mana-mana berteman mengapa memilih untuk jalan sorang-sorang? Dan teman yang paling selesa, yang paling saya percaya, yang paling saya berasa selamat, sudah tentulah suami saya sendiri. Kebetulan pula di sini suami tidak bekerja, jadi 24 jam dia boleh menemani saya ke mana pun saya pergi. Jika di sini awak nampak 24 jam saya berkepit dengan dia, keadaan di Malaysia tidak serupa, berbeda. Di sana, kami terikat dengan jadual kerja masing-masing. Setiap hari selain daripada hari minggu, kami hanya boleh bertemu pada sebelah malam sahaja, itupun dalam keadaan masing-masing penat setelah seharian bekerja. Nak berjalan ke sana sini, hatta nak makan bersama pun hanya boleh direalisasikan di hujung minggu. Sebab itu saya kata, adalah tidak adil sama sekali untuk menilai kehidupan orang Islam secara keseluruhan dengan hanya memerhati segelintir sahaja yang berhijrah ke sini.

KS: Tapi saya tak suka awak bawa suami awak ke sini tau.

Aku: Kenapa?

KS: Ni kan pejabat persatuan wanita, macam tak sesuai je lelaki datang.

Aku: Itu ke sebabnya atau awak jeles?

KS: Iskkk!! Nak jeles apa?

Aku: Saya rasa awak perlukan seorang lelaki.

KS: Untuk apa?

Aku: Agar ada orang yang memeluk dan membelai. Agar tidur malam ditemani, agar hidup terisi dan tidaklah terlalu sunyi.

KS: Untuk apa semua itu? Huh, saya tak perlukan semua itu. Saya boleh hidup tanpa lelaki! (angkuh).

Aku: Tapi kan, cuba awak fikir, andai ibu awak dahulu berfikiran sama seperti awak, maka tidak akan lahirlah awak ke dunia ini, tidak berpeluanglah awak melihat dunia ini dan tidak berpeluanglah awak mengenali saya ini? Nasib baik mak awak tak anti lelaki dan berkahwin dengan ayah awak dahulu.

KS: (sepi).

Aku: Saya pulang dulu, besok kita jumpa lagi ya kakak! (aku memeluknya erat dan mencium kedua pipinya).

 

Nota:-

KS adalah singkatan kepada Kakak Sepanyol. Individu yang terlibat dalam perbualan di atas adalah Presiden Persatuan Wanita Rondilla (kawasan di mana aku tinggal) yang telah sudi mengambil aku dan keluargaku menjadi keluarga angkat beliau. Beliau bernama Elena, berusia 57 tahun, seorang pesara guru dan tidak pernah berkahwin di sepanjang hidupnya. Agak banyak juga jasa beliau kepada aku dan keluarga di sini. Terlalu banyak sebenarnya pertolongan yang telah dihulurnya kepada aku dan keluarga dalam menambah-ringankan lagi beban serta kesusahan yang terpaksa ditempuh di sini. Cuma satu sahaja, beliau agak prejudis dan anti lelaki. Tahap keantiannya kepada lelaki amat extrim hingga beliau melihat kewujudan lelaki di atas muka bumi ini sebagai tidak lebih dari hanya untuk menyakitkan dan memusnahkan wanita. Mungkinkah tugasnya sebagai Presiden Persatuan Wanita yang antara fungsinya ialah menerima aduan dan membantu isteri-isteri yang di dera dan di aniaya suami, yang telah menjadikannya begitu? Atau mungkinkah pengalaman hidupnya sendiri yang telah membentuk beliau begitu? Wallahua´lam. Apapun aku menghormati dan menyayanginya.

Pening: Eh, kau dulu ke, aku dulu?

Buntu: Erm, pening dulu baru buntu? Camtu?

Pening: Kau rasa?

Buntu: Kalau aku dulu, bermakna; Buntu dulu baru pening?

Pening: Kau rasa?

Buntu: Isshkk! Kan ke aku buntu? Mana lerr aku tau?

Pening: Habis tu kau ingat aku tau? Aku dah lerr pening.

Buntu: Aku dulu ke, engkau aarr?

Pening: Eh cuba kau ingat balik, masa kau sampai, aku dah ada lum?

Buntu: Entah!

Pening: Kau ni main entah jerr!

Buntu: Eh, aku kan buntu, camne aku nak tau?

Pening: Entah, aku pun pening.

Buntu: Eh, ada kemungkinan tak kita datang sama-sama?

Pening: Pening arr, susah arr nak pikir benda ni.

Buntu: Tu aarr, aku pun buntu.

Pening: Eh, apa kata kita tanya tuan punya badan? Bijak dak idea aku?

Buntu: Kau nak tanya, tanya aarr. Aku buntu!

Pening: Ishhkk! Pening arr kau ni.

Buntu: Baik! Kau yang tanya, aku tak tau. Buntu!

Pening: Buntu! Buntu! Buntu! Itu jerr kau tau. Haih, pening, pening!

Buntu: Ok, jom, kita tanya.

Pening: Jom!

 

Pening: Ermm, kacau sikit, boleh?

Aku: Hurm, cuba arr kalau berani.

Buntu: Psss!! Kau tanya, tanya!

Pening: Ermm, antara pening dengan buntu, yang mana datang kat hangpa dulu?

Aku: Eh kau kalau tak kacau aku leh tak? Leave me alone, okey?

Buntu: Adeh, dia speak omputih, lagilah aku buntu!

Pening: Shhh! Kau diamlah. Tadi kata buntu. Aku dah makin pening ni.

Buntu: Hang cuba lagi, tanya jangan tak tanya.

Pening: Ermm, kacau sikit jerr lagi, boleh arr? Mm, pening ka, buntu ka dulu?

Aku: HEP!! Pi jauh-jauh boleh dak? Nak pecah kepala ni tau? Satgi kan, haaa..

Pening: Opss, okey, okey, gua surrenderrrr!!!

 

Buntu: Amacam?

Pening: Entah! Pening aku.

Buntu: Aku pun, buntu!

 

Persoalan:-

Aku pening dulukah maka baru aku buntu atau aku buntu dulu kemudian baru aku pening? Haih!

 

Suatu petang, di kedai menjual daging halal, Rondilla. Seorang lelaki Morocco yang juga pelanggan di kedai tersebut telah memerhati aku atas dan bawah sehingga aku rimas dan serba salah. Beberapa ketika kemudian, dia menghampiriku lalu berlakulah dialog di bawah:-

 

Lelaki Morocco: Awak orang Filifina?

Aku: Eh, tak. Saya orang Melayu.

Lelaki Morocco: Mm, Melayu negaranya di mana ya?

Aku: Malaysia.

Lelaki Morocco: Oo, Malaysia (angguk-angguk kepala).

Aku: Tahu Malaysia di mana?

Lelaki Morocco: Tak tahu, dekat dengan Filifina kut?

Aku: Ya lah. Dekat dengan Filifina.

Lelaki Morocco: (Angguk-angguk kepala)

Aku: Pernah pergi Filifina?

Lelaki Morocco: Tak. Tapi saya ada kawan dari Filifina yang juga bekerja di sini.

Aku: Oo (angguk-angguk kepala).

Lelaki Morocco: Awak muslim ke?

Aku: Yup! Nape? Nampak macam bukan muslim ke?

Lelaki Morocco: Saya konfius.

Aku: Konfius?

Lelaki Morocco: Sebab wajah awak iras orang Filifina.

Aku: Aarr? Nape? Orang Filifina tak boleh jadi muslim ke?

Lelaki Morocco: Eh tak. Cuma, sebelum ni saya tak pernah jumpa orang Filifina muslim.

Aku: Orang Melayu, pernah jumpa?

Lelaki Morocco: Tak. Dengar pun tak pernah.

Aku: Oo (adeh, kesian, tak pernah dengar Melayu).

Lelaki Morocco: Awak, solat ke?

Aku: Eh, tentulah solat! Kan ke saya muslim?

Lelaki Morocco: Yalah awak muslim, tapi awak orang Melayu.

Aku: Aarr? Nape? Melayu muslim tak solat ke?

Lelaki Morocco: Entah!

Aku: Mana boleh tak solat. Kalau dah muslim wajiblah solat, tak kiralah apa bangsa pun. Yang suruh solat tu agama, kan? Bukan bangsa.

Lelaki Morocco: Mm, awak solat lima waktu jugakah?

Aku: Eh, tentulah! Kalau dah Tuhan perintah solat lima waktu, lima waktulah kita solat. Yang suruh solat tu, Tuhan, kan? Bukan Perdana Menteri.

Lelaki Morocco: Habis tu, apa awak baca dalam solat?

Aku: Laa, baca al-fatihahlah dan semua bacaan yang difardhukan.

Lelaki Morocco: Awak baca al-fatihah dalam bahasa apa? Dalam bahasa awak?

Aku: Isskk! Ada pula baca fatihah dalam bahasa saya? Kan ke dalam solat, bahasa arab sahaja yang dibenarkan, so baca fatihah dalam bahasa arablah, macam yang semua orang Islam baca, macam yang awak baca.

Lelaki Morocco: Boleh ke awak baca dalam bahasa arab?

Aku: Boleh! Bukan setakat al-fatihah, bahkan satu Quran pun saya boleh baca dengan lancar dan baik.

Lelaki Morocco: Aarr? Betulkah? Tapi awak bukan orang arab, macam mana awak boleh baca Quran?

Aku: Memang saya bukan orang arab, tapi kan saya ni muslim, maka wajiblah saya mempelajari macam mana nak baca al-Quran. Bukan saya sahaja, bahkan hampir semua muslim di negara saya tahu membaca Quran dengan baik.

Lelaki Morocco: Ye ke? (ragu-ragu)

Aku: Dengar, bismillah… (baca fatihah hingga tamat).

Lelaki Morocco: (terbeliak biji mata)

Aku: Sekarang awak percaya?

Lelaki Morocco: Menakjubkan! Macam mana awak boleh baca Quran dengan baik sedangkan awak bukan orang arab dan bahasa arab bukan bahasa ibunda awak? (takjub)

Aku: Kan saya dah cakap tadi. Di negara saya hampir semua muslim boleh membaca Quran dengan baik walaupun bahasa arab bukan bahasa pertuturan kami.

Lelaki Morocco: Awak faham ke maksud ayat-ayat yang awak baca tu? Maksud saya awak faham ke bahasa arab?

Aku: Faham sikit-sikit sahaja. Dahulu, saya pernah belajar bahasa arab masa di sekolah menengah, so bolehlah faham sikit-sikit.

Lelaki Morocco: Awak boleh cakap arab?

Aku: Oh, tak. Setakat tanya nama dan tanya khabar bolehlah. Ayah saya guru bahasa arab. Ha, dia boleh cakap arab.

Lelaki Morocco: Pelik! Tak boleh cakap arab tapi boleh baca Quran dengan baik. Sedangkan kami orang arab pun ramai yang tak boleh baca Quran dengan baik walaupun bahasa arab adalah bahasa ibunda kami. Kami faham kandungan al-Quran, tapi kami tidak boleh membacanya dengan baik.

Aku: Bukan benda yang pelik di negara saya. Meskipun kami tidak memahami bahasa arab, tetapi kami belajar macam mana nak baca Quran dari kecil. Di Malaysia, ada banyak kelas dan guru membaca al-Quran. Lazimnya ibu bapa menghantar anak-anak ke kelas membaca al-Quran dari kecil lagi.

Lelaki Morocco: Oo (terlopong, takjub).

Aku: Eh, saya beransur dulu la ya. Nak balik masak. Dah lama suami dan anak-anak tunggu kat rumah.

Lelaki Morocco: Oh, dah kahwin rupanya, hehe (sengeh kerang busuk).

Aku: Yup! Adiós.

Lelaki Morocco: Adiós. Tataa …

 

Nota:-

Rata-rata orang arab yang ku temui di Valladolid takjub bila mengetahui yang aku adalah seorang muslim. Mereka semakin takjub apabila dimaklumkan bahawa aku juga solat 5 waktu seperti mereka dan boleh membaca al-Quran dengan baik, malah lebih baik daripada mereka. Ketakjuban itu berpunca daripada sangkaan mereka bahawa di atas muka bumi ini, hanya orang arab sahajalah yang beragama Islam dan kerana al-Quran ditulis dalam bahasa arab maka ia hanya boleh dibaca dan difahami oleh kaum mereka sahaja. Seperti yang pernah ku nukilkan sebelum ini bahawa orang-orang arab morocco yang berhijrah ke Valladolid adalah terdiri daripada golongan berpendidikan rendah yang mempunyai pengetahuan am yang juga rendah.

 

 

Juruteknik telah datang ke rumahku untuk membaiki sitem pemanas yang rosak.

Juruteknik: Ding dong! (tekan loceng rumah)

Aku: (Kelam kabut cari tudung, berlari buka pintu).

Juruteknik: Hola! Selamat pagi.

Aku: Selamat pagi.

Juruteknik: Ini rumah puan ris? (minta kepastian)

Aku: Ya. Saya puan ris.

Juruteknik: Saya Juan. Jurutkenik sistem pemanas.

Aku: Oh, encik Juan.

Juruteknik: Sistem pemanas rosak, kan?

Aku: Ya, ya. Sudah seminggu rosak.

Juruteknik: Erm, boleh saya masuk?

Aku: Oh, ya, ya. Sila, kalau tak masuk macam mana nak baiki, ya tak? (sengeh)

Juruteknik: Mm, tau takpe. (selamba)

Aku: Sila, encik Juan. (terpana dengan kehanseman)

Juruteknik: (Bersedia untuk melangkah masuk)

Aku: Eh, sori, sori. Maaf encik. Lupa nak cakap tadi, encik boleh tanggalkan kasut tak?

Juruteknik: Aarr?? Kenapa kena bukak kasut lak? (bengang)

Aku: Maaf andai menyusahkan. Budaya kami memang kena tanggalkan kasut sebelum masuk ke rumah (menerang dengan kelembutan).

Juruteknik: Apa? Puan ni orang mana? (tercengang)

Aku: Saya orang Melayu, orang Asia. Orang Asia memang tak pakai kasut dalam rumah. (kuliah budaya).

Juruteknik: Aarr? (dahi berkerut)

Aku: Sememangnya sudah menjadi adat kami encik. Ia telah diketahui umum dan saya rasa encik juga sudah sedia maklum tentangnya.

Juruteknik: No, no, no! (jari menunjukkan simbol “no”)

Aku: Encik tanggalkan kasut di situ (muka pintu), dan masuk.

Juruteknik: Oh, no! Saya orang Sepanyol, bukan orang Asia. Lagipun, saya tetamu, bukan penghuni rumah. (tak puas hati)

Aku: Maaf encik, tetamu yang datang juga perlu menanggalkan kasut mereka sebagai menghormati tuan rumah.

Juruteknik: Tidak! (dengan suara yang tinggi)

Aku: Aarr? (terkejut)

Juruteknik: Tidak! Tak mungkin saya tanggalkan kasut saya semata-mata untuk masuk ke rumah awak. (tegang)

Aku: Encik jangan risau, saya akan pastikan kasut encik selamat dan diletak di rak yang disediakan. Jika encik tidak biasa, encik boleh pakai kasut atau selipar yang khusus untuk kegunaan di dalam rumah (menghulur selipar di dalam rumah).

Juruteknik: No. Sori! (geleng kepala)

Aku: Aarr?

Juruteknik: Seumur hidup, saya tidak pernah masuk ke rumah tanpa kasut. Dan ini adalah kali pertama orang minta saya tanggalkan kasut untuk masuk ke rumahnya. (geleng kepala)

Aku: Maaf encik. Ia sudah menjadi adat dan tradisi kami (pohon simpati).

Juruteknik: No! Jika puan nak juga saya tanggalkan kasut, saya tidak akan masuk. Kalau puan nak saya baiki sistem pemanas yang rosak itu, puan mesti benarkan saya masuk dengan kasut-kasut sekali. (tegas)

Aku: Aarr?

Akhirnya, aku terpaksa jua membenarkan juruteknik tersebut masuk ke rumahku dengan kasutnya yang penuh debu dan selut (entah selut dari mana diangkutnya).  Itu yang aku nampak di bahagian sebelah atas kasut, di bahagian tapak yang aku tidak nampak? Oh, tidakkkkkkk!

 

Nota:-

Orang sepanyol sangat bengang bila disuruh menanggalkan kasut sebelum masuk ke rumah. Bagi mereka, amalan tersebut amatlah aneh dan lucu. Oleh yang demikian, setiap kali mereka datang, setiap kali itulah juga aku terpaksa mengelap seluruh rumah selepas mereka pulang. Adeh, penat dan sakit seluruh belakang.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...