Narrated Abu Salama bin ‘Abdur Rahman:

That he asked ‘Aisha “How was the prayer of Allah’s Apostle in Ramadan?”

She replied, “He did not pray more than eleven Rakat in Ramadan or in any other month. He used to pray four Rakat —- let alone their beauty and length—-and then he would pray four —-let alone their beauty and length —-and then he would pray three Rakat (Witr).” She added, “I asked, ‘O Allah’s Apostle! Do you sleep before praying the Witr?’ He replied, ‘O ‘Aisha! My eyes sleep but my heart does not sleep.”

(Sahih Bukhari)

 

 

Semalam, sekali lagi aku menerima nota “senarai dosa” yang telah ditinggalkan di atas mejaku. Ia ditulis secara bersama oleh Insyirah dan Habibah di dalam bahasa Sepanyol. Setelah hampir 3 tahun bersekolah di sini, mereka tidak lagi boleh mengarang di dalam bahasa Melayu dengan baik. Mereka lebih selesa menulis dan berbual di dalam bahasa Sepanyol. Jika mereka bertutur di dalam bahasa Melayu pun, kedengarannya seperti India masuk Melayu. Berbelit-belit.

Berbalik kepada nota “senarai dosa” tersebut, ia merupakan nota kedua yang ku terima di sepanjang kemusafiran ini. Kali pertama ialah pada 23 april yang lalu, yang turut ku nukilkan tentangnya di dalam blog ini (baca di sini). Nota yang pertama dahulu juga telah dicoret di dalam bahasa Sepanyol dan juga telah dihasilkan secara bersama oleh kakak dan adik (panggilan untuk mereka berdua).

Terjemahan daripada nota yang telah ditulis itu secara lebih kurangnya adalah begini:-

Mama, kakak dan Habibah telah berbuat dosa. Tetapi ia telah berlaku lama dahulu. Ketika kita tinggal di rumah tepi pantai di Gong Badak (rumah yang kami sewa sebelum ke mari), kami telah mengambil duit mama. Maaf, mama. Kakak akan bayar balik duit yang telah kakak ambil itu nanti. Dan juga di ramadhan 2010, ketika kami berada di sekolah musim panas (summer school), kami telah makan ketika waktu rehat tengahari. Elena (cekgu summer school) yang telah memaksa kami makan, dan kami pun makan (beberapa hari) dan di hari terakhir sekolah. Dan juga pada tahun 2009, ketika mama keluar, kami telah membuka laptop mama dan kami telah meneka kata laluannya yang sebenarnya telah pun kami ketahui. Kami cuba membuka internert tetapi tidak berjaya. Kami berjanji tidak akan melakukannya lagi. Kami sayang mama dan kami hendak masuk syurga, bukan api neraka. Dan satu lagi, ketika kali terakhir kita balik ke rumah tok dahulu, kakak tak puasa hari tu, kakak tak tahu kenapa. Kakak telah dipaksa oleh seseorang, tetapi sebenarnya ia bukan kehendak kakak. Daripada: Insyirah dan Habibah.

Secara ringkasnya nota di atas memaklumkan (setelah diolah dan disusun semula);

  1. Dosa mengambil duit mama ketika di Malaysia.
  2. Dosa tidak puasa ketika di rumah tok di Malaysia.
  3. Dosa tidak puasa di Sepanyol ketika berada di summer school kerana telah dipaksa oleh cekgu untuk makan.
  4. Dosa membuka laptop mama tanpa kebenaran, di Sepanyol.

Daripada empat dosa yang disenaraikan itu, dua daripadanya telah didakwa dilakukan di tanah air, manakala dua lagi di Sepanyol.

Sama seperti ketika membaca nota pertama dahulu, kali ini perasaan ku juga berbaur. Bangga, keciwa, gembira dan sebak.

Bangga: Atas keberanian mereka mengaku kesalahan.

Keciwa: Atas kegagalanku mendidik mereka agar tidak mengambil atau menggunakan barang orang lain tanpa izin.

Gembira: Atas keberkesanan kempen “berani kerana benar” dan “pohonlah maaf” atas apa jua kesalahan.

Sebak: Atas usaha dan keikhlasan mereka untuk “memenangi” hatiku. Hati seorang ibu.

Daripada empat perasaan di atas, dua daripadanya adalah perasaan aku terhadap mereka (bangga dan sebak) dan dua lagi adalah perasaan aku terhadap diriku sendiri (keciwa dan gembira).

Betapa jiwa si kecil sungguh suci. Adapun, mesej besar dan utama daripada nota tersebut adalah;

  1. Mereka amat dahagakan perhatian dan kasih sayangku.
  2. Mereka amat memerlukan aku.
  3. Mereka kurang dipedulikan aku.
  4. Mereka mencabarku untuk melakukan hal serupa atas segala dosa-dosaku terhadap sesama manusia (beranikah aku mengaku seperti mereka?).

Aku melihat ini sebagai; bukan sekadar nota dari tangan kecil mereka, tidak juga sekadar senarai dosa mereka. Tetapi ia sebenarnya adalah amaran daripada Allah dan juga adalah senarai dosa-dosaku sendiri; dosa mengabaikan mereka, dosa tidak mengendahkan mereka, dosa meminggir mereka, dosa memperkecilkan mereka, dosa tidak memperdulikan hati dan perasaan mereka, dosa tidak menunaikan hak ke atas mereka dan segala bagai dosa lagi ke atas mereka yang dengan itu bermakna aku juga turut berdosa terhadap Allah Rabbul Jalil. Kerana hakikatnya mereka itu, adalah amanah untukku, penentu redhaNya terhadapku.

Air mata sesal dan insaf menitis lagi di ramadhan yang suci ini.

Subhanallah!

 

Alhamdulillah, di hari kedua ramadhan saya telah berjaya melaksanakan apa yang dirancang iaitu bertadarus bersama Insyirah, cahaya kegembiraan saya. Saya amat menaruh harapan agar cita-cita untuk bertadarus hingga khatam bersama puteri-puteri kesayangan di ramadhan ini diperkenan Ilahi. Saya juga telah berjanji kepada diri sendiri untuk tidak lagi mewarwarkan tentang juadah, sebaliknya biar nampak meriah pada ibadah. Biar ramadhan kali ini menjadi ramadhan yang benar-benar wangi hingga melekat wanginya kepada bulan-bulan yang lain juga. Insyaallah. Selamat mewangikan ramadhan!

 

02. August 2011 · 1 comment · Categories: Jiwa

 

Apakah sebenarnya yang dirindu daripada ramadhan? Tarawih dan tadarus al quran? Atau, kuih muih dan bazar ramadhan? Bertanyalah kepada diri sendiri kerana setiap kali ramadhan menjelma yang sering dibualkan ialah menu sahur atau berbuka, bukannya perihal tarawih atau sudah berapa juzuk quran dibaca. Marilah kita bersama mengubah stereotaip ini dengan mengutamakan menu roh, bukannya menu jasad. Bertanya tentang hidangan tidak mendekatkan kita kepada zikir dan tidak membawa kita ke dunia si fakir. Sebaliknya ia boleh melengcongkan kita jauh dari hikmah dan fadhilat ramadhan yang sebenar. Justeru, selepas ini, usah lagi bertanya; “Nak masak apa hari ni? Berbuka apa nanti? Sahur makan apa?, sebaliknya tanyalah; Dah mengaji ke belum hari ni? Dah berapa juzuk baca? Tarawih buat berapa?”

Bukankah indah begitu? Selamat bertadarus dan bertarawih dari saya, insan yang hina disisiNya.

 

 

 

 

Kanak-kanak adalah golongan yang kuat memerhati dan amat sensitif kepada persekitaran. Jika apa yang mereka perhatikan ketika ramadhan ialah kita melebihkan soal juadah berbanding ibadah, maka konsep atau budaya itulah yang akan diwarisi oleh mereka kelak. Justeru, marilah kita bersama mengubah budaya itu dengan tidak lagi merancakkan bual bicara kita tentang makanan jasmani, sebaliknya, utamakanlah hidangan rohani.

Peringatan ini adalah untuk diri saya sendiri, hambaNya yang sering lupa dan alpa.

 

 

Getar Ramadhan

Bergetar segala rasa

Kala tiba ramadhan

Teringat segala dosa

Akankah Tuhan mengampunkan?

Telah difahami hikmah ramadhan

Namun seperti sukar diinsafi

Kerna kita menganggapnya bulan

Berpesta juadah itu dan ini

Ramadhan yang mulia

Adalah bulan melatih diri

Menginsafi sang fakir

yang perut sentiasa kosong

dan berkeroncong

Pernahkah sekali?

sewaktu berbuka..

Kita menolak sirap dan seri muka

dengan memakan cuma

sebiji kurma?

Bergetarlah segala rasa

Kala tiba ramadhan

Teringat segala dosa

Akankah Tuhan mengampunkan?

 

 

 

Sukarnya memahami

Bahasa sepi.

Tanpa suara

Tanpa kata-kata

Tanpa tinta.

 

Sepi itu sepi

Sepi, sesepi-sepinya.

 

Sepi itu indah

Atau,

gundah?

 

Wahai sepi

Usah kau sepi.

Wahai sepi

Mengapa sepi?

 

Dalam hati

Ada sepi.

Dalam sepi

Ada hati?

 

Sukarnya memahami

Bahasa sepi.

Sepikah

bila menyepi?

 

Sepi…

 

Di mana pun kita bermula dan pada usia berapa pun kita bermula, ia tetap lebih baik daripada langsung tidak bermula. Perkataan “terlambat” tiada dalam kamus seorang pejuang.

 

 

Dia cuma seekor ibu ITIK

Tetapi aku melihat di dalam dirinya, KEINSANAN.

Dia cuma seekor ibu ITIK

Tetapi aku melihat di dalam dirinya, KEPERIHATINAN.

Dia cuma seekor ibu ITIK

Tetapi aku melihat di dalam dirinya, KASIH SAYANG.

Dia cuma seekor ibu ITIK

Tetapi aku melihat di dalam dirinya, KESABARAN.

Dia cuma seekor ibu ITIK

Tetapi aku melihat di dalam dirinya, PENGORBANAN.

 

Dia cuma seekor HAIWAN

tetapi, di dalam dirinya,

penuh nilai-nilai

KEMANUSIAAN.

 

Sabar melayan anak-anak.

 

Tidak lari jauh dari anak-anak.

 

Mata sentiasa mengawasi anak-anak.

 

Hingga ke saat dia mengajak anak-anaknya beredar pun, matanya masih memandang kamera, bukti dia memerhati dan mengamati sekeliling demi keselamatan anak-anaknya.

 

Sebagai manusia yang juga seorang ibu, aku tertanya-tanya, adakah aku ini memiliki cukup nilai-nilai keinsanan? Adakah selama ini aku perihatin terhadap jeritan batin anak-anakku? Adakah aku meluahkan kasih sayang dengan cara yang mereka faham bahawa itu adalah kasih sayang? Adakah aku cukup sabar dalam menghadapi karenah mereka seperti sabarnya ibu itik itu melayan karenah anak-anaknya? Adakah selama ini pengorbanan yang aku lakukan cukup untuk mengstatuskan aku sebagai ibu yang penuh dengan nilai-nilai kemanusian?

Kesempatan melihat gelagat ibu itik dan anak-anaknya itu, bukan sekadar suatu kebetulan. Barangkali, Tuhan menggerakkan hati itik itu untuk terkedek-kedek datang kepadaku dan menggerakkan pula hatiku untuk ralit memerhati tindak tanduknya, adalah untuk mencabar minda manusiaku, adalah untuk menjentik naluri keibuanku, agar mengambil contoh daripada seekor ibu haiwan yang di dalam dirinya begitu tebal nilai-nilai kemanusiaan; sebaliknya di dalam diri segelintir manusia hari ini, kita melihat nilai itu semakin menipis, malah menebal pula sifat-sifat kebinatangan.

 

 

 

 

Tahu?

Kadang-kadang saya tahu

Kadang-kadang saya tidak tahu

Kadang-kadang saya tahu saya tahu

Kadang-kadang saya tidak tahu saya tahu

Kadang-kadang saya tahu saya tidak tahu

Kadang-kadang saya tidak tahu saya tidak tahu

Kadang-kadang saya tahu tapi buat-buat tidak tahu

Kadang-kadang saya tidak tahu tapi buat-buat tahu.

 

Apa pun saya, bagaimana pun saya, Tuhan sentiasa tahu!

 

Tahu itu ialah bila saya tahu;

Tuhan tahu saya tahu

Tuhan tahu saya tidak tahu

Tuhan tahu saya tahu saya tahu

Tuhan tahu saya tidak tahu saya tahu

Tuhan tahu saya tahu saya tidak tahu

Tuhan tahu saya tidak tahu saya tidak tahu

Tuhan tahu saya tahu tapi buat-buat tidak tahu

Tuhan tahu saya tidak tahu tapi buat-buat tahu.

 

Tuhan Maha Tahu!

Itu saya tahu.

Sebab itu saya, malu!

25. May 2011 · Write a comment · Categories: Jiwa

Pada hari yang aku berasa amat letih untuk berfikir. Haruskah aku menutup lubang-lubang deria ini daripada terus mencerap informasi? Mampukah aku memberhentikan seketika enjin mindaku ini daripada berfungsi? Adakah keletihan ini berpunca daripada kurangnya rehat? Atau jiwakah sebenarnya yang tidak cukup kuat? Apabila cabaran hari demi hari menjadi semakin hebat, batinku pula seakan-akan menjerit melaungkan penat. Penatkah sebenarnya aku? Atau ia sekadar manipulasi lara yang aku tahu sungguh cekal dalam melaksanakan kerja-kerja kelaraannya. Ketika aku gagah untuk merempuh badai, lara mengulikku dengan indahnya pantai lalu aku berundur, tersadai. Bilamana seluruh azamku terkumpul untuk menongkah, lara menunjukkan pula kepadaku bahtera yang pecah, lalu aku berpatah, kalah. Apa yang tidak kena padaku sebenarnya hingga aku begitu lemah untuk menjauhi lara? Dia menjadi raja di dalam diriku, dia mengatur tindak-tandukku, dia membolak-balikkan hatiku. Pada hari yang aku berasa amat letih untuk berfikir, dia berpesta kegembiraan, dia berparti keseronokkan. Lara, adakah kau rasa bahawa engkau telah menang? Jika engkau seperti mana yang engkau dakwa adalah pejuang kepada kerabatmu, maka jangan pula engkau lupa  bahawa aku juga mampu menjadi seorang pejuang yang terbilang. Bila aku menunjukkan isyarat untuk berundur, itu bukan beerti aku kecundang lara, itu bukan bermakna aku kalah, mengundur setapak dua itu adalah untuk kembali menyusun langkah, adalah untuk mengambil lajak, adalah untuk terus mengorak dan melonjak. Jangan kau lupa lara bahawa aku masih lagi berada di dalam gelanggang yang bermakna aku masih lagi sedang berperang. Wahai lara, jika Tuhan mengutusmu untuk menentangku, maka itu bermakna Tuhan menyayangiku, kerana Tuhan mahu membukakan kepadaku seluas-luasnya pintu pahala seorang pejuang.  Ketahuilah lara, keterbilangan seorang pejuang itu adalah pada hebatnya tentangan, adalah pada kuatnya rintangan, bukan pada pedangnya yang tidak pernah jatuh dan lucut di gelanggang. Kau akan ku takluk. ALLAH AKBAR!!

 

Inikah lara?

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...